Boleh pelihara hingga 2 kucing di flat HDB; wajib dapatkan lesen & pasang mikrocip

SINGAPURA: Para penghuni flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tidak lama lagi akan dibenarkan untuk memelihara kucing di rumah.
Di bawah rangka kerja pengurusan kucing yang diumumkan oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) pada Sabtu (11 Mei), para penghuni HDB boleh memelihara sehingga dua ekor kucing dan seekor anjing dengan baka yang diluluskan.
Bagi mereka yang menetap di kediaman privet pula, sehingga tiga ekor haiwan - kucing atau anjing dibenarkan.
Ini setelah mereka mendaftarkan lesen dan memasang mikrocip pada kucing-kucing itu mulai 1 September 2024.
AVS juga menetapkan tempoh peralihan selama dua tahun hingga 31 Ogos 2026 untuk membolehkan para pemilik haiwan peliharaan menyesuaikan diri dengan peraturan-peraturan di bawah rangka kerja baharu itu.

Hal itu diumumkan Menteri Negara Kanan, Pembangunan Negara, Tan Kiat How di acara Pet's Day Out pada Sabtu (11 Mei).
"Dengan sukacita, saya mengumumkan rangka kerja kami untuk meningkatkan pengurusan dan kebajikan kucing peliharaan dan masyarakat. Tempoh peralihan akan bermula pada 1 September tahun ini selama dua tahun. Kami akan menyediakan langkah-langkah sokongan untuk membantu pemilik kucing menyesuaikan diri dengan skim pelesenan baharu semasa tempoh peralihan ini," kata Encik Tan kepada para wartawan.
ANDA ADA LEBIH DARIPADA DUA EKOR KUCING?

Bagi penduduk yang sudah memiliki lebih daripada jumlah kucing yang dibenarkan, mereka tetap akan dibenarkan untuk terus memeliharanya.
Ini asalkan mereka mendaftar lesen bagi kesemua kucing itu sebelum tempoh peralihan tamat pada 31 Ogos 2026.
LESEN & MIKROCIP DIWAJIBKAN
Di bawah rangka kerja berkenaan, pelesenan bagi memelihara kucing dan memasangkan mikrocip pada haiwan-haiwan itu diwajibkan.
Ini bagi memudahkan lagi usaha untuk menjejaki kucing dan menjaga kesihatan awam serta kesejahteraan haiwan itu sendiri.
Sepanjang tempoh peralihan selama dua tahun itu, pendaftaran bagi lesen tersebut boleh dilakukan secara percuma.
Sebelum itu, para pemohon perlu mengikuti kursus pemilikan haiwan peliharaan secara online dan tidak dikenakan bayaran.

Mereka akan diajar bagaimana untuk menjadi pemilik haiwan yang bertanggungjawab dan memastikan keselamatan kucing-kucing terpelihara termasuk memasang alat perlindungan pada tingkap atau pagar rumah.
Di acara Pets' Day Out pagi tadi (11 Mei), Encik Tan juga menjelaskan langkah-langkah di bawah rangka kerja baharu itu.
"Pelesenan boleh mempertingkat pengesanan kucing peliharaan dan benarkan kita menangani wabak penyakit haiwan dengan lebih berkesan dan memastikan kesihatan awam yang lebih baik. Pelesenan juga membolehkan kita untuk menjejaki pemilik kucing yang tidak bertanggungjawab sekiranya mereka meninggalkan, mengabaikan atau mendera kucing mereka," jelas Encik Tan dalam ucapannya.
PERBEZAAN LESEN UNTUK KUCING YANG BELUM & SUDAH DIKEMBIRIKAN
Selepas tempoh peralihan itu, bayaran akan dikenakan bagi mendaftar lesen untuk setiap kucing.
Kadar bayaran juga berbeza bagi kucing yang belum dan sudah dikembirikan.
Bagi kucing-kucing yang belum dikembirikan, lesennya perlu diperbaharui dari semasa ke semasa.

Untuk lesen dua tahun misalnya, bayaran lesen untuk kucing yang sudah dikembirikan ialah S$25 berbanding S$165 bagi yang belum dikembirikan.
"Sedang kita akui manfaat pengembirian, kita sedar jika kita adakan peraturan pengembirian wajib untuk kucing peliharaan menerusi syarat pelesenan, ia akan secara tidak sengaja membuatkan pemilik-pemilik ini untuk tidak melesenkan kucing mereka. Ini akan menjejaskan matlamat utama kita untuk melesenkan semua kucing peliharaan di Singapura," ujar Encik Tan.
Para pemilik kucing bagaimanapun digalak untuk mengembirikan kucing mereka untuk elak pembiakan yang tidak disengajakan.
"Walaupun kita tidak menolak menjadikan pengembirian wajib pada masa depan, untuk tempoh peralihan ini, kita akan terus memantau situasi dengan dekat untuk memahami jika perlu untuk menyesuaikan langkah-langkah itu," menurut Encik Tan.
PEMILIK KUCING DARI KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH BOLEH DAPATKAN SOKONGAN

Dalam pada itu, keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang memelihara kucing juga akan dibantu.
Mereka boleh mengembirikan kucing dan memasang mikrocip padanya secara percuma di bawah program Sokongan Pengembirian Kucing Peliharaan (PCSS) yang juga akan dilancarkan pada 1 September ini.
Orang ramai boleh lungsuri laman AVS untuk mendapatkan maklumat tentang kriteria dan mendaftar untuk PCSS bermula 1 September ini.
PROGRAM UNTUK TANGANI JUMLAH KUCING MASYARAKAT

Tidak lupa tentang kucing-kucing masyarakat, Encik Tan turut berkongsi tentang program baharu 'Perangkap-Kembiri-Cari Rumah Baru/Lepaskan Secara Terurus (TNRM)'.
Di bawah program itu, AVS akan bekerjasama dengan kumpulan kebajikan haiwan, doktor haiwan dan penjaga masyarakat untuk menangani jumlah kucing masyarakat dengan lebih baik lagi.
Buat masa ini, terdapat sekitar 13,000 kucing terbiar di Singapura dan jumlahnya dijangka terus meningkat.

Di bawah program baharu itu, AVS akan bekerjasama dengan kumpulan kebajikan haiwan, doktor haiwan dan penjaga masyarakat untuk menanganinya.
"Kita akan mempertingkatkan lagi sokongan dana di luar pengembirian dan mikrocip untuk melibatkan daerah-daerah seperti perangkap dan pengambilan kucing masyarakat sebelum dan selepas pengembirian.
AVS berharap lebih ramai rakan-rakan kongsi akan tampil ke hadapan untuk sama-sama menjayakan program baharu TNRM itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.