Skip to main content

Singapura

Biografi 'Aku, Idris dan Muzik' antara 11 buku dilancarkan di Pesta Buku Melayu SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Biografi 'Aku, Idris dan Muzik' rasmi dilancarkan dalam Pesta Buku Melayu Singapura 2024 di Wisma Geylang Serai pada Sabtu (17 Ogos).

Buku hasil nukilan seorang guru pencen, Zaharah Jantan itu menceritakan perjalanan kisah lebih 50 tahun penglibatan arwah suaminya dalam bidang pancaragam.

Allahyarham Idris Md Yusof merupakan mantan pengarah muzik Pancaragam Pasukan Polis Singapura.

Pelancaran biografi itu dirasmikan Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman.

Dalam ucapannya, Encik Fahmi berkata bahawa buku tersebut adalah hasil rasa cinta yang mendalam Cikgu Zaharah kepada arwah suaminya.

A

"Arus hidup pasangan Allahyarham Idris Md Yusof dan Cikgu Zaharah yang terakam dalam buku ini mengajak kita menyusuri sejarah Singapura, bermula dengan tahun 50-an. Catatan Cikgu Zaharah tenang bagaimana mereka berdua melalui pelbagai rintangan, kejayaan dan perubahan yang dialami dari zaman kanak-kanak sehingga persaraan, sudah pasti akan membangkitkan bermacam kenangan, aspirasi, perasaan dan kesedaran dalam pembaca," kata Encik Fahmi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sumbangan Cikgu Zaharah Jantan dan Allahyarham Idris Md Yusof dalam bidang masing-masing.

"Bagi Allahyarham Idris, cintanya pada muzik sangat mendalam. Buku ini menceritakan bagaimana Allahyarham telah menggunakan muzik sebagai wadah bagi beliau menyumbang kepada masyarakat.

"Begitu juga bagi Cikgu Zaharah. Cintanya kepada bahasa ibunda kita dan bidang penulisan menjadi cara beliau menyumbang kepada khazanah persuratan dan sejarah masyarakat Melayu dan Singapura, walaupun pada usia warga emas beliau," kata Encik Fahmi.

Di majlis pelancaran itu juga, sebuah persembahan begpaip khas juga diadakan bagi memperingati sumbangan Allahyarham Idris.

Allahyarham merupakan antara individu yang bertanggungjawab mengasaskan pasukan pemain begpaip wanita dalam pancaragam polis semasa tahun-tahun awal kerjayanya.

Semasa majlis pelancaran buku itu, anggota-anggota pancaragam polis Singapura yang dahulu dan baharu membuat persembahan bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Idris.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita