Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Biro CNA di Myanmar menang Anugerah Hinzpeter atas liputan berita keganasan polis

Biro CNA di Myanmar memenangi Anugerah sulung Hinzpeter untuk Berita bagi liputan mereka tentang keganasan polis semasa bantahan besar-besaran terhadap rampasan kuasa tentera di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Biro CNA di Myanmar menang Anugerah Hinzpeter atas liputan berita keganasan polis

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 01 Sep 2021 10:46PM Dikemas Kini : 01 Sep 2021 10:47PM

SINGAPURA: Biro CNA di Myanmar memenangi Anugerah sulung Hinzpeter untuk Berita bagi liputan mereka tentang keganasan polis semasa bantahan besar-besaran terhadap rampasan kuasa tentera di negara itu.

Semasa mengumumkan anugerah itu pada Rabu (1 Sep), pengerusi jawatankuasa pemilihan berkata dua wartawan CNA "memberi liputan tentang keganasan polis yang melepaskan gas pemedih mata secara membabi buta dan memukul serta menahan orang awam dalam satu video... yang disiarkan di merata dunia" pada 27 Feb.

"Video itu mendedahkan kepada masyarakat antarabangsa penindasan kejam tentera Myanmar dan keganasan terhadap orang awam," kata Encik Ian Phillips, yang juga merupakan naib presiden divisyen antarabangsa di AP News.

"Ia secara jelas menunjukkan semangat keberanian dan dedikasi wartawan berkenaan yang sanggup merakam kebenaran dan sejarah serta tentangan penduduk Myanmar, yang mahukan demokrasi dan pemulihan perlembagaan, di samping tidak menyerah kalah kepada ancaman terhadap nyawa mereka."

Identiti wartawan video CNA itu tidak didedahkan untuk melindungi mereka dan keluarga mereka.

Memberi respons tentang anugerah itu, korespondan CNA di Myanmar Leong Wai Kit berkata: "Saya amat berbesar hati bahawa usaha pasukan CNA di Myanmar untuk menyampaikan liputan berita meskipun dalam keadaan yang sukar dan berbahaya diiktiraf di persada antarabangsa. Anugerah ini bukti terhadap komitmen pasukan ini untuk memberi perkembangan di Myanmar."

Anugerah Hinzpeter dinamakan sempena wartawan Jurgen Hinzpeter yang menyusup masuk ke Gwangju pada 18 Mei 1980 dan merakam kejadian pembunuhan beramai-ramai di tengah-tengah penindasan tentera terhadap Gerakan Demokrasi Gwangju.

Dianjurkan bersama Yayasan Peringatan 18 Mei dan Persatuan Wartawan Video Korea, anugerah itu diadakan untuk "mengenal pasti dan menarik perhatian kepada wartawan video seperti Hinzepter yang mempamerkan semangat kewartawanan luar biasa dalam liputan mereka terhadap gerakan demokrasi di merata dunia", seperti yang tercatat di lamannya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan