Boleh pulang pada hari sama jalani pembedahan jantung, pesakit NUHCS jimat kos & selesa pulih di rumah
Para pesakit yang memerlukan rawatan Intervensi Koronari Perkutan (PCI) seperti belon angioplasti dan pemasangan ‘stent’ (tiub) bukan kecemasan di Pusat Jantung Universiti Nasional (NUHCS), kini mempunyai pilihan untuk pulang ke rumah sejurus selepas prosedur pada hari yang sama.

Penolong Jururawat Klinikal, Cik Yap El Fuon, Encik Azhar Zainal, Penolong Profesor Gavin Ng dan Dr Sim Hui Wen. (Gambar: NUHCS)
Dengan itu, para pesakit bukan sahaja boleh menjimatkan kos rawatan di hospital tetapi juga lebih selesa pulih di rumah.
Dalam pada itu, ia juga membantu pihak hospital untuk memperuntukkan katil-katil serta sumber-sumber dengan lebih berkesan.
Pada 2024, lebih 200 pesakit sudah meraih manfaat daripada khidmat NUHCS itu di NUH dan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH).

Beliau perlu menjalani pembedahan pada November 2024.
Menurut Encik Azhar, beliau pada awalnya menjangkakan perlu menginap di hospital selama beberapa hari.
Namun, mujur diberikan pilihan untuk pulang ke rumah sekitar lima jam selepas menjalani prosedur tersebut.
"Saya rasa gembira dari segi kewangan dan masa kerana kalau tidak ahli keluarga perlu datang setiap hari, ambil cuti, ambil teksi. Jadi daripada situ kita dapat menjimat banyak dari segi kewangan dan masa. Jadi mestilah gembira," kata Encik Azhar.
PESAKIT BOLEH JIMAT KOS SEHINGGA S$2,700
Dengan inisiatif tersebut, pesakit dianggarkan dapat menjimatkan kos antara S$1,300 hingga S$2,700.
Malahan, pihak hospital pula boleh menjimatkan wang sebanyak S$4,100 – jika pesakit pulang pada hari yang sama.
Menurut satu kajian oleh kumpulan jururawat angiografi di NUHCS yang diterajui oleh Penolong Jururawat Klinikal, Yap El Fuon, mendapati bahawa tiada perbezaan dalam hasil kardiovaskular antara para pesakit yang dibernarkan pulang pada hari yang sama berbanding mereka yang menginap semalaman di hospital.
Ini merujuk kepada kematian, serangan jantung, komplikasi pada salur darah dan kemasukan semula ke hospital selepas prosedur dilakukan.
PESAKIT JANTUNG YANG PULANG KE RUMAH TETAP DIPANTAU PARA DOKTOR
Mengulas lebih lanjut, Pengarah Klinikal Pusat Kardiologi Intervensi dan Angiografi di NUHCS, Penolong Profesor Gavin Ng berkata bahawa para pesakit yang dibenarkan pulang pada hari yang sama ditawarkan perkhidmatan rawatan selepas dibenarkan pulang dari hospital yang menyeluruh, sama seperti mereka yang menginap semalaman di hospital.
Ini termasuk akses kepada program pemulihan jantung NUHCS dan 'teleconsultation' dengan pasukan perubatan keesokan hari bagi memantau kadar pemulihan mereka.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan NUHCS pada Jumaat (30 Mei), antara kriteria bagi khidmat tersebut ialah hasil penilaian positif keadaan pesakit oleh pasukan perubatan selepas prosedur dan memastikan prosedur Intervensi Koronari Perkutan (PCI) berjaya dilaksanakan tanpa sebarang komplikasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.