Binaan Koridor Utara-Selatan, pergerakan trafik dijangka perlahan di kawasan Novena
Pergerakan kenderaan di kawasan Novena mungkin lebih lambat kira-kira lima minit, kerana simpang utamanya akan diubah lewat bulan ini.
SINGAPURA: Pergerakan kenderaan di kawasan Novena mungkin lebih lambat kira-kira lima minit, kerana simpang utamanya akan diubah lewat bulan ini.
Perubahan itu dilakukan untuk pembinaan bahagian bawah tanah projek Koridor Utara-Selatan.
Selain pergerakan kenderaan, perubahannya juga menjejas pejalan kaki dan penumpang pengangkutan awam.
Persimpangan di Thomson Road yang menghubungkan penumpang antara kawasan bandar dengan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) juga merupakan persimpangan utama bagi Moulmein Road dengan Newton Road.
Buat sementara waktu, persimpangan itu akan diubah menjadi dua persimpangan-T dengan perubahan penjajaran dilakukan terhadap Moulmein Road dan Newton Road.
Perubahan itu untuk mengadakan ruang bagi tahap selanjutnya pembinaan Koridor Utara-Selatan.
Para pemandu yang melalui Thomson Road perlu berhenti di satu lagi lampu isyarat.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menganggarkan perubahan itu akan menambah masa perjalanan kenderaan dua hingga 2.5 minit pada waktu sibuk.
Para pemandu dari Moulmein Road menuju Newton Road pula perlu menggunakan lorong kiri di lampu isyarat itu apabila hendak membelok ke Thomson Road dan kemudian melalui jalan susur kiri masuk ke Newton Road.
Bagi perjalanan itu LTA menganggarkan tambahan masa memandu antara empat hingga lima minit pada waktu sibuk.
Perubahan penjajaran jalan itu akan dilakukan antara 8.00 malam 17 Oktober hingga 10.00 pagi keesokan harinya.
Dalam tempoh itu beberapa lorongnya akan ditutup tetapi jalan raya di sana masih boleh dilalui kenderaan.
Perubahan itu bagi tempoh dua tahun sebelum kembali kepada keadaan persimpangannya yang asal.
Berkaitan dengan perubahan itu stesen bas di depan Novena Square akan dipindahkan ke depan Royal Square mulai Ahad ini (11 Oktober).
Bagaimanapun semua perkhidmatan bas yang berhenti di stesen itu tidak berubah.
Laluan-laluan bawah tanah di sana akan ditutup menjelang suku kedua tahun depan.
Apabila laluan itu ditutup, dua jejantas yang mempunyai lif akan dibuka di sana.
Lebih banyak ruang juga akan disediakan untuk orang ramai menunggu di tempat lampu isyarat bagi menyeberang jalan.
Laluan bawah tanahnya akan dibuka semula apabila kerja membina Koridor Utara-Selatan selesai menjelang tahun 2026.
Ada juga laluan baru menghubungkan Revenue House dengan Goldhill Centre.
Koridor Utara-Selatan akan terhubung dengan dua Ekspreswe, Seletar dan PIE, serta East Coast Parkway.
Selain ada laluan khas bas, Koridor itu mempunyai laluan berbasikal menuju bandar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.