Skip to main content

Singapura

Bogel di masjid, ancam guru agama dengan pisau; 2 lelaki dipenjara

Dua lelaki hari ini (11 Mei) dijatuhi hukuman penjara setelah mengaku bersalah melakukan kesalahan di dalam masjid dan menyerang pegawai polis dalam satu insiden berasingan awal tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Bogel di masjid, ancam guru agama dengan pisau; 2 lelaki dipenjara

Gambar fail Masjid Darul Aman.

Diterbitkan : 11 May 2020 05:30PM Dikemas Kini : 11 May 2020 05:34PM

SINGAPURA: Dua lelaki hari ini (11 Mei) dijatuhi hukuman penjara setelah mengaku bersalah melakukan kesalahan di dalam masjid dan menyerang pegawai polis dalam satu insiden berasingan awal tahun ini.

Dalam satu insiden, Djamaludin Supadi, 53 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana berulang kali berbogel di dalam Masjid Darul Aman, yang terletak di Eunos, pada 3 Mac lalu.

Pada waktu itu, masjid-masjid setempat belum lagi ditutup disebabkan pandemik COVID-19.

Dia juga merosakkan kentong dan menumbuk seorang pegawai polis yang tiba di lokasi bersama lagi dua pegawai untuk menangani insiden tersebut.

Sementara itu, penggali kubur Fadhil Yusop, 35 tahun, mengelar bahagian tangan seorang individu yang sedang berlari-lari anak dan mengejar seorang lagi individu yang sedang mengayuh basikal.

Dia melakukan demikian sebelum memasuki dewan solat Masjid Al-Mawaddah di Sengkang dan mengancam seorang pegawai agama dengan sebilah pisau.

Pegawai berkenaan ketika itu sedang menjalankan kelas agama untuk sekitar 100 jemah.

Fadhil dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dua minggu, dari tarikh dia ditahan reman - iaitu pada 21 Januari.

KES DJAMALUDIN

Mahkamah diberitahu bahawa Djamaludin, yang menganggur, pergi ke Masjid Darul Aman dengan niat untuk bersolat.

Dia mendakwa terlihat dan mendengar malaikat serta merasa seakan satu "kuasa yang hebat".

Awal dari itu dia telah makan pil yang dibeli dari Geylang. Pil itu dipanggil "Power" dan didakwa memberikannya lebih banyak tenaga.

Setelah memasuki masjid, dia pergi ke kawasan yang dikepung dan mengangkat kentong.

Selepas menghayun kentong itu dengan begitu kuat, Djamaludin terjatuh. Begitu juga kentong tersebut yang kemudian retak.

Djamaludin kemudian bergolek-golek di lantai sebelum bangun dan melepaskan pakaiannya sehingga berbogel dan berbaring sekali lagi di lantai sebelum memutuskan untuk memakai seluar dalamnya.

Pada waktu itu, seorang imam memaklumkan insiden tersebut kepada pegawai operasi dan kemudahan masjid.

Pegawai itu cuba menyuruh Djamaludin memakai semula pakaiannya namun gagal.

Pegawai berkenaan dan rakan sejawatannya menahan Djamaludin sehingga polis tiba.

Seorang jemaah yang berada di masjid itu juga menghubungi polis, sambil berkata: "Ada seorang lelaki Melayu bogel. Saya pun nampak juga, saya tak boleh terima."

Apabila tiga pegawai polis tiba dan cuba bercakap dengan Djamaludin, dia tiba-tiba berdiri dan menumbuk salah seorang daripada mereka pada bahagian tulang rusuk sambil menghamburkan kata-kata kesat.

Dia juga bergelut apabila digari.

Dua pisau lipat dan tiga mata pisau lipat kemudian dijumpai padanya. Dia mendakwa ia adalah untuk kerjanya sebelum ini sebagai seorang penolong di dapur.

Sekalipun demikian, bekas majikannya berkata itu tidak benar.

Dalam rayuannya, Djamaludin berkata dia kehilangan pekerjaan dan berada keadaan "tidak stabil" apabila mengambil pil-pil tersebut yang menyebabkan dirinya khayal.

KES FADHIL

Mahkamah diberitahu pada 19 Januari lalu, Fadhil mengambil sebilah pisau sepanjang 22 sentimeter dari dapurnya dan mengayuh basikal ke arah Masjid Al-Mawaddah.

Sekitar pukul 8.00 malam, dia ternampak seorang mahasiswa, 24 tahun, yang sedang berlari-lari anak.

Apabila mangsa melihat Fadhil memegang pisau, pelajar tersebut memutuskan untuk berlari di jalan raya bagi mengelak pertembungan.

Fadhil bagaimanapun mengejarnya dan mengelar bahagian tangan pelajar tersebut sehingga menyebabkan luka berdarah sepanjang 20 sentimeter.

Mangsa berjaya melarikan diri dah mendapatkan lima jahitan bagi lukanya.

Selepas itu Fadhil ternampak seorang lagi individu - yang merupakan kakitangan IMH yang sedang mengayuh basikal ke tempat tersebut.

Lelaki itu segera turun dari basikalnya dan memberi isyarat kepada Fadhil agar berhenti.

Apabila Fadhil menunjukkan pisaunya kepada lelaki itu, beliau menolak basikalnya ke arah Fadhil dan segera berlari ke arah bertentangan.

Fadhil pada mulanya mengejar beliau namun berhenti selepas seketika.

Kira-kira pukul 8.20 malam, Fadhil memasuki masjid dan kemudian menghampiri seorang pegawai agama berusia 37 tahun. Dia memberi amaran kepada pegawai itu supaya berhenti mengajar.

Bimbang dan cemas, sebahagian jemaah yang menghadiri kelas agama itu menahan Fadhil.

Apabila polis tiba, Fadhil mendakwa mendengar 'suara-suara' yang menyuruhnya ke masjid.

Semasa ditangkap, Fadhil bergelut dan menendang seorang pegawai polis pada bahagian lutut.

Menurut laporan psikiatri, Fadhil memakan pil-pil penahan batuk dalam jumlah yang banyak. Dia juga didiagnosis dengan gangguan mental akibat pengambilan bahan ketagihan di Institut Kesihatan Mental.

Dalam rayuannya, Fadhil memberitahu mahkamah bahawa dia menyesali perbuatannya.

"Saya terlebih makan ubat batuk kerana itu adalah tabiat saya," katanya, sambil menambah dia merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga dan isterinya sedang hamil anak keempat.

Timbalan Pendakwa Raya Gabriel Lim memberitahu mahkamah, meskipun Fadhil didiagnosis dengan gangguan akibat pengambilan bahan ketagihan, dia boleh mengawal perbuatannya dan dia "menyebabkan dirinya sendiri mabuk".

Hakim Daerah Marvin Bay bersetuju dan mengatakan bahawa serangan ke atas individu yang sedang berlari-lari anak itu "kejam dan tidak bersebab".


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita