Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bilik Komputer 'baru' Darul Islah diharap demi bantu pesalah, bekas pesalah lebih berdaya kerja

Penghuni rumah peralihan Darul Islah kendalian Jamiyah kini mempunyai sebuah bilik komputer lebih baru hasil sumbangan S$100,000 tajaan syarikat teknologi global, Acronis.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penghuni rumah peralihan Darul Islah kendalian Jamiyah kini mempunyai sebuah bilik komputer lebih baru hasil sumbangan S$100,000 tajaan syarikat teknologi global, Acronis.

Menerusi kemudahan lebih moden itu, para penghuninya - pesalah dan bekas pesalah - akan dilengkapi dengan kemahiran teknologi maklumat (IT), sekali gus diharap membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang lebih baik untuk mereka.

Bilik darjah komputer yang baru diubah suai itu merupakan sebahagian daripada Program Kemahiran IT - satu inisiatif antara Darul Islah, Dana Reben Kuning (YRF) dan Acronis.

(Gambar: Jamiyah Singapore)

Bagi projek ini, S$50,000 digunakan untuk mengubah elok dan meningkatkan bilik komputer itu dengan 15 komputer riba baru dan peralatan lain.

Baki S$50,000 pula digunakan untukmenganjurkan kursus-kursus latihan IT pada 2022.

Semasa melancarkan kemudahan itu, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim menekankan betapa menjadi celik komputer akan membuka pintu untuk peluang bagi pesalah dan bekas pesalah.

"Bilik Darjah Komputer ini akan membolehkan para penghuni meningkatkan pengetahuan dan kemahiran IT mereka, membina keyakinan dalam bidang ini, dan kemudian memperbaiki kelayakan bekerja selepas dibebaskan," tambahnya.

Pengasas bersama Acronis, Stas Protassov, pula berkata pihaknya sangat berbangga kerana dapat "menyumbang kepada tenaga kerja tempatan dan membina kesedaran siber di kalangan lulusan Program Kemahiran YRF-Acronis di Rumah Peralihan Jamiyah ini".

MENJADI CELIK KOMPUTER DAPAT BUKA PINTU PELUANG

Daya bekerja lazimnya merupakan hambatan besar yang membelenggu bekas-bekas pesalah, kata Dr Faishal.

Dengan adanya pekerjaan yang memberi kestabilan kewangan, ini dapat membantu bekas pesalah membina semula kehidupan mereka.

"Memandangkan teknologi kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita, menjadi celik komputer boleh membuka pintu peluang untuk kedua-dua pesalah dan bekas pesalah," ujar Dr Faishal.

(Gambar: Jamiyah Singapore)

Antara penghuni Darul Islah yang menjalani kursus latihan IT ini termasuk Alex (bukan nama sebenar).

Dia merupakan satu antara 16 peserta yang menjalani kursus latihan IT ini.

"Bila saya mempelajari kemahiran-kemahiran IT baru dengan pertolongan kakitangan Darul Islah dan para pelatih, ia memberi motivasi untuk saya mengubah kehidupan menjadi lebih baik," kongsi Alex.

Kerjasama antara Darul Islah, Acronis dan YRF ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru - ia sudah bermula sejak 2018 dengan Kursus Kemahiran Microsoft ICDL yang dikendalikan oleh mereka.

Antara yang diajar termasuk asas menggunakan komputer.

100 PERATUS LULUS, DIBERI SIJIL MICROSOFT

Sejauh ini, sekitar 46 penghuni meraih manfaat daripada program ini, dengan 100 peratus lulus dan diberi sijil yang disahkan Microsoft, menurut Pengerusi Rumah Peralihan Jamiyah, Dr Isa Hassan.

"Kami di Rumah Peralihan Jamiyah melengkapkan para pesalah dengan kemahiran yang relevan untuk mempertingkatkan lagi kelayakan bekerja dalam dunia digital ini," ucap Dr Isa.

"Ini bagi menyediakan mereka untuk proses integrasi semula yang berkesan dan menanam satu budaya pelajaran sepanjang hayat dalam penghuni kita dan membantu mendalami kemahiran mereka dalam masyarakat, selepas dibebaskan," tambah beliau lagi.

Bilik Darjah Komputer dan program-programnya ini ditawarkan di samping program pemulihan dan perkayaan yang memberi tumpuan kepada masyarakat oleh Darul Islah.

Ini termasuk program Art Therapy dan Project Happiness.

"Untuk tiga tahun akan datang ini dari 2022 hingga 2024, Rumah Peralihan Jamiyah akan memperkukuh dan membangunkan pelaksanaan dan khidmat program. Pelaburan dalam pembinaan kebolehan kakitangan Rumah Peralihan Jamiyah akan dilakukan," kongsi pengerusi Rumah Peralihan Jamiyah itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan