Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Biro Melayu PAP lancar MAB Muda, sediakan wadah bagi belia cetus perubahan dan cipta huraian bagi masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para belia Melayu/Islam yang berminat dalam perihal politik kini mempunyai satu wadah baru untuk menyuarakan keprihatinan mereka kepada para penggubal dasar. 

Ini menerusi sebuah gerakan yang dipanggil MAB Muda yang dilancarkan hari ini (12 Jun) oleh Biro Hal Ehwal Melayu (MAB) Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Gerakan itu juga menyediakan platform untuk para belia sama-sama cetuskan perubahan dan mencipta huraian bagi masa depan. 

Sejak PAP ditubuhkan, MAB giat memperjuangkan perubahan serta dasar-dasar yang menangani keperluan dan keprihatinan semasa masyarakat Melayu/Islam. 

Menurut biro itu, Pelancaran MAB Muda hari ini (12 Jun) mengesahkan lagi komitmen PAP untuk mendampingi dan bekerjasama dengan generasi belia yang seterusnya untuk sama-sama bertindak demi mencapai visi Singapura yang mereka inginkan. 

(Gambar: Hakim Irwan)

Gerakan MAB Muda akan dipengerusikan oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim dan AP GRC Ang Mo Kio, Nadia Ahmad Samdin. 

"Belia Melayu/Islam ingin menyumbang secara bermakna kepada masyarakat kita serta masa depan Singapura. Ramai yang menunjuk minat dalam usaha-usaha sosial dan aktivisme termasuk dalam ruang politik. MAB Muda adalah wadah untuk mendengar suara dan pengalaman mereka serta memupuk minat bersama mereka," kata Cik Nadia

"Kami akan mengambil tindakan dengan rakan-rakan serta golongan belia bagi wujudkan perubahan positif - kami dengar suara mereka, dan kami di sini untuk mereka," jamin beliau. 

KEPRIHATINAN UTAMA BELIA MELAYU/ISLAM

Usaha ini sejajar dengan aspirasi golongan belia Melayu/Islam Singapura seperti yang dicerminkan dalam satu tinjauan yang dilakukan MAB PAP. 

Dapatan tinjauan itu turut didedahkan di majlis pelancaran gerakan itu siang tadi.

(Gambar: Hakim Irwan)

Tinjauan yang melibatkan 162 belia Melayu/Islam yang berusia 35 tahun dan ke bawah itu menunjukkan betapa golongan tersebut peka dengan isu-isu yang membelenggu masyarakat mereka. 

Golongan belia Melayu/Islam Singapura juga didapati inginkan penggubal dasar mengambil kira aspirasi mereka serta mempunyai lebih perwakilan yang lebih besar bagi isu-isu yang dekat di hati mereka.
 
Dapatan tinjauan itu dikongsikan oleh Penolong Setiausaha MAB, Profesor Madya Elmie Nekmat. 

Antara dapatan yang menarik perhatian termasuk, hampir 20 peratus responden merasakan bahawa kos perumahan dan keselamatan adalah cabaran paling utama yang dihadapi golongan belia Melayu/Islam. 

Gaji rendah di tempat kerja pula menyusuli sebagai cabaran kedua tertinggi, manakala hampir 18 peratus responden merasakan bahawa isu diskriminasi turut menjadi antara cabaran paling utama yang membelenggu golongan belia. 

Dalam pada itu, lebih 90 peratus belia tidak merasakan bahawa isu kurang pengambilan pekerja dan kekurangan peluang bagi peranan kanan di tempat kerja sebagai cabaran utama untuk mereka. 

ADAKAH BELIA MELAYU/ISLAM MINAT DALAM POLITIK DAN BERSEDIA UNTUK MASA DEPAN? 

Antara persoalan yang ingin diketahui pihak MAB menerusi tinjauan tersebut adalah sejauh mana belia Melayu/Islam minat tentang perihal politik. 

Sebahagian besar responden iaitu lebih 45 peratus daripada mereka agak minat dalam bidang politik. 

8 peratus responden didapati 'sangat minat' manakala sekitar 18 peratus pula 'minat' dalam politik. 

Kurang 24 peratus tidak begitu minat dan kumpulan yang paling kecil iaitu sekitar 5 peratus pula tidak minat langsung. 

Di samping itu, para belia terlibat juga ditanya tentang sejauh mana golongan belia bersedia menghadapi cabaran dan peluang masa depan. 

Hanya sekitar 22 responden tinjauan itu merasakan bahawa golongan belia sama ada 'sangat bersedia' atau 'bersedia' dalam aspek tersebut. 

Lebih 77 peratus responden pula merasakan bahawa golongan belia 'bersedia tahap sederhana (56 peratus). tidak begitu bersedia (19 peratus) dan tidak bersedia langsung (3 peratus). 

MAJORITI BELIA MAHU LAKUKAN SESUATU BAGI BANTU CAPAI ASPIRASI MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Belia Melayu/Islam juga merasakan kewarganegaraan yang aktif adalah perlu supaya harapan dan
aspirasi mereka diambil kira. 

Misalnya, hampir 25 peratus responden menunjukkan keinginan untuk lebih banyak perwakilan belia manakala hampir 24 peratus responden pula mahukan lebih banyak perbincangan dasar antara belia dengan
penggubal dasar. 

Selain itu, lebih 16 peratus belia mahu gunakan platform online seperti media sosial dan podcast untuk tingkatkan kesedaran dan kongsi pandangan mereka. 

Berkenaan tahap kesediaan dan keinginan golongan belia untuk mengambil sebarang tindakan dalam membantu untuk mencapai aspirasi masyarakat Melayu/Islam di negara ini, hampir 70 peratus berkata mereka 'sangat berkemungkinan' atau 'berkemungkinan' untuk tampil membuat sesuatu bagi tujuan itu. 

Kurang 30 peratus pula yang 'tidak berkemungkinan', 'tidak langsung' atau 'agak berkemungkinan' mengambil tindakan. 

SUARAKAN KEPRIHATINAN GOLONGAN BELIA KEPADA PENGGUBAL DASAR MENERUSI MAB MUDA

Semasa sesi pelancaran itu, para pengerusi gerakan tersebut turut berjumpa dengan beberapa wakil badan-badan Melayu/Islam serta para individu daripada pelbagai industri. 

Dalam sesi tersebut, para peserta berbincang tentang dapatan tinjauan MAB PAP untuk memahami keadaan golongan belia Melayu/Islam di Singapura serta cara-cara untuk mempersiapkan mereka bagi masa depan Singapura. 

(Gambar: Hakim Irwan)

Encik Zhulkarnain berkata: "Perbincangan hari ini membantu kita mengenal pasti isu-isu yang dihadapi belia Melayu/Islam kita. Perbualan kita bersama mereka, memang kita lihat ada keinginan yang ikhlas untuk bersama-sama mengambil lebih banyak tindakan, bukan sahaja untuk peringkat masyarakat tetapi untuk negara."

"MAB Muda adalah kesinambungan usaha-usaha kita untuk merangkumkan lebih ramai belia dari pelbagai latar belakang dan untuk memperjuangkan kepentingan kolektif kita ke arah masa depan yang lebih cerah bersama," tambah Encik Zhulkarnain. 

Dalam beberapa bulan mendatang, gerakan tersebut akan meneruskan usaha mendampingi belia Melayu/Islam serta mengumpul maklumat tentang keprihatinan masyarakat dan cadangan-cadangan bagi perubahan dasar dan undang-undang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HK
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan