Skip to main content

Singapura

Bincang tentang pengambilan semula pekerja sejak usia mereka 40-an tahun: Josephine Teo

Para majikan perlu mengadakan perbualan dengan pekerja mereka dari awal - seawal mereka berusia 40-an tahun - tentang persaraan dan pengambilan semula pekerja untuk memastikan proses peralihan yang licin, menurut Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Rabu (28 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Aug 2019 03:14PM Dikemas Kini : 28 Aug 2019 10:13PM

SINGAPURA: Para majikan perlu mengadakan perbualan dengan pekerja mereka dari awal - seawal mereka berusia 40-an tahun - tentang persaraan dan pengambilan semula pekerja untuk memastikan proses peralihan yang licin, menurut Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Rabu (28 Ogos).

Ini termasuk menimba kemahiran baru dan penugasan semula pekerja-pekerja lebih berusia untuk membolehkan mereka kekal bekerja buat tempoh lebih panjang.

Komen Cik Teo dibuat selepas ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 18 Ogos lalu apabila beliau mengumumkan bahawa Pemerintah akan menaikkan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja.

Usia persaraan 62 tahun sekarang akan dinaikkan secara bertahap-tahap kepada 65 tahun pada 2030. Usia pengambilan semula pekerja yang kini adalah 67 tahun pula akan dinaikkan kepada 70 menjelang 2030.

Kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja berumur lebih 55 tahun akan dinaikkan kepada kadar penuh, sebelum ia dikurangkan secara bertahap-tahap selepas usia mencecah 60 tahun dan sebelum mendatar, setelah mencecah usia 70 tahun. Perubahan pertama dijangka dilaksanakan pada 2021 dan akan disusuli dengan peningkatan secara bertahap-tahap.

Bercakap kepada para penyampai stesen radio Mediacorp, CNA938 Arnold Gay dan Yasmin Jonkers, Cik Teo berkata: "Salah satu perkara yang timbul daripada perbincangan adalah - para majikan mengatakan - jika pekerja saya yang lebih berusia akan berkhidmat dengan kami lebih lama, kami tidak boleh tunggu sehingga mereka berusia 62 tahun untuk memulakan perbualan tentang kemahiran baru atau penugasan semula.

"Perbualan itu harus bermula jauh lebih awal, malah bukan pada usia 60 tahun, bukan juga pada usia 55 tahun. Mungkin juga apabila mereka dalam usia 40-an, kita harus berfikir bagaimana mereka boleh ditugaskan semula secara bermakna dalam masa 10, 15 tahun akan datang.

"Ini kerana pembangunan kemahiran tidak berlaku semalaman dan anda juga harus memberi dorongan kepada para pekerja."

Ini adalah salah satu daripada tiga bidang yang harus disediakan oleh majikan untuk melakukan penyesuaian ketika mengambil pekerja lebih berusia, kata Cik Teo semasa wawancara tersebut.

Beliau menambah bahawa para majikan juga perlu berunding dengan kesatuan untuk menyesuaikan polisi-polisi jagaan kesihatan setelah pengenalan MediShield Hayat.

Bidang ketiga yang harus diberi tumpuan oleh majikan adalah tuntutan fizikal pekerjaan yang dilakukan oleh para pekerja lebih berusia.

JADUAL BAGI PELAKSANAAN PERUBAHAN

Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan lalu, Encik Le menggariskan bahawa Pemerintah akan mengambil masa sekitar 10 tahun untuk melaksanakan perubahan sepenuhnya ke atas usia persaraan dan pengambilan semula pekerja serta sumbangan CPF.

Cik Teo menjelaskan ini kerana terdapat banyak penyesuaian yang perlu dilakukan oleh para majikan untuk melalui peralihan itu.

Beliau menambah kebanyakan majikan bersedia untuk mengambil pekerja yang lebih berusia selagi mereka dapat memenuhi keperluan pekerjaan baru apabila perniagaan melalui pembaharuan kelak.

PELUANG UNTUK KEKAL AKTIF

Cik Teo juga menarik perhatian para pekerja lebih berusia mahu terus bekerja sebagai satu cara untuk kekal aktif dan atas keiinginan mereka untuk menyumbang lebih kepada masyarakat.

Kumpulan kerja perikatan tiga pihak juga mendapati para pekerja lebih berusia lebih memilih aturan bekerja yang kurang padat misalnya masa kerja lebih pendek dan jumlah hari yang dikurangkan, atau tugas lebih ringan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita