Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BOHME ceriakan lagi sambutan Hari Raya warga emas di pusat jagaan & kebajikan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Warga emas di pusat kebajikan dan jagaan juga tidak dilupakan dalam menikmati keindahan dan keceriaan sambutan lebaran kali ini.

Sebuah pertubuhan bukan meraih keuntungan, Betterment Of Humankind and Mother Earth (BOHME) menjelajah pusat-pusat penjagaan warga emas di merata Singapura untuk menyuntik keceriaan pada musim perayaan ini.

Sepanjang minggu pertama bulan Syawal, para sukarelawan daripada BOHME sudah turun padang ke lima pusat kebajikan dan jagaan warga emas.

Antaranya termasuk Pusat Jagaan Warga Emas Sree Narayana Mission (SNM) yang dikunjungi mereka pada Jumaat (28 Apr).

Hampir 50 warga emas di situ dapat "berpesta" dan menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan.

Di samping itu, mereka juga berpeluang mempelajari lebih tentang budaya dan adat orang Melayu.

Makanan seperti kuih-muih tradisional Melayu dan Mi Siam juga dihidangkan buat warga emas menjamu selera.
Gambar: BOHME
Pelbagai aktiviti dan juga persembahan bertemakan Hari Raya disediakan buat warga emas di pusat penjagaan itu.

"Acara seperti ini adalah perayaan yang menyatukan masyarakat bersama dan sebagai sebahagian daripada usaha kami kepada penerima perkhidmatan adalah untuk menjalankan acara seperti ini kerana warga emas kami rindukan perayaan dan semangat kampung ini," kata Pekerja Sosial & Program Masyarakat Pusat Jagaan Warga Emas Sree Narayana Mission (SNM), Cik Razina Shaukkath.
 
Gambar: BOHME

Cik Razina juga menarik perhatian bahawa perayaan Hari Raya pada tahun ini lebih bermakna kerana pusat penjagaan itu baru sahaja dibuka di kawasan Race Course Road pada September 2022.

Selain sambutan Hari Raya, mereka juga mengambil kesempatan itu untuk meraikan sambutan Hari jadi warga emas yang lahir pada bulan April.

A

SOKONGAN BERTERUSAN DARIPADA BOHME

Cik Razina juga sempat memuji sokongan berterusan yang diberikan daripada BOHME bagi acara itu.

Gambar: BOHME
"Secara keseluruhan, kami ada hampir lima sukarelawan daripada BOHME iaitu rakan kongsi kami yang sentiasa menyokong kami dalam sambutan hari lahir kerana mereka menyumbangkan set hadiah untuk mereka yang menyambut ulang tahun, sering datang untuk sesi pendekatan bulanan dengan warga emas dan melakukan aktiviti bersama mereka," kata Cik Razina Shaukkath.

Pengasas BOHME, Encik Muhammed Hassan menarik perhatian tentang peri pentingnya untuk menyambut perayaan Aidilfitri bersama untuk mengukuhkan semangat kemasyarakatan di Singapura.

Selain menceriakan warga emas pada lebaran ini, BOHME juga berharap usaha itu juga dapat mengeratkan lagi perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama.

"BOHME dan pasukan membantu memudahkan perpaduan antara masyarakat tanpa mengira bangsa bahasa atau agama sebagai bukti bahawa kita hidup di muka bumi ini saling bantu membantu, hormat menghormati, menghargai satu sama lain dan memeriahkan bersama-sama agar masyarakat Singapura lebih berjaya di masa hadapan," kata beliau.

Warga emas juga berpeluang mengongsikan nostalgia beraya pada masa dahulu dan memperagakan busana Hari Raya.
Gambar: BOHME

"Hari ini adalah sambutan Hari Raya jadi ia membawa saya balik ke zaman muda. Apabila saya teringat masa itu, itu adalah saat saya sangat gembira," kata peserta, Susan Seng Meow Eng.

Ada juga bersyukur tidak lagi bersendirian dan dalam kesedihan pada Hari Raya tahun ini.


"Hari Raya tahun ini sangat hebat dan istimewa buat saya kerana ini kali pertama saya. Saya gembira Hari Raya ini kerana sudah membuat ramai kawan dan saya sangat suka tempat ini. Sekarang saya tak rasa bersendirian dan sedih," kata seorang peserta lagi, Aesah Abdullah @ Mary Leong.

Mereka yang hadir juga tidak pulang dengan tangan kosong, mereka dapat membawa pulang sebuah pek hadiah Hari Raya yang mengandungi biskut dan juga minuman manis.

a
BOHME berharap dapat menjayakan lebih banyak acara seperti ini dan memberikan sokongan untuk menyatukan masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan