Biskut Gerber ditarik balik di SG atas risiko akibatkan bayi tercekik
Biskut Gerber "Soothe 'n' Chew Teething Sticks" ditarik balik kerana berisiko menyebabkan bayi dan kanak-kanak kecil tercekik.
Biskut bayi Gerber ditarik balik secara sukarela oleh pengeluar di Amerika. (Gambar: SFA)
Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan pada Isnin (17 Feb) pihaknya dimaklumkan oleh pengimport Redmart mengenai usaha pengeluar produk itu di Amerika Syarikat menarik balik produk itu secara sukarela.
Sebagai langkah berjaga-jaga, SFA telah mengarahkan Redmart supaya menarik balik produk tersebut.
Perisa yang terjejas ialah strawberi epal dan pisang. Biskut itu dijual dalam sebuah kotak berisi enam batang, di mana setiap satu seberat 15 gram.
Biskut itu digunakan untuk melegakan kesakitan yang dialami oleh bayi yang sedang tumbuh gigi. Produk itu bagi kegunaan bayi berusia enam bulan dan ke atas.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika (FDA) dalam satu pengumuman pada 31 Januari lalu menyatakan ia menarik balik produk itu selepas menerima aduan pengguna
mengenai kejadian bayi tercekik.
Setakat 31 Januari, satu kes "lawatan ke jabatan kecemasan" dilaporkan kepada syarikat itu.
"Kami memohon maaf atas sebarang kebimbangan atau kesulitan yang dialami oleh para ibu bapa, penjaga, dan pelanggan akibat langkah penarikan balik produk ini," menurut Nestle USA dalam satu kenyataan.
Makanan yang diketahui tidak selamat untuk dimakan tidak sepatutnya dijual, menurut SFA.
"Pengguna yang telah membeli produk tersebut dinasihatkan supaya tidak memberikannya kepada anak mereka," kata pihak berkuasa itu.
"Bagi mereka yang anaknya telah memakan produk tersebut dan mempunyai kebimbangan mengenai kesihatan anak mereka harus mendapatkan nasihat perubatan. Para pelanggan boleh menghubungi tempat mereka membeli produk itu jika mempunyai sebarang pertanyaan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.