Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bina kerjasama, sekitaran saling hormati antara agama dan budaya adalah perjalanan berterusan: Presiden Tharman

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Membina kerjasama dan saling menghormati antara agama dan budaya adalah suatu perjalanan yang berterusan dan tidak boleh diabaikan.

Demikian ditekankan Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa berucap di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) anjuran MUIS pada Isnin (14 Okt).

Edisi kedua persidangan itu yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, mengangkat tema: ‘Pemimpin Masa Depan Berinspirasi: Membangunkan Kepercayaan, Memperkasa Masyarakat’.

Edisi pertama ICCOS diadakan pada 2022.

Presiden Tharman berkata membina sebuah masyarakat minoriti yang gemilang bukan sekadar suatu keinginan, tetapi suatu keperluan yang mendesak.

Apabila sesebuah masyarakat minoriti tidak mencapai potensi sepenuhnya atau mengalami diskriminasi, nilai-nilai yang dipegang sebagai sebuah negara akan terancam, kata beliau.

'

Beliau menekankan bahawa kerjasama pelbagai agama dan budaya adalah suatu perjalanan yang berterusan.

“Kepercayaan dan penghormatan yang tinggi antara komuniti kita hari ini tidak terjamin selamanya. Ia boleh runtuh, seperti yang telah berlaku di banyak masyarakat lain,” katanya.

Presiden Tharman juga menambah, "Walaupun kita berusaha menghapuskan prejudis kaum atau agama yang jelas, kita juga perlu memberi perhatian kepada prejudis dan pemisahan yang lebih halus—seperti sama ada kita melibatkan rakan sekelas atau rakan sekerja dari kumpulan etnik lain dalam perbualan, semasa makan tengah hari dan dalam kejiranan."

KETIDAKTENTUAN DUNIA, SIKAP TIDAK BERTOLERANSI ANTARA KUMPULAN ETNIK

Presiden Tharman menegaskan lagi bahawa perpaduan masyarakat yang terjalin di Singapura tidak boleh diambil ringan.

Menurut Presiden Tharman Shanmugaratnam, kejayaan itu adalah hasil kerja keras pemerintah dan masyarakat selama beberapa dekad, yang telah membentuk jalinan kukuh antara pelbagai kaum dan agama dengan tradisi yang berbeza.

Beliau menekankan kepentingan pencapaian itu, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan dunia dan peningkatan sikap tidak bertoleransi antara kumpulan etnik di seluruh dunia.

'

“Perpaduan berbilang kaum, walaupun pernah dicapai, tidak boleh diambil ringan. Ini mencerminkan realiti yang tidak selesa. Sejarah tidak berkembang secara automatik ke arah pemahaman yang lebih mendalam antara golongan kaum atau agama yang berbeza. Kita perlu menyemai identiti yang dikongsi dan mengurangkan pengasingan, walaupun masyarakat menjadi lebih kaya,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan, “Prasangka dan kebimbangan antara kaum bukan mudah untuk dihapuskan. Ia dapat timbul dengan mudah dan dimanipulasi oleh kuasa-kuasa dengan pandangan pelbagai, seperti yang kita lihat sejak kebelakangan ini, di Asia dan di merata dunia.”

Lantaran itu, beliau menasihati masyarakat agar terus belajar daripada sejarah dan kesilapan, serta menghadapi realiti yang melanda dunia.

"Kita boleh membangun berdasarkan pengalaman positif yang kita lihat, sedang kita berusaha untuk membina kompak sosial berbilang etnik berdaya tahan, dan membolehkan masyarakat minoriti berjaya dan berkembang maju," ujar Presiden Tharman.

ICCOS 2024 TAMPILKAN PANEL PERBINCANGAN, PESERTA DAPAT TIMBA PENGALAMAN DARIPADA PEMIMPIN MASYARAKAT

Sidang pada Isnin (14 Okt) dihadiri lebih 600 hadirin dari dalam dan luar negara.

Antara mereka yang hadir termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Sesuai dengan tema sidang tahun ini, para peserta berpeluang menyertai beberapa perbincangan panel yang merangkumi tema-tema seperti pemerkasaan sosial, kepimpinan, dan masa depan dalam sektor agama.

'

Para anggota panel dari luar negara termasuk Pengasas Bersama syarikat mengumpul dana untuk masyarakat Muslim, LaunchGood, Encik Omar E. Hamid dari Amerika Syarikat, Presiden Pusat Filipina untuk Islam dan Demokrasi, Cik Amina Rasul-Bernardo; serta Datuk Bandar Perbandaran Yala, Thailand, Encik Pongsak Yingchoncharoen.

Anggota panel turut berkongsi cabaran dan perkembangan yang dihadapi oleh masyarakat Muslim sebagai minoriti di negara masing-masing.

Cik Amenah berkata: "Apabila anda merupakan golongan minoriti, anda kekurangan perwakilan. Dan apabila anda kekurangan perwakilan, tiada peluang untuk anda. Saya rasa ini adalah masalah utama di negara kita."

"Namun, kami sedang berusaha untuk mendorong masyarakat menerima hal ini, terutama bagi menginspirasi orang ramai, khususnya golongan muda. Walaupun Singapura sangat pelbagai, kepimpinan agama di sini sangat maju," tambah Cik Amenah lagi.

Selain itu, para peserta juga berpeluang berhubung dengan pemimpin masyarakat untuk memperoleh pendekatan inovatif untuk menghadapi cabaran semasa menerusi "Pengalaman Perpustakaan Manusia".

'

Selain daripada para penerima Anugerah MUIS, para pemimpin masyarakat lain turut terlibat dalam kegiatan itu termasuk Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim serta Presiden Persatuan Muhammadiyah, Muhammad Azri Azman.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan