Skip to main content

Singapura

'Blessing Groups' beri baju Hari Raya dan perabot percuma jika anda fakir miskin, memerlukan

Menjelang musim perayaan ini, semangat memberi dalam kalangan masyarakat semakin membakar.

Anggaran Waktu Membaca:
'Blessing Groups' beri baju Hari Raya dan perabot percuma jika anda fakir miskin, memerlukan

'Blessing Groups' dari Facebook beri baju Hari Raya kepada golongan yang memerlukan secara percuma. (Gambar-gambar: Azlinda Ahmad/Facebook)

SINGAPURA: Menjelang musim perayaan ini, semangat memberi dalam kalangan masyarakat semakin membakar.

Biasanya, pakaian atau barang-barang yang tidak digunakan lagi tetapi masih dalam keadaan yang elok, akan didermakan kepada badan-badan kebajikan atau masjid-masjid.

Selepas selesainya pengumpulan barangan dan pakaian itu untuk amal, para penerima bantuan selalunya dipelawa untuk memilih.

Related article image

(Gambar: Azlinda Ahmad/Facebook)

Usaha sebegini memang baik kerana selain memberi 'rumah baru' kepada pakaian atau barangan, ia juga dapat membawa keceriaan kepada pemilik barunya.

Namun, kini terdapat alternatif yang lain bagi golongan memerlukan untuk meraih manfaat yang sama, lebih-lebih lagi menjelang Syawal.

Menariknya, prosesnya lebih mudah dan ringkas.

WADAH SEPERTI FACEBOOK SEBAGAI ALTERNATIF UNTUK BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

Dengan wadah-wadah online seperti Facebook yang menawarkan kumpulan-kumpulan untuk menderma, atau lebih dikenali sebagai 'Blessing Groups', para penderma dapat dihubungkan langsung kepada para penerima bantuan. Antaranya termasuk Blessing for the needy SG, Blessings for MUSLIM NEEDY (Singapore) dan Ikhlas Blessings.

Related article image

Antara benda-benda yang didermakan termasuklah perabot-perabot rumah. (Gambar: Azlinda Ahmad/Facebook)

Mereka tidak lagi perlu melalui pihak ketiga semasa menderma dan boleh sahaja menderma terus kepada golongan yang memerlukan ini.

Antara benda-benda yang didermakan termasuklah baju-baju Hari Raya dan perabot-perabot rumah yang masih dalam keadaan yang cukup baik. Semuanya boleh digunakan bagi melengkapi sambutan Lebaran bagi golongan yang memerlukan dan tidak mampu membeli barangan sedemikian.

GALAK PENGGUNAAN SEMULA PAKAIAN ATAU PERABOT YANG MASIH ELOK

Related article image

Baju Hari Raya yang didermakan oleh Cik Azlinda Ahmad. (Gambar: Azlinda Ahmad/Facebook)

Antara pengguna Facebook yang menjadi 'pemberi' seperti itu ialah Cik Azlinda Ahmad, 45 tahun.

Ibu empat anak itu baru-baru ini memberi keceriaan kepada anggota masyarakat yang memerlukan dengan mendermakan baju Raya milik keluarganya melalui kumpulan-kumpulan derma, (SG) Blessing of items for low income Families (Organization: Wat Natawee SG), di Facebook.

"Kadangkala apabila kami sekeluarga beli baju kurung, kami akan pakai sekali atau dua kali sahaja dalam setahun. Itu pun sebab kami semua bekerja dan kalau tak ada acara istimewa, kami tak akan memakainya. Jadi rasa macam terbuang," kata Cik Azlinda.

Daripada dibuang, wanita ini lebih senang mendermakan pakaian-pakaian itu asalkan para penerima gembira dan dapat menggunakannya.

Kini pos yang dimuat naiknya dalam kumpulan derma di Facebook itu mendapati lima orang yang berminat untuk mengambil baju-baju Hari Rayanya.

PENDERMAAN DITOLAK DI BADAN-BADAN TEMPATAN

Dahulu, Cik Azlinda memang kerap mendermakan barang-barangnya kepada badan-badan kebajikan tempatan.

Namun, Eksekutif Penjualan Kanan dari syarikat Yusen Logistics itu mendapati bahawa badan-badan tersebut kadangkala terpaksa menolak pendermaannya kerana sudah menerima pendermaan yang melebihi sasaran mereka. Lantas, dia mengambil keputusan untuk mencari wadah lain pula, iaitu di laman Facebook.

Kini, sudah lima tahun Cik Azlinda menggunakan platform Facebook menerusi kumpulan-kumpulan derma tempatan untuk menderma. Menurutnya lagi, menerusi kumpulan-kumpulan ini, sesiapa yang berminat boleh memberi komen 'Q' di bawah pos tersebut.

Related article image

Sesiapa yang berminat boleh memberi komen 'Q' di bawah pos tersebut. (Gambar: Azlinda Ahmad/Facebook)

"Mereka yang 'Q' itu selalunya akan berkongsi mengapa mereka harus dipertimbangkan sepenuhnya. Dari situ, saya juga akan bertanyakan beberapa soalan mengenai latar belakang mereka seperti berapa anggota keluarga, pekerjaan mereka, serta kesusahan yang mereka sedang alami," kongsi Cik Azlinda.

Selain itu, para penerima juga akan memberitahunya bahawa mereka pemegang kad biru Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS). Ini juga menjadi salah satu indikasi bahawa mereka berada dalam golongan masyarakat yang berpendapatan rendah.

"Selepas mengkaji kriteria-kriteria ini semua, barulah saya akan menderma kepada para penerima," katanya lagi.

Bagi Cik Azlinda yang tidak suka menyimpan barang-barang yang tidak diperlukan lagi, wadah ini merupakan cara yang cepat untuk mendermakannya.

DEKATKAN HUBUNGAN ANTARA PENDERMA DAN PENERIMA

Dengan fungsi seperti pesanan mesej peribadi antara para penderma dan penerima di laman Facebook ini, tidak hairanlah jika ia dapat mendekatkan lagi hubungan mereka.

"Menurut pengalaman saya sendiri, apabila saya ke rumah para penerima tersebut, saya dapat melihat keadaan kehidupan mereka yang sebenar," kata Cik Azlinda.

"Dari situ, sifat belas kasihan ini bertambah dan kalau saya melihat mereka dalam keadaan susah, saya juga akan mendermakan wang kepada mereka," tambah beliau.

Yang jelas menjelang Syawal ini - dan juga mungkin pada musim-musim Syawal mendatang - golongan yang memerlukan mempunyai lebih daripada satu wadah yang boleh membantu mereka.

Selain itu, para penderma juga dapat mendermakan pakaian atau perabot yang tidak lagi diperlukan dengan lebih mudah dan cepat - iaitu terus kepada para penerima melalui wadah Facebook ini.

Ini juga semestinya satu cara mengitar dan mengguna semula sekali gus membantu golongan memerlukan dan menjaga alam sekitar dengan mengurangkan sisa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita