Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Blok HDB terpilih di sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh akan dipasang lokar sisa makanan

Satu percubaan selama setahun untuk mengumpulkan sisa makanan daripada penduduk akan dilancarkan di sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh pada November.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Sep 2021 03:22PM Dikemas Kini : 22 Sep 2021 08:48PM

SINGAPURA: Satu percubaan selama setahun untuk mengumpulkan sisa makanan daripada penduduk akan dilancarkan di sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh pada November.

Sebanyak 10 "lokar bijak" akan diletakkan di blok-blok HDB terpilih di kawasan itu, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (22 Sep).

Percubaan itu akan dijalankan oleh syarikat pengurusan sisa 800 Super Waste Management, yang hari ini dianugerahi kontrak baru pengumpulan sisa awam bagi sektor berkenaan. Sektor itu meliputi kawasan perancangan Ang Mo Kio, Bishan, Serangoon dan Toa Payoh.

“Lokar bijak ini akan dipasangkan dengan sistem bijak akses dari jauh 'Internet of Things', pengimbas kod QR dan penimbang berat," menurut NEA dalam satu kenyataan media.

"Keluarga-keluarga yang akan turut serta dalam percubaan itu akan diberikan kod QR unik dan bekas-bekas plastik kedap udara yang boleh diguna semula untuk menyimpan sisa makanan mereka.

“Keluarga-keluarga itu kemudian boleh melakukan pertukaran satu dengan satu bagi bekas plastik tersebut apabila mereka meletakkan bekas yang sudah diisi sisa makanan ke dalam lokar bijak itu."

Para peserta akan menerima ganjaran mata melalui aplikasi mudah alih 800 Super kerana membuang sisa makanan mereka. Mata-mata terkumpul itu kemudian boleh digantikan dengan baucar barangan dapur.

"Jika percubaan ini berjaya, 800 Super akan mengerahkan lagi 83 lokar bijak ke blok-blok HDB lain dalam sektor itu," tambah NEA.

TEKNOLOGI INOVATIF

800 Super dianugerahi kontrak baru bagi sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh oleh NEA selepas satu tender terbuka yang berdaya saing menyaksikan lima pembida menyerahkan tawaran.

Syarikat itu merancang untuk melaksanakan "teknologi inovatif" bagi meningkatkan daya penghasilan dan kemampanan. Di samping itu, ia akan memperkenalkan sekumpulan kenderaan baru merangkumi kenderaan elektrik, trak pengumpulan dengan dua bahagian serta trak kitar semula dengan pemuat sisi yang boleh dikendalikan oleh seorang kakitangan.

Trak pengumpulan sisa 800 Super. (Gambar: NEA)

(Gambar: NEA)

800 Super adalah pengumpul sisa sedia ada bagi sektor tersebut dan maka itu, ia akan terus menyediakan khidmat apabila kontrak semasanya tamat tempoh pada hujung bulan ini. Kontrak baru itu bermula dari 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2028.

“Sebagai sebahagian daripada usaha transformasi dalam industri pengurusan sisa, NEA menggalak penggunaan konsep dan teknologi inovatif bagi meningkatkan daya penghasilan serta kemampanan dalam pengumpulan sisa dan bahan boleh dikitar semula dalam tender awam kami bagi para pengumpul sisa awam," menurut NEA.

“Teknologi inovatif yang akan dilaksanakan oleh 800 Super di sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh untuk meningkatkan daya penghasilan dan kemampanan termasuk penggunaan trak kitar semula yang dilengkapi dengan pemuat sisi yang membolehkan pengumpulan barangan kitar semula dalam jumlah lebih tinggi dengan hanya seorang kakitangan dan alat pengganti bagi 32 unit pemadat bergerak di pusat-pusat tong sampah yang dilengkapi dengan pemadat tetap."

Pemadat bergerak perlu ditarik satu demi satu ke loji pembakaran manakala sisa daripada pemadat tetap boleh dikumpulkan oleh trak pengumpulan sisa yang sama untuk pembuangan, jelas NEA.

Pelaksanaan teknologi seumpama itu dijangka mengurangkan jumlah laluan bagi kerja-kerja pengumpulan sebanyak sekitar 11 peratus.

TRAK BARU

Sekumpulan trak baru 800 Super bagi pengumpulan sisa, bahan kitar semula dan sisa kebun dalam sektor berkenaan termasuk 14 kenderaan elektrik (EV). EV akan membentuk sekitar 45 peratus daripada jumlah trak itu.

Satu trak kitar semula juga akan dipasangkan dengan pemuat sisi.

Trak itu boleh mengumpulkan bahan kitar semula dan sisa kebun dalam bahagian yang berasingan pada masa yang sama, lantas mengurangkan jumlah perjalanan yang perlu dilakukan untuk membuat pengumpulan.

Semua kenderaan yang dikerahkan oleh 800 Super juga akan dipasangkan dengan sistem pemantauan kamera 360 darjah bagi mengurangkan sudut-sudut yang di luar penglihatan pemandu.

TINGKATKAN KITAR SEMULA

800 Super juga akan memperenalkan satu insiatif untuk meningkatkan usaha kitar semula dalam sektor berkenaan apabila kontrak barunya bermula nanti.

Sensor akan dipasangkan pada tong-tong kitar semula di estet-estet HDB mulai November. Ini akan membolehkan syarikat itu untuk memantau kapasiti tong pada masa nyata.

Selain itu, jelas NEA, ini juga akan membolehkan pengumpulan bahan kitar semula yang lebih segera dan mengurangkan insiden limpahan dalam tong sampah.

Bayaran pengumpulan sisa bulanan untuk setiap rumah kekal tidak berubah pada S$8.25 bagi mereka yang tinggal di flat HDB dan kondominium manakala S$27.47 untuk mereka yang menetap di rumah berhalamanan.

"800 Super akan memaklumkan kepada pemilik perniagaan mengenai yuran baru pengumpulan sisa mereka yang akan bergantung kepada pengeluaran sisa harian mereka," menurut NEA.

Sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh meliputi sekitar 147,400 premis. Daripada jumlah itu, 142,000 adalah rumah-rumah manakala 5,400 merupakan premis perusahaan seperti pusat penjaja dan gerai di pasar, kedai, rumah ibadat serta bangunan pemerintah. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan