Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bilangan warga tua dapatkan vaksinasi COVID-19 tanpa janji temu 'amat positif'

Bilangan warga tua yang tampil mendapatkan vaksin COVID-19 tanpa sebarang janji temu didapati "amat positif" dan "semakin meningkat".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bilangan warga tua yang tampil mendapatkan vaksin COVID-19 tanpa sebarang janji temu didapati "amat positif" dan "semakin meningkat".

Demikian menurut dua pusat vaksinasi - Kelab Masyarakat Bedok dan Wisma Geylang Serai - kendalian syarikat Fullerton Health semasa kunjungan BERITAmediacorp ke sana pagi tadi (2 Jun).

Warga tua yang ditemui kami di pusat-pusat itu menyatakan antara sebab mereka tidak membuat pendaftaran bagi vaksinasi sebelum ini termasuk bimbang tentang masalah kesihatan dan juga jadual yang tidak menentu seperti perlu menjaga cucu.

Lantaran itu, mereka menyambut baik kelonggaran untuk terus datang ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 tanpa janji temu.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (31 Mei) mengumumkan bahawa mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas "boleh mengunjungi mana-mana pusat vaksinasi dan mendapat vaksin serta-merta" tanpa perlu janji temu. Menurut PM Lee, terdapat 280,000 warga emas yang masih belum menempah slot vaksinasi mereka.

SEKURANG-KURANGNYA 5 WARGA EMAS DATANG TANPA JANJI TEMU

BERITAmediacorp mendapati antara pukul 9.00 dengan 10.00 pagi tadi di Kelab Masyarakat Bedok, sekurang-kurangnya lima warga tua hadir tanpa janji temu untuk mendapatkan vaksinasi.

Ini termasuk Encik Abdul Kadir Haron, seorang pesara berusia 68 tahun.

Bagi Encik Abdul Kadir, dia memutuskan untuk terus datang mendapatkan vaksinasi atau secara "walk-in" kerana dia tidak mahu lagi melengahkannya.

Sebelum ini, dia teragak-agak untuk mendaftarkan diri bagi program vaksinasi atas sebab masalah kesihatan yang dialaminya.

"Pada masa itu, saya tengah berfikir kerana saya ada masalah kencing manis jadi saya mahu tunggu doktor yang periksa saya dan tanya bolehkah saya divaksin.

"Saya fikir lagi bagus kita selesaikan ini jadi kita rasa kalau hendak ke mana, rasa lebih selamat. Tidak ada terfikir rasa takut terkena jangkitan COVID-19," kata Encik Abdul Kadir.

TANPA JANJI TEMU MEMBANTU JADUAL TIDAK MENENTU

Di Wisma Geylang Serai pula, sekitar lima warga tua juga dilihat datang untuk mendapatkan vaksin COVID-19 tanpa sebarang janji temu antara jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Salah seorang daripada mereka, Encik Abbas Ali memberitahu BERITAmediacorp bahawa aturan tanpa janji temu itu lebih baik kerana ada dikalangan warga tua yang mempunyai jadual harian yang tidak menentu.

"Waktu itu saya fikir tunggu semua keluarga saya ambil dahulu, tengok keadaan mereka kalau okay baru saya datang. Itu sebab saya datang hari ini kerana semua sudah okay sebab saya di rumah perlu bergilir ganti jaga cucu. Bagi saya, lebih cepat lebih baik. Kita rasa takut jugalah kalau salah satu daripada keluarga kita dijangkiti," ujar Encik Abbas, 69 tahun.

Syarikat Raffles Medical Group, yang mengendalikan 15 pusat vaksinasi di merata negara, dalam pada itu menyatakan pihaknya sudah bersedia memenuhi permintaan jika jumlah warga tua yang ingin melakukan vaksinasi tanpa janji temu bertambah.

Kelmarin, PM Lee juga mengatakan bahawa mereka yang tidak berupaya bergerak boleh mendapatkan suntikan vaksin menerusi lawatan rumah ke rumah oleh karyawan perubatan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan