Skip to main content

Singapura

Bina benteng pantai, naik taraf infrastruktur sedia ada antara langkah lindungi tenggara SG daripada kenaikan paras air laut

Anggaran Waktu Membaca:
Bina benteng pantai, naik taraf infrastruktur sedia ada antara langkah lindungi tenggara SG daripada kenaikan paras air laut

Paparan artis bagi benteng pantai di Kawasan Pesisiran Selatan. (Imej: PUB)

SINGAPURA: Untuk melindungi kawasan rendah di Changi dan Kawasan Pesisiran Selatan (Greater Southern Waterfront) daripada banjir, satu kajian mencadangkan pembinaan struktur perlindungan pantai, dengan pembinaannya akan dimulakan pada tahun 2030-an, umum agensi air negara PUB pada Sabtu (30 Ogos).

Ini termasuk tiga benteng pantai yang menghubungkan Sentosa, Pulau Brani dan tanah besar Singapura, pengubahsuaian pada Bendungan Marina (Marina Barrage) dan membina struktur perlindungan pantai, antara langkah-langkah lain.

Struktur perlindungan pantai yang akan dibina lebih jauh ke kawasan darat, juga akan digunakan di Taman Pantai Changi untuk memelihara akses pantai dan mengurangkan kesannya ke atas biodiversiti.

Kajian khas di tapak perlindungan pantai untuk kawasan Bandar-East Coast dimulakan pada 2021 dan menelan belanja S$18 juta. Ia termasuk Kawasan Pesisiran Selatan, East Coast dan Changi.

PUB, bersama-sama dengan agensi-agensi pemerintah yang relevan, seterusnya akan meneliti kajian terperinci itu untuk membangunkan reka bentuk kejuruteraan berdasarkan langkah-langkah yang disarankan dan menjalankan penilaian kesan terhadap alam sekitar, menurut agensi itu.

Pembinaan struktur perlindungan pantai dijadualkan bermula pada tahun 2030-an.

Saranan-saranan untuk Kawasan Pesisiran Selatan dan Changi melengkapkan usaha perlindungan pantai lain di East Coast, di samping menyediakan barisan pertahanan berterusan untuk melindungi kawasan itu daripada kenaikan paras air laut, kata PUB.

Ini termasuk "Long Island" yang diumumkan pada 2023, yang akan mewujudkan kawasan air tertutup di hadapan Taman East Coast dan juga akan berfungsi sebagai benteng terhadap hakisan di tanah besar Singapura.

Semasa berucap di majlis pelancaran Pameran Perlindungan Pantai pada Sabtu (30 Ogos) di VivoCity, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata bahawa tidak seperti negara-negara besar, Singapura tidak mempunyai banyak pilihan.

"Oleh itu, melindungi pantai kita sangat penting," kata DPM Gan, sambil menambah bahawa perlindungan pantai adalah tugas kompleks yang akan mengambil masa selama beberapa dekad untuk diselesaikan.

"Tetapi kita perlu melakukannya dengan keupayaan unik kita untuk merancang jauh ke hadapan... Perlindungan pantai adalah satu lagi usaha sedemikian yang memerlukan usaha berterusan sejak beberapa generasi - dan sama seperti perumahan awam, air dan infrastruktur kita, ia adalah pelaburan yang penting bagi keselamatan dan daya tahan negara kita."

MELINDUNGI KAWASAN PESISIRAN SELATAN

Kawasan Pesisiran Selatan bakal menjadi kawasan pesisiran yang akan dilengkepi dengan "pembangunan pelancongan dan riadah bertaraf dunia, kata DPM Gan.

Kawasan ini merangkumi dari Terminal Feri Pasir Panjang ke Marina East, dan termasuk Sentosa dan Pulau Brani, yang akan dibangunkan menjadi destinasi pelancongan sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Sentosa.

Daripada kajian itu, tiga benteng pantai dan langkah-langkah melindungi pantai telah disarankan.

Dua benteng pantai akan menghubungkan timur Sentosa dengan Pulau Brani dan kemudian ke tanah besar Singapura, berdasarkan peta yang disediakan oleh PUB. Benteng pantai ketiga akan menghubungkan bahagian barat Sentosa barat dengan tanah besar Singapura, walaupun lokasi sebenar masih belum ditentukan.

Benteng pantai ini terdiri daripada satu siri pintu yang kekal terbuka untuk meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan membolehkan aktiviti maritim dijalankan. Semasa air pasang dan gelombang ribut, pintu tersebut akan ditutup untuk melindungi kawasan itu daripada banjir.

Benteng serupa boleh ditemui di negara-negara lain, seperti Thames di Britain dan Maeslant di Belanda.

PUB telah menimbangkan pendekatan alternatif untuk menaikkan tembok laut, atau penghadang yang dibina daripada konkrit dan batu, dan membina pintu pasang surut air laut di sepanjang kawasan pesisiran pantai.

Pintu pasang surut biasanya ditempatkan di seberang saluran air, seperti terusan yang besar. Ia terdiri daripada benteng yang boleh dinaikkan atau diturunkan untuk mengawal aliran air.

Sungguhpun demikian, pendekatan sedemikian akan menyekat pemandangan laut dan memerlukan lebih banyak tanah, kata PUB.

Sebagai sebahagian daripada kajiannya, agensi itu telah menimbangkan maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan, termasuk pakar, kumpulan pencinta alam dan belia tentang memelihara akses ke laut dan kawasan pantai.

DPM Gan berkata pembinaan benteng pantai akan membolehkan orang ramai masih mempunyai akses ke pantai dan menikmati pemandangan laut, yang telah dibangkitkan oleh beberapa peserta semasa sesi mengumpul maklum balas.

Sementara itu, perlindungan pantai sedia ada di Terminal Feri Pasir Panjang ke Taman Semula Jadi Labrador, dan dari Marina South ke Marina East akan dinaik taraf, menurut PUB.

Ini termasuk menaikkan struktur perlindungan sedia ada, yang dikenali sebagai 'revetment', di Marina South.

Bendungan Marina Barrage akan diubah suai untuk mengawal paras air laut yang meningkat.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita