Bola golf terkena hidung pelanggan, Decathlon tutup zon golf di cawangan Kallang
Decathlon Singapore menyatakan pada Sabtu (8 Mei), ia telah menutup zon uji golf di cawangan syarikat itu di Kallang, setelah satu kejadian di mana seorang pelanggan mungkin terkena bola golf.

(Gambar: Michael Kwok)
SINGAPURA: Decathlon Singapore menyatakan pada Sabtu (8 Mei), ia telah menutup zon uji golf di cawangan syarikat itu di Kallang, setelah satu kejadian di mana seorang pelanggan mungkin terkena bola golf.
Jurutera Michael Kwok, 40, menulis di Facebook bahawa beliau sedang berbelanja dengan beberapa rakannya di Decathlon Singapore Lab pada sekitar 10.30 malam kelmarin (7 Mei) apabila hidungnya terkena pukulan sesuatu yang keras.
"Kami sedang berjalan dan berbual-bual, apabila sesuatu yang keras tiba-tiba terbang ke arah kami dan terkena bahagian hidung saya dari sebelah kiri mata dan bunyinya sangat kuat," tulis Encik Kwok dalam catatan Facebooknya pada Sabtu.
Menurutnya beliau merasa mabuk selepas itu lalu rebah.
"Darah mengalir tanpa henti dari hidung saya," tambahnya.
Gambar yang dimuat naik oleh Encik Kwok menunjukkan tompokan darah di sebelah mukanya. Anggota paramedik dilihat sedang membantu beliau.
"Saya terdengar salah seorang kakitangan berkata bahawa saya terkena bola golf," kata Encik Kwok dalam catatan Facebooknya.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Decathlon menyatakan pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan meneliti rakaman CCTV di kedai tersebut. Tambahnya zon untuk menguji sukan golf di cawangan itu serta-merta ditutup menyusuli kejadian tersebut.
"Meskipun kami telah meletakkan papan tanda peringatan dengan jelas di stesen ujian, kami kini secara aktif menilai semula stesen ujian kami dan komited untuk mengelakkan berulangnya kejadian serupa pada masa depan," kata seorang jurucakap.
“Kami amat kesali kemalangan yang dialami Encik Kwok di Decathlon Singapore Lab. Kami menganggap semua pelanggan Decathlon Singapura sebagai rakan dan keselamatan pelanggan menjadi keutamaan kami."
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) ia menerima panggilan meminta bantuan di 230 Boulevard Stadium pada sekitar 10.50 malam pada Jumaat. Seorang lelaki dibawa ke Hospital Besar Singapura.
Menurut Encik Kwok, imbasan-X menunjukkan batang hidungnya retak.
"Doktor berkata saya perlu tunggu beberapa hari agar bengkak itu turun dulu sebelum kembali ke hospital untuk berjumpa dengan pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) tentang cara terbaik untuk meluruskan balik hidung saya," katanya .
Encik Kwok mempersoalkan sebab orang ramai dibenarkan menguji memukul bola golf di kawasan tertutup.
"Jarak dari kawasan menguji golf ke tempat di mana saya berada sebenarnya sangat jauh, lebih dari 10-20 meter. Sekiranya bola terkena mata saya, saya boleh jadi buta," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.