Skip to main content

Singapura

Bimbang gaji tidak dibayar, sebahagian pekerja hijrahan mula cari kerja baharu, pertimbang pulang ke tanah air

Anggaran Waktu Membaca:
Bimbang gaji tidak dibayar, sebahagian pekerja hijrahan mula cari kerja baharu, pertimbang pulang ke tanah air

Pekerja hijrahan yang terjejas oleh isu gaji tertunggak semasa sesi pendampingan bersama NTUC, MWC dan MOM. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 26 Jun 2026 10:21PM Dikemas Kini : 26 Jun 2026 11:02PM
  • Ramai pekerja hijrahan, termasuk Encik Prakash, tidak dibayar gaji selama beberapa bulan oleh syarikat seperti KPA Engineering dan SK Industries di Singapura.
  • Sebahagian pekerja memilih untuk pulang ke negara asal, manakala yang lain mencari pekerjaan baharu dengan bantuan NTUC dan MWC.
  • Pihak berkuasa seperti TADM dan Kementerian Tenaga Manusia membantu pekerja memfailkan tuntutan gaji serta menyediakan bantuan kewangan dan penginapan sementara.
  • Majikan dipercayai berada di luar negara, dan pengarah syarikat terlibat belum memberi maklum balas kepada pihak media mengenai isu ini.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Menjelang Sabtu ini (27 Jun), wang sebanyak 10,000 rupee India (S$137) yang dikirim oleh bapa Encik Prakash dari India akan habis digunakan.

"Selepas wang itu habis, saya tidak pasti apa yang harus dilakukan. Saya akan tengok keadaan dahulu. Saya mungkin terpaksa meminjam wang," kata pekerja hijrahan itu, yang sebelum ini bekerja dengan syarikat KPA Engineering.

Beliau tidak dibayar gaji selama kira-kira empat bulan dengan tunggakan gaji berjumlah kira-kira S$7,100.

Encik Prakash bekerja di Singapura selama lebih dua dekad. Kini, beliau merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Trichy, Tamil Nadu - dan tidak berniat untuk kembali ke sini.

"Saya sudah berada di sini selama 21 tahun. Sekarang saya hanya mahu melihat bagaimana kehidupan saya di kampung halaman nanti," katanya kepada Mediacorp dalam bahasa Tamil pada Jumaat (26 Jun).

Kecederaan kaki yang dialaminya sekian lama menyukarkan usaha beliau untuk mencari pekerjaan lain dalam industri binaan.

Buat masa ini, beliau sedang mendapatkan nasihat perubatan sama ada beliau masih sihat untuk melakukan perjalanan jauh, sambil menunggu pembayaran gajinya yang tertunggak.

"Saya tidak tahu bagaimana prosesnya. Jika saya pulang ke kampung, memandangkan kes tuntutan gaji saya masih berjalan, adakah wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank saya? Ini adalah perkara yang perlu saya tanyakan kepada (Kementerian Tenaga Manusia)," katanya.

Pekerja lain pula memilih jalan yang berbeza.

Daripada lapan pekerja KPA Engineering yang ditemui Mediacorp pada Jumaat, lebih separuh menyatakan bahawa mereka sudah mula mencari pekerjaan baharu - malah ada yang berbuat demikian sejurus selepas majikan mereka gagal dihubungi beberapa minggu lalu.

Sebahagian daripadanya berkata mereka menemui syarikat yang sanggup menggajikan mereka, dan kini hanya menunggu dokumen kelulusan daripada pihak berkuasa.

Awal minggu ini, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Pusat Pekerja Hijrahan (MWC) menyatakan mereka menemui 150 jawatan kosong untuk pekerja yang terjejas.

Ketua kesatuan sekerja, Ng Chee Meng berkata pada Jumaat bahawa lebih banyak peluang pekerjaan muncul sejak itu.

"Kami telah menerima minat daripada lebih 80 buah syarikat dengan hampir 400 jawatan kosong, dan kesatuan-kesatuan kami sedang menghantar lebih banyak rujukan," kata Encik Ng dalam satu catatan di Facebook, sambil menambah bahawa penempatan pekerjaan akan bermula minggu depan.

Kira-kira 400 pekerja yang tidak dibayar gaji juga layak menerima S$200 dalam bentuk wang tunai dan baucar bagi membantu perbelanjaan harian mereka, dengan syarat mereka mendaftar sebagai ahli MWC.

Pihak berkuasa sedang memindahkan pekerja-pekerja tersebut ke satu kemudahan penginapan yang sama bagi menyelaraskan bantuan dengan lebih baik, kata Encik Ng.

Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) juga berada di lokasi pada Jumaat untuk membantu para pekerja memfailkan tuntutan gaji mereka.

Lebih 100 pekerja yang digajikan oleh KPA Engineering dan SK Industries sebelum ini hadir ke pusat perkhidmatan Kementerian Tenaga Manusia di Bendemeer untuk meminta bantuan selepas tidak dibayar gaji selama berbulan-bulan.

Majikan mereka dipercayai berada di luar negara.

Rekod awam menunjukkan bahawa salah seorang pengarah KPA Engineering yang berstatus penduduk tetap Singapura, Ramu Palani Velu, juga merupakan pengarah di SK Industries.

Beliau disenaraikan sebagai pengarah untuk lima buah syarikat lain di Singapura, termasuk VVR Plant Engineering, yang turut mempunyai pekerja yang tidak dibayar gaji selama berbulan-bulan.

Mediacorp sudah menghubungi syarikat-syarikat Encik Ramu untuk mendapatkan komen, tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita