Bilangan orang Melayu daftar Surat Kuasa Berkekalan jauh lebih kecil berbanding bilangan nasional
Bilangan anggota masyarakat Melayu yang berdaftar bagi Surat Kuasa Berkekalan (LPA) masih jauh lebih kecil di peringkat nasional.
SINGAPURA: Bilangan anggota masyarakat Melayu yang berdaftar bagi Surat Kuasa Berkekalan (LPA) masih jauh lebih kecil di peringkat nasional.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga memberitahu BERITAmediacorp, daripada lebih 125,000 pendaftaran LPA, hanya 1.5 peratus sahaja dibuat oleh orang Melayu.
Surat Kuasa Berkekalan atau LPA adalah dokumen yang membolehkan seseorang melantik orang lain untuk membuat keputusan bagi mereka.
Contohnya, jika seseorang itu hilang keupayaan mental seperti nyanyuk atau demensia dan sebagainya, orang yang dilantiknya itu boleh membuat keputusan bagi pihaknya dalam soal berkaitan kebajikan peribadi seperti rawatan mahupun urusan kewangan.
Bagaimanapun kaedah tersebut kurang disambut oleh anggota masyarakat Melayu.
LPA MELAYU NAIK SABAN TAHUN TAPI PERATUSANNYA TETAP RENDAH
Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, MSF menyatakan bahawa sehingga Ogos 2021, sekitar 1,950 LPA adalah dari anggota masyarakat Melayu - cukup kecil.
Ini berbanding lebih 125,000 LPA secara keseluruhannya yang sudah didaftarkan oleh penduduk tempatan dengan Pejabat Penjaga Awam (OPG).
Perangkaan yang didedahkan kepada BERITAmediacorp juga menunjukkan, sejak lima tahun lalu, perangkaan orang Melayu yang memohon bagi LPA hanya sekitar 1 hingga 2 peratus sahaja setiap tahun. Ini perangkaannya:
TAHUN BILANGAN LPA MELAYU
2016 - 86 (1.1%)
2017 - 136 (1.1%)
2018 - 230 (1.0%)
2019 - 325 (1.3%)
2020 - 478 (2.2%)
2021 - 530 (2.1% - hingga Ogos)
Bagi lapan bulan pertama tahun ini pula, walaupun bilangannya mencecah 530 pendaftar, ia sekadar 2.1 peratus sahaja berbanding jumlah peringkat nasional.

MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DIGESA DAFTAR LPA
Lantaran itulah, MSF menyatakan: "Pejabat Penjaga Awam (OPG) sangat-sangat menggalak lebih ramai individu daripada masyarakat Melayu/Islam supaya mula merancang dan membuat LPA dengan keluarga masing-masing."

Sedar akan kepentingan tersebut, baru-baru ini sekumpulan peguam Melayu/Islam di bawah rangkaian M³ dengan kerjasama MESRA menganjurkan sesi percuma bagi individu yang ingin mendaftarkan LPA.
Sesi percuma terakhir yang diadakan pada 11 September 2021 itu dijalankan sebelum MSF melancarkan pendaftaran LPA secara online.
Peguam sukarela M³, Encik Imran Rahim memberitahu BERITAmediacorp bahawa khidmat guaman bagi urusan LPA boleh boleh menjangkau ribuan dolar.
"Kalau seseorang itu tidak ada Surat Kuasa Berkekalan kalau keupayaan mental mereka itu terjejas, mereka atau anggota keluarga mereka terpaksa membuat permohonan ke mahkamah untuk dilantik sebagai wakil ataupun 'deputy'.
Proses ini selalunya ambil lebih daripada satu tahun dan harganya pun mahal juga. Yang paling murahlah, saya dapat tahu berdasarkan pengalaman saya adalah S$7,000. Ada pula kes sampai S$25,000 juga," kata Encik Imran kepada BERITAmediacorp.
Menurut Encik Imran lagi, ramai yang salah faham dan beranggapan bahawa anak mereka secara automatik boleh mengendalikan harta benda dan hartanah bagi pihak mereka, sekiranya hilang keupayaan mental. Itu tidak benar jelas beliau.
KESEDARAN MENGENAI LPA
Sesi rangkaian M³ itu berjaya menarik sekitar 200 peserta dan lebih 80 daripada mereka memfailkan permohonan bagi LPA.
Antara mereka termasuk Encik Ramli Sarie yang melihat pendaftaran LPA bak menyediakan payung sebelum hujan.

"Kita tidak tahu kita akan jatuh sakit terutamanya dalam keadaan wabak COVID-19 dan jangka masa kita tua. Jadi apa-apa jadi kepada kita selagi kita masih hidup, kita sudah tak boleh membuat keputusan. Jadi kita perlukan orang yang kita percayai untuk menguruskan hal ehwal kewangan dan hal ehwal peribadi kita," kata Encik Ramli.
Isterinya Cik Nurshaerah Ibrahim, yang turut hadir di sesi itu menambah bahawa keputusan yang mereka buat untuk mendaftar bagi LPA dilaksanakan semasa mereka sedar.
Ini sekali gus boleh mencegah sebarang pertengkaran antara keluarga kelak, kata Cik Nurshaerah.
MUIS sudahpun mengeluarkan Fatwa membenarkan LPA pada Julai 2019.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.