Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Boleh bertudung: MHPA anggap ini lambang masyarakat tempatan 'terbuka dan progresif'

Persatuan dan karyawan-karyawan jagaan kesihatan termasuk jururawat Muslim menzahirkan rasa gembira bahawa 7,000 jururawat Muslim sektor awam boleh mengenakan tudung dengan pakaian seragam mereka jika mereka mahu, bermula 1 November ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan dan karyawan-karyawan jagaan kesihatan termasuk jururawat Muslim menzahirkan rasa gembira bahawa 7,000 jururawat Muslim sektor awam boleh mengenakan tudung dengan pakaian seragam mereka jika mereka mahu, bermula 1 November ini.

Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Islam (MHPA) menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (29 Ogos) itu sebagai melambangkan suatu masyarakat tempatan yang "terbuka dan progresif".

Menurut Presiden MHPA, Dr Norhisham Main, badan itu akan berganding tenaga dengan beberapa pihak berkepentingan seperti Kementerian Kesihatan (MOH) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk membantu para jururawat.

Beliau menambah, pihaknya juga berhasrat untuk meningkatkan pemahaman tentang pemakaian tudung di kalangan masyarakat umum bagi mencapai persefahaman.

"Mungkin mereka (masyarakat umum) tidak faham kenapa kena pakai tudung atau sebagainya jadi dari situ mungkin kita boleh bantu dari segi memberi sefahaman sepertimana yang kita boleh lakukan," kata Dr Norhisham.

Beliau yang merupakan Ketua Jabatan dan Konsultan Kanan Jagaan Sokongan dan Paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong berkata buat masa ini pihaknya akan terus memantau sebarang maklum balas yang mungkin akan timbul dan menantikan perinciannya mengenai dasar itu.

"Kita boleh bekerjasama untuk membantu dan menyokong para-para jururawat yang mahu menggunakan tudung di tempat-tempat kerja mereka. Yang penting keselamatan dan jagaan pesakit-pesakit jagaan kami di hospital, klinik atau di mana-mana.

"Dari situ jururawat kita pun mungkin mesti rasa selesa menggunakan tudung di tempat kerja dan sewaktu menjalankan tugas-tugas mereka," kata Dr Norhisham.

KURANGKAN HAMBATAN BAGI KAUM MUSLIMAH DALAM SEKTOR KESIHATAN

Kesatuan Kakitangan Khidmat Jagaan Kesihatan (HSEU) pula berharap kebenaran memakai tudung bagi jururawat akan mengurangkan hambatan bagi kaum Muslimah yang berminat menyertai sektor kesihatan tetapi terhambat oleh peraturan sekarang.

"Rasa amat gembira tetapi pada masa yang sama rasa sebak, rasa sedikit terharu sebab perjalanannya agak jauh. Kalau kita lihat, dia bermula daripada 2013 sampai sekarang. Tetapi amat bersyukur kerana akhirnya semua golongan jururawat diberi kesempatan memakai tudung sama ada mereka mahu atau tak mahu," kata Setiausaha Cawangan Kesatuan Hospital Universiti Nasional (NUH) untuk HSEU, Cik Rohana Ismail.

(Gambar: NUH)

Beliau yang juga merupakan Pengurus Jururawat di NUH menambah bahawa menerusi maklum balas yang diterimanya "ramai golongan jururawat" lain juga rasa gembira.

Cik Rohana yang juga mewakili HSEU dalam Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan (ISC) turut berkongsi bahawa sepanjang beberapa bulan lalu, banyak perbincangan dilakukan bagi menimbangkan maklum balas anggota kesatuan dan para jururawat sendiri.

"Ia memberi kesempatan dan peluang untuk semua anak-anak baik sekular atau Madrasah untuk memasuki bidang kesihatan," kata Cik Rohana yang sudah berkhidmat selama 32 tahun dalam bidang kejururawatan.

Menurut beliau, ini kerana para pelajar tersebut tidak perlu lagi berasa khuatir mengenai isu berkenaan dengan tudung.

"Bagi mereka yang sudah biasa bertudung, mungkin mereka berasa kurang yakin tetapi bila kita membenarkan ini berlaku dalam bahagian kesihatan, ia memberi peluang untuk mereka semua terus memasuki bidang ini jika mereka berminat," ujar Cik Rohana.

Semestinya ini juga bermakna bahawa jururawat Muslim yang mengenakan tudung perlukan uniform baru. Jadi, bagaimana seragam tersebut akan diadakan?

"Saya rasa mungkin hospital yang berbeza akan mengambil langkah yang berbeza, untuk mendapatkan seragaman dalam pakaian mereka kerana tidak boleh memakai tudung yang pakai pin.

Boleh mendatangkan mudarat seperti kalau tercocok begitu. Jadi mungkin lebih kepada pakai tudung yang dapat menutup kepala tanpa banyak memakai pin dan seterusnya," kongsi beliau lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan