Skip to main content

Singapura

Bilangan peserta program anjuran rangkaian M³ meningkat saban tahun, dedah Masagos

Memandang ke hadapan, usaha-usaha akan dipergiatkan untuk mempersiapkan para pekerja bagi bidang-bidang pekerjaan dalam ekonomi baru.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Dec 2020 05:02PM Dikemas Kini : 26 Dec 2020 10:07PM

SINGAPURA: Pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan mempertingkatkan masyarakat dapat dijalankan, malah turut menyaksikan tahap penyertaan yang kian meningkat.

Kegiatan-kegiatan untuk mempertingkat diri dan menajamkan kemahiran ini tetap dianjur dan dikendalikan dengan selamat di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang sangat mencabar.

Lebih membanggakan adalah hasilnya yang menyaksikan jumlah penyertaan yang semakin meningkat walaupun berlatarkan ekonomi yang gawat sekarang.

Demikian menurut Menteri Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam sesi perkongsian akhir tahun bersama para pemimpin Melayu/Islam pada minggu lalu.

2 LAGI M³@BANDAR DITUBUHKAN

Masyarakat Melayu/Islam di kawasan Bishan-Toa Payoh dan Jalan Besar boleh menjangkakan lebih banyak program yang ditawarkan melalui rangkaian M³ mulai awal tahun depan.

Ini dengan tertubuhnya M³@Bishan-Toa Payoh yang dipimpin Anggota Parlimen Saktiandi Supaat dan M³@Jalan Besar yang diterajui oleh Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Encik Masagos turut mengumumkan berapa daya usaha baru dan semakan untuk memperkukuhkan lagi program-program yang disediakan.

Menurut Encik Masagos, keempat-empat Bidang Tumpuan M³ sudah memperlihatkan hasil yang sangat memberangsangkan.

BIDANG TUMPUAN M³ DAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Inisiatif pertama di bawah pelan bertindak M³ KelasMateMatika@CC (KMM) misalnya, menyaksikan anjakan minda yang positif dalam kalangan kanak-kanak terhadap subjek yang dianggap "sukar" itu.

Encik Masagos turut mendedahkan bahawa seramai 2,100 ibu bapa dan anak-anak mereka sudah menyertainya berbanding 170 pada 2018, lonjakan lebih 12 kali ganda.

Bilangan pasangan yang meraih manfaat daripada program Bersamamu sejak ia dilancarkan pada tahun lalu pula meningkat seganda kepada 6,000 pasangan.

Bidang Tumpuan Kedua M³ yang menggembleng tenaga masyarakat dalam usaha membantu para banduan serta keluarga mereka berjaya menarik hampir 400 <<386>> sukarelawan yang membantu 447 keluarga sejauh ini.

Kedua-dua bidang tumpuan itu diterajui oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

PROGRAM MENTOR BELIA PIKAT RAMAI RELAWAN

Setiausaha Parlimen Kesihatan (MOH), Rahayu Mahzam yang bertanggungjawab ke atas program bimbingan dan memperkasa golongan belia turut menunjukkan kemajuan yang sangat luar biasa, kata Encik Masagos.

Lebih 1,000 sukarelawan tampil sebagai pembimbing kepada remaja yang berusia antara 14 hingga 16 tahun dan juga para pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Program Pengupayaan Wanita M³ (EPG) dan Program Pengupayaan Lelaki (EPB) akan saling melengkapi program pendampingan MENDAKI dan juga di ITE.

Di samping itu, Pejabat Pementoran Belia MENDAKI akan juga menumpukan perhatian kepada masalah ponteng sekolah dan keciciran di ITE.

UPLIFT MUNGKIN DIPERLUAS RANGKUMI ITE

Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman mendedahkan program Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT) akan diperluaskan untuk merangkumi para pelajar ITE.

Menurut Dr Maliki, terdapat sebilangan pelajar ITE yang mungkin disalurkan ke dalam kursus yang kurang diminati atau tidak diminati sama sekali sehingga menyebabkan mereka memutuskan untuk tidak menamatkan kursus.

USAHA DIPERHEBAT BANTU PEKERJA TEMPUHI EKONOMI BARU

Para pekerja Melayu/Islam akan menerima lebih banyak sokongan bagi pekerjaan dan kemajuan kerjaya mereka di bawah bidang Tumpuan Keempat M³ yang dipimpin Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad.

Di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang, bidang tumpuan itu diperluaskan meliputi usaha membantu pekerja Melayu/Islam yang hilang pekerjaan serta mempersiapkan mereka mengharungi norma-norma baru pasca pandemik seperti yang dijalankan oleh Mendaki SENSE.

"Lebih kurang 3,500 orang telah ke depan untuk mendapat bantuan dan lebih 600 sudahpun mendapat penempatan dalam pekerjaan. Ini penting kerana kita perlu cepat untuk memberikan bantuan untuk mendapatkan pekerjaan secepat-cepatnya supaya mereka tidak jatuh ke dalam lingkaran kemiskinan sehingga tidak dapat keluar lagi," jelas Encik Masagos.

Memandang ke hadapan, usaha-usaha akan dipergiatkan untuk mempersiapkan para pekerja bagi bidang-bidang pekerjaan dalam ekonomi baru. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita