Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Black Friday permulaan yang baik untuk jualan musim cuti SG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Permulaan musim membeli-belah hujung tahun bermula dengan baik sepanjang hujung minggu Black Friday bagi kebanyakan peruncit di Singapura. 

Antaranya adalah wadah e-dagang Lazada, yang penjualannya pada dua jam pertama menjangkaui jumlah keseluruhan pada hari biasa. 

Barangan mahal seperti set televisyen dan keperluan harian seperti tuala antara barangan yang paling laris dijual, kata seorang jurucakap. 

"Kami boleh lihat yang pembeli mengambil peluang penjualan hujung tahun sebelum kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2023," tambahnya. 

GST akan dinaikkan 1 peratus kepada 8 peratus mulai 1 Januari 2023. 

Amazon Singapura pula mula membuat persiapan berbulan lamanya mula untuk Black Friday, yang jatuh pada 25 November. Firma tersebut menyaksikan lebih banyak pembelian barangan mahal oleh pelanggan, termasuk produk daripada kategori komputer dan peralatan rumah. 

Tambah seorang jurucakap, dengan pelonggaran kawalan perjalanan ke luar negara, kategori bagasi juga menyaksikan pertumbuhan tertinggi. 

Bukan peruncit online saja yang menyaksikan peningkatan penjualan pada Black Friday, iaitu tempoh penjualan yang dipopularkan di Amerika Syarikat (AS). Rangkaian  kedai serbaneka BHG Singapura mencatat peningkatan penjualan tiga kali ganda sepanjang hujung minggu lalu, berbanding 2019. Barangan kecantikan dan rumah merupakan kategori paling popular, selain peralatan rumah, kata Pengurus Am rangkain itu Vivien Lim. 

Namun, bagi kedai runcit lain, penjualan tidak banyak berubah.

Pengarah Eksekutif Persatuan Peruncit Singapura, Cik Rose Tong, berkata penjualan Black Friday tahun ini "tidak hebat" dan tidak menepati jangkaan bagi sesetengah peruncit, meskipun ia merupakan penjualan fizikal Black Friday yang pertama selepas ditiadakan selama dua tahun. 

Antara sebabnya adalah mungkin "disebabkan inflasi dan ketidaktentuan pekerjaan", kata Cik Tong. 

"Ia juga merupakan kali pertama selepas dua tahun ramai orang boleh ke luar negara dan justeru, 'kekurangan' potensi pelanggan. Keuntungan berkurangan disebabkan kenaikan kos perniagaan," tambah Cik Tong kepada Mediacorp. 

Namun, pembeli memberitahu Mediacorp bahawa terdapat manfaat apabila membeli-belah di kedai fizikal, seperti menyentuh sendiri  pakaian dan mencuba saiz sebelum membuat  pembelian. 

MEMBELI BARANG PADA HARGA LEBIH BAIK

Keghairahan membeli-belah meskipun terdapat inflasi sejagat dan ramalan ekonomi yang muram mungkin disebabkan pembeli memilih untuk membuat pembelian lebih awal, kata Dr Lau Kong Cheen, pensyarah kanan Program Pemasaran di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS). 

"Kenapa harus kita melepaskan tawaran baik yang ada sekarang, yang mungkin tidak ditawarkan lagi pada masa akan datang? Walaupun kita boleh ndapatkan potongan harga 50 peratus tahun depan, sama seperti sekarang, harganya mungkin sudah naik disebabkan inflasi dan GST," ujar Dr Lau. 

Ramai juga mungkin terpengaruh berbelanja kerana tawaran skim "beli sekarang, bayar kemudian", tambahnya. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan