Skip to main content

Singapura

Bolehkah terlaksana badal haji pada harga rendah antara S$900 hingga S$2,000?

Anda yang mahu mengambil pakej badal haji untuk musim haji tahun ini, anda mungkin perlu lebih maklum dan berhati-hati jika harga yang ditawarkan adalah 'rendah atau murah'.

Anggaran Waktu Membaca:
Bolehkah terlaksana badal haji pada harga rendah antara S$900 hingga S$2,000?

Jemaah musim haji 2020 (Gambar: Kementerian Media Arab/AFP)

SINGAPURA: Anda yang mahu mengambil pakej badal haji untuk musim haji tahun ini, anda mungkin perlu lebih maklum dan berhati-hati jika harga yang ditawarkan adalah 'rendah atau murah'.

Ini kerana kos mengerjakan haji di Arab Saudi yang ditetapkan kerajaan tersebut adalah sekitar S$4,300 hingga S$6,000 seorang.

Itu belum termasuk kos membayar upah bagi orang atau wakil yang melaksanakan badal haji itu yang lazimnya sekitar S$1,000 hingga S$2,000, menurut sumber-sumber kepada BERITAmediacorp.

Di Singapura, pemantauan kami berhubung pakej-pakej badal haji mendapati, ada sekurang-kurangnya empat kumpulan atau pihak yang menawarkan pakej badal haji tahun ini. Harga yang diiklankan adalah antara S$900 dengan sekitar S$1,400 setiap satu.

Jadi ini menimbulkan persoalan, sama ada pakej-pakej yang menawarkan harga-harga yang rendah adalah munasabah menurut sebahagian pihak.

Syarikat seperti Shahidah Travel menyatakan bahawa kos mengerjakan haji tahun ini (kos di Arab Saudi) adalah sekitar 10,000 riyal, atau bersamaan S$3,600. Oleh itu jika upah atau bayaran untuk melakukan badal haji adalah sekitar 3,000 riyal (S$1,080) sahaja, ia "mustahil" menurut Shahidah Travel lagi.

Syarikat tersebut menambah, ia tidak menawarkan badal haji tahun ini dan paling awal ia akan menawarkannya ialah tahun hadapan. Itupun jika keadaan kembali normal.

Syarikat Anwaar Al-Himam Umrah & Holidays semasa ditanya pula menyatakan bahawa umumnya tiada agensi haji rasmi yang menawarkan khidmat badal haji tahun ini.

SYARAT SEBELUM BOLEH BUAT HAJI ATAU BADAL HAJI

Disebabkan pandemik COVID-19 masih berlarutan, bilangan orang yang boleh mengerjakan haji masih cukup terhad.

Pertama sekali, tahun ini hanya 60,000 orang dibenarkan mengerjakan haji. Di bawah peraturan lebih ketat juga, mereka sudah mengerjakan haji dalam tempoh lima tahun lalu, tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji musim ini.

Jadi ini sekali gus mengehadkan jumlah orang yang boleh melakukan badal haji di seluruh dunia disebabkan faktor bekalan yang terhad.

Related article image
Para jemaah bersolat Tarawih di Masjidil Haram, 13 April 2021. (Gambar: AFP)

(Gambar fail: AFP)

Selain itu, antara syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Saudi tahun ini untuk mereka yang mahu mengerjakan haji ialah mereka perlu ada 'iqama' - iaitu kad pengenalan diri bagi warga asing yang menetap dan bekerja di negara itu dan sudah menerima dua dos vaksin COVID-19.

Lantaran itulah, pembimbing dan perunding haji bagi syarikat Salam Haji Travel & Tours yang berpangkalan di Makkah - Ustaz Muhammad Syaharuddin Shahari dan isterinya Ustazah Nur Salimah Md. Hasim - memberitahu BERITAmediacorp "tidak mungkin" penduduk di Saudi boleh menunaikan ibadah haji, apatah lagi badal haji, tanpa berdaftar secara rasmi.

"Kita perlu penuhi syarat-syarat dan tidak mungkin orang yang tidak ada permit (dapat) melaksanakan badal haji," kata Ustaz Muhammad Syaharuddin yang bermukim di Makkah dan membimbing haji bagi rakyat Malaysia, Brunei, Singapura dan juga Indonesia di sana sejak tahun 2014.

APAKAH HARGA LOGIK BAGI DAPATKAN KHIDMAT BADAL HAJI 2021?

Kerajaan Arab Saudi tahun ini menawarkan tiga pakej haji berharga SR12,113 (S$4,340), SR14,381 (S$5,160), SR16,560 (S$5,940) yang pembayarannya mesti dibuat antara 25 Jun hingga 9 Julai ini.

Harga tersebut belum termasuk upah bagi wakil yang melaksanakan badal haji.

Misalnya, jika upah bagi badal haji ditetapkan pada harga S$1,000 dan ditambah dengan kos pakej paling murah iaitu S$S$4,340, bermakna jumlah yang perlu dibayar untuk badal haji adalah S$5,340. Itu juga belum termasuk cukai Arab Saudi.

"Dekat Singapura (pakej) sebanyak S$999 hingga S$1,800 tak silap saya.
Jadi dengan harga pakej yang dikeluarkan Arab Saudi ini, adakah…apabila sudah ditukar mata wang dengan harga dolar Singapura sebanyak S$5,000 ke atas. Logik ke? Relevan ke?," hujah Ustaz Muhammad Syaharuddin, yang juga mempunyai vlog Makkah Kenangan Terindah di Facebook, di mana beliau turut berkongsi tentang isu badal haji.

“Jadi orang yg berhasrat itu perlu ambil inisiatif lain untuk nak mencari atau nak mengkaji sama ada badal haji ini ada ataupun tidak. Disampaikan ataupun tidak dengan harga tersebut,” tambah beliau.

Related article image
Ustaz Muhammad Syaharuddin Shahari. (Gambar: Petikan dari video)

Ustaz Muhammad Syaharuddin Shahari. (Gambar: Petikan dari video)

Beberapa mutawif warga Indonesia yang menetap di Makkah, baru-baru ini juga berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa mereka “tidak sanggup” dan “belum mampu” menawarkan khidmat badal haji disebabkan kos haji yang “sangat mahal” tahun ini.

Musim haji lazimnya merupakan peluang untuk para mutawif dan juga golongan seperti para pelajar dari Asia Tenggara di Makkah mendapatkan upah melakukan badal haji.

TAPI TIDAK MUSTAHIL BADAL HAJI DAPAT DILAKUKAN

Namun demikian adakah ini bermakna badal haji mustahil untuk dapat ditempah?

Tidak. Badal haji masih boleh dilakukan. Ustazah Nur Salimah memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau sudahpun mendapat permit untuk menjalankan haji tahun ini dan beliau akan menggunakannya untuk badal haji.

Ustazah Salimah sudahpun menerima tawaran dari warga Singapura yang akan membayar beliau S$5,000 bagi kos haji yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa Arab Saudi. Beliau tidak menyatakan berapa diterima sebagai upah haji.

Salah sebuah agensi di Singapura yang menawarkan badal haji, yang dihubungi BERITAmediacorp, memberitahu bahawa ia bekerjasama dengan para mutawif yang menetap di Makkah.

Bagaimanapun, agensi yang enggan namanya didedahkan itu menyatakan ia menetapkan syarat wajib memperoleh gambar-gambar bukti badal haji dilaksanakan oleh para mutawif.

"Yang mutawif itu sendiri kena ambil gambar dekat Arafah. Sekiranya gambar tak dapat, kami kena pulangkan semua duit pelanggan," menurut Encik Ali (bukan nama sebenar), yang merupakan pengasas agensi tersebut.

Beliau menekankan bahawa syarat itu sangat dititkberatkan, tidak kira apa pun keadaannya. Agensi beliau menawarkan khidmat badal haji pada harga hampir S$1,200. Itu hanyalah upah badal haji kepada wakil yang melaksanakannya, kata Encik Ali.

Agensi itu mendedahkan bahawa ia sudah menerima permohonan daripada lebih 40 pelanggan yang mahu melaksanakan badal haji dan sudah mempunyai “lebih kurang 40 wakil yang sudah berdaftar” di Saudi.

Apabila ditanya sama ada para mutawifnya sudah mendapat tajaan, ini jawapannya: "Sejauh ini lebih kurang 27 dan yang terbaru ini baru dapat lagi empat. Jadi 31 insha Allah."

BERITAmediacorp difahamkan bahawa sebuah lagi syarikat lain pula mendapatkan khidmat para "mutawif" daripada sebuah muassasah di Makkah.

Sungguhpun demikian, ia menambah kerajaan Saudi mungkin mengubah syarat-syarat dan peraturan pada bila-bila masa sahaja disebabkan COVID-19. Jika itu berlaku, ia "akan menarik diri dan memulangkan wang kepada pelanggan badal haji".

FAKTOR HAJI 'TAJAAN' DI ARAB SAUDI

Satu perkara yang memungkinkan harga badal haji yang rendah ialah apabila segolongan jemaah haji di Arab Saudi mendapat tajaan.

Contohnya golongan kurang mampu mendapat tawaran haji. Mereka kemudian mendapat tajaan dari kerabat di raja atau orang-orang berada di sana yang membayarkan kos haji itu.

Related article image
Gambar fail para jemaah melakukan tawaf di sekeliling Kaabah. (Gambar: REUTERS)

Gambar fail. (Gambar: REUTERS)

Mereka kemudian memanfaatkannya untuk menawarkan khidmat badal haji. Dalam kes seperti ini, mereka hanya mengambil upah badal haji dan tidak mengenakan bayaran kos haji.

"Sebab sekarang agak mahal haji dekat sana kan, ada yang ditaja. Ada orang-orang kaya di sana taja orang-orang macam ini (orang yang ingin menunaikan haji). Dan sebahagian yang lain, mereka kena keluar (duit) sendirilah," jelas Encik Ali.

AMBIL LANGKAH-LANGKAH WASPADA

Bagi masyarakat Muslim tempatan yang berhasrat untuk mendapatkan khidmat wakil bagi melaksanakan badal haji, Ustaz Muhammad Syaharuddin dan Ustazah Salimah berkongsi beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan khidmat tersebut disampaikan dengan sempurna.

Salah satunya adalah untuk mengetahui individu yang akan menjadi wakil menjalankan badal haji.

“Yang kedua, ambil nombor telefon mereka, Facebook mereka ataupun identiti media sosial mereka supaya boleh berhubung dengan mereka sepanjang pelaksanaan haji tersebut dijalankan. Iaitu pada 9 Dzulhijjah sehinggalah pada 13 Dzulhijjah,” ujar Ustaz Syaharuddin.

Selain itu, pelanggan khidmat badal haji boleh meminta untuk melihat permit haji yang sudah diperolehi.

Petikan gambar permit haji Ustazah Salimah yang ditunjukkan kepada BERITAmediacorp. (Gambar: Ustazah Salimah)

“Mereka ini perlu menunjukkan permit haji bahawa mereka akan pergi haji dengan permit. Itu adalah satu bukti yang bahawa mereka layak melaksanakan badal haji tersebut,” kata Ustaz Syaharuddin, sambil menunjukkan kepada BERITAmediacorp contoh permit yang sudah diperolehi Ustazah Salimah bagi menunaikan ibadah haji tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita