Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bolehkah anda dijangkiti denggi kali kedua? Perunding NCID jelaskan beberapa salah tanggapan

Singapura bergelut dengan penularan denggi, dengan jumlah kes meningkat sejak sebelum bulan Jun lagi, iaitu permulaan musim kemuncaknya.

Anggaran Waktu Membaca:
Bolehkah anda dijangkiti denggi kali kedua? Perunding NCID jelaskan beberapa salah tanggapan

Seorang wanita digigit nyamuk. (Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 07 Jul 2022 09:58PM Dikemas Kini : 07 Jul 2022 09:59PM
SINGAPURA: Singapura bergelut dengan penularan denggi, dengan jumlah kes meningkat sejak sebelum bulan Jun lagi, iaitu permulaan musim kemuncaknya.

Pemeriksaan di laman Agensi Sekitaran Negara (NEA) pada Rabu (6 Jul) menunjukkan jumlah kes sejauh ini sudah menjangkaui 18,200.

Jumlah itu tiga kali lebih tinggi berbanding 5,258 kes denggi yang dicatatkan sepanjang tahun 2021. Rekod tahunan dicatatkan pada 2020 dengan sebanyak 35,315 kes.

Mediacorp menemu bual Dr Chia Po Ying, seorang perunding di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang penyakit tersbeut.

SOALAN: Mengapa saya perlu memandang serius penyakit denggi?

Terdapat salah faham bahawa denggi "hanyalah demam biasa dan ia tidak berbahaya," Dr Chia menepis tanggapan umum.

Meskipun sesetengah individu tidak bergejala apabila dijangkiti denggi, ini bukan halnya bagi kebanyakan orang.

"Selain hakikat bahawa denggi boleh membawa maut, satu lagi nama lain bagi denggi adalah 'break bone fever' atau demam patah tulang dan ia boleh menjadi seteruk bunyinya itu,"kata beliau.

Denggi boleh menyebabkan simptom-simptom yang melemahkan tubuh badan seperti sakit otot dan sakit sendi yang teruk.

Ia juga boleh menyebabkan komplikasi seperti kegagalan organ dan kematian. Ini bermakna ada keperluan mendesak untuk menangani denggi sekarang, tegasnya.

SOALAN: Sejauh manakah denggi berbahaya?

Satu lagi salah tanggapan adalah bahawa denggi hanya meragut nyawa kanak-kanak kecil dan orang tua.

"Ini jelas tidak benar," sangkal Dr Chia.

"Kami sudah menyaksikan kematian dalam kalangan orang dewasa muda yang lewat dirujukkan kepada jagaan kesihatan."

Orang ramai mungkin merasakan mereka hanya mengalami demam yang akhirnya akan reda dengan sendirinya dan tidak mendapatkan rawatan seawal mugnkin, kata Dr Chia.

Orang ramai juga mungkin salah anggap bahawa mereka boleh dijangkiti denggi hanya sekali sahaja.

Memandangkan terdapat empat serotip denggi, seseorang individu mempunyai empat peluang untuk dijangkiti denggi, jelas Dr Chia.

Beliau menerangkan bahawa dua jenis denggi merupakan jenis paling biasa menular di Singapura pada tahun-tahun sesudahnya.

Bagaimanapun, pada separuh kedua 2021, satu jenis berbeza membentuk lebih separuh daripada kes denggi yang diambil sampelnya di Singapura. Ia kekal menjadi serotip utama jangkitan penyakit denggi tahun ini, tambah beliau.

"Jangkitan satu serotip hanya akan membawa kepada perlindungan sepanjang hayat terhadap serotip tertentu itu," terangnya.

Antara faktor risiko yang dikenal pasti bagi denggi teruk adalah mengalami episod kedua jangkitan denggi.

Faktor risiko lain termasuk mempunyai lebih satu masalah kesihatan serentak atau komorbiditi seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis.

SOALAN: Apakah simptom-simptom yang harus saya perhatikan?

Simptom-simptom yang menunjukkan seseorang dijangkiti denggi termasuk demam secara tiba-tiba selama dua hingga tujuh hari, pening kepala yang teruk dengan rasa sakit pada bahagian belakang mata, sakit sendi dan otot, ruam kulit, loya dan muntah, hidung atau gusi berdarah serta kulit mudah lebam, menurut laman NEA.

Mereka yang mengalami gejala sedemikian harus berjumpa dengan seorang pengamal perubatan awal untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan.

Dr Chia berkata senario terbaik adalah mengalami demam denggi dengan sendirinya tanpa sebarang tanda amaran atau malah denggi yang tidak bergejala.

Namun, senario paling buruk boleh berlaku adalah denggi teruk di mana individu mengalami pendarahan teruk dan kerosakan teruk pada organ seperti jantung, otak mahupun hati.

Tanda amaran lain bagi denggi termasuk mabuk kepala apabila berdiri atau duduk, kurang air kencing serta darah haid yang lebih banyak untuk kaum Hawa, tambah beliau.

“Ia juga penting untuk mengambil tahu masa bila demam sudah pulih atau menunjukkan tanda-tanda akan reda. Itu boleh menjadi masanya di mana tanda amaran berlaku dan kemerosotan mungkin berlaku," katanya.

Golongan lebih berusia mungkin kurang mengalami rasa sakit dan sebaliknya, hanya berasa lesu dengan atau tanpa pengurangan pada selera makan. Ini menjadikannya lebih mencabar untuk mendiagnos denggi awal dan menguruskannya dengan baik dalam kalangan kumpulan usia itu, kata Dr Chia.

Bergantung kepada sejauh mana teruknya jangkitan, pemulihan boleh mengambil masa antara beberapa hari hinggalah ke beberapa minggu.

Bagaimanapun, jika seseorang mengalami denggi teruk, pemulihan boleh memakan masa berbulan-bulan lamanya, kata beliau.

SOALAN: Bagaimana denggi disahkan dan dirawat?

Denggi hanya boleh disahkan melalui ujian darah. Di klinik, selepas pengesahan jangkitan denggi, nasihat yang tertentu akan diberikan berhubung tanda-tanda amaran dan apa yang perlu diperhatikan pesakit, kata Dr Chia.

Jika individu itu mempunyai sejarah kencing manis atau tekanan darah tinggi, ubat-ubatan untuk jangka panjang mungkin perlu disesuaikan dengan demam denggi yang dialami. Langkah susulan untuk ujian darah biasa semasa fasa penyakit akut itu mungkin juga diperlukan.

Rawatan denggi buat masa ini terutamanya bersifat sokongan dan mungkin terdiri daripada rawatan simptomatik serta cecair intravena jika perlu, katanya.

Menyentuh tentang penggunaan ekstrak daun betik carica, iaitu ubat bukan perubatan yang biasa digunakan di sini, beliau berkata perkara itu sudahpun dikaji dalam pengurusan kiraan platelet rendah dalam denggi.

Walaupun kajian itu menunjukkan bahawa ekstrak tersebut boleh mempercepatkan pemulihan platelet, kajian tersebut kebanyakannya "bermutu rendah hingga sederhana".

Buat masa sekarang, tiada bukti bahawa ekstrak daun betik meningkatkan hasil klinikal keseluruhan bagi kes denggi teruk, tambah beliau.

SOALAN: Bolehkah denggi dicegah?

Vaksin-vaksin baru terhadap denggi sedang dibangunkan, tetapi lebih penting lagi, Dr Chia menekankan pengamalan tabiat baik seperti disarankan oleh NEA untuk melindungi diri daripada penyakit itu.

Berikut adalah amalan baik yang disarankan:

- Gemburkan tanah yang keras
- Angkat dan bersihkan piring pengalas pasu bunga
- Telangkupkan baldi dan lap kering bibirnya
- Tukar air di dalam pasu
- Pastikan alur bumbung bersih dan bubuh racun serangga yang memusnahkan larva nyamuk

NEA juga menasihatkan orang awam supaya menggunakan kerap menggunakan ubat nyamuk untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk terutama jika mereka tinggal di kawasan kelompok denggi.

Ubat nyamuk yang mengandungi DEET, picaridin atau IR3535 sebagai bahan aktifnya adalah ubat nyamuk paling berkesan.

NEA juga menggesa penduduk, terutama mereka yang menetap di kawasan kelompok denggi, supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai seluar panjang dan baju lengan panjang.
Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan