Skip to main content

Singapura

Bola sepak dron pupuk minat belia terhadap bidang STEM

Anggaran Waktu Membaca:
Bola sepak dron pupuk minat belia terhadap bidang STEM
Diterbitkan : 30 Jul 2026 07:27PM
SINGAPURA: Tentu ada yang akan terpinga-pinga apabila mendengar tentang 'drone soccer' atau bola sepak dron. Sukan ini sememangnya masih baharu bagi ramai tetapi aksinya tidak kurang mengujakan berbanding bola sepak biasa.

Pada hujung minggu lalu, satu kejohanan bola sepak dron bahkan menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan dari sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan kelab.

Acara pertama seumpanya di Singapura ini merupakan hasil kerjasama antara Perennial Business City dengan Pertubuhan Bola Sepak Dron Singapura (ADSS).

CARA PERMAINAN BOLA SEPAK DRON

Perbezaannya terletak pada cara permainan ini dimainkan. Pemain tidak turun ke padang. Mereka sebaliknya mengawal dron untuk menolak dan menjaringkan 'bola' ke gawang lawan.

Hanya seorang pemain berperanan sebagai penyerang dan dibenarkan menjaringkan gol. Empat lagi pemain pula memainkan peranan membuka ruang dan mengatur serangan.
Related article image
Maka tidak hairanlah sukan ini benar-benar menguji kemahiran mengendalikan dron. Pada masa yang sama, pemain juga perlu bekerjasama, menyusun strategi dan mengawal dron dengan tepat.

Setiap perlawanan berlangsung selama tiga pusingan, dengan setiap pusingan berdurasi tiga minit. Di antara pusingan pula, terdapat tempoh penyenggaraan selama lima minit.

SUKAN PUPUK MINAT PEMAIN TERHADAP STEM

Muhammad Akbar Nur Haq Ibnu Muhammad Iqbal, 17 tahun, diperkenalkan kepada bola sepak dron pada usia 13 tahun.

Peluang untuk menghasilkan dron sendiri memikatnya untuk mencuba sukan ini.

Siapa sangka, pengalaman 'bermain' akhirnya mendorong Akbar untuk mendalami kursus kejuruteraan di peringkat posmenengah pula.

Pelajar Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur ini juga sedang mewakili pasukan negara.
Related article image
Muhammad Akbar Nur Haq Ibnu Muhammad Iqbal.
"Bola sepak dron yang membuat saya berminat dengan bidang kejuruteraan. Saya dapat tahu bahawa saya dapat menggunakan kemahiran yang saya belajar daripada bola sepak dron dalam kejuruteraan dan situasi seharian," kongsi Akbar.

Kemahiran tersebut turut mendorongnya mempelajari aspek teknikal seperti memasang komponen dan melakukan kerja memateri, yang kini digunakan dalam pengajiannya di ITE.

Akbar menambah, bola sepak dron merupakan platform yang sesuai untuk memperkenalkan golongan muda kepada STEM.

"Selain mempelajari aspek teori di sekolah, pemain juga mendapat pengalaman secara langsung," ujarnya.

CABAR DIRI DALAM SUKAN DIKUASAI LELAKI

Meski baru melibatkan diri dalam sukan bola sepak dron sejak dua tahun lalu, Hany Nayli Hairil Ali kini merupakan antara pemain yang berpengalaman.

Hany sudah bertanding di peringkat antarabangsa dan berdepan pemain lebih hebat.

Menurut pelajar Kursus Diploma dalam Pengurusan Operasi Perindustrian Politeknik Republik itu, keputusan untuk menyertai sukan itu didorong keinginannya untuk mencabar diri dan mencuba sesuatu yang baharu.
 
Related article image
Hany Nayli Hairil Ali.
Walaupun sukan tersebut dikuasai kaum Adam, ia tidak menghalang Hany untuk terus mengasah kemahirannya dan bersaing di peringkat lebih tinggi.

Malah, dia menggalakkan lebih ramai wanita supaya tidak gentar mencuba sukan itu.

"Jangan rasa takut dan beranikan diri untuk mencuba. Pada mulanya mungkin terasa mencabar, tetapi lama-kelamaan kita akan memperolehi keyakinan, meningkatkan kemahiran dan membina persahabatan sepanjang perjalanan ini," kata Hany.

Sebagai seorang yang pemalu, sukan itu juga membantunya menjadi lebih yakin untuk berkongsi idea dan membantu rakan-rakannya dalam tugasan sekolah.

Hany menambah, bola sepak dron memberinya pendedahan kepada aspek teknologi dron, termasuk cara ia berfungsi serta kaedah penyelenggaraan dan pembaikannya.

"Saya rasa bola sepak dron membuat STEM lebih seronok dan ia menggalakkan saya untuk belajar lebih jauh, bukan sekadar di dalam kelas," kongsinya.

Setiap individu boleh menerbangkan dron, tidak kira usia atau latar belakang, tegas Hany lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita