Bilangan kes buang kucing peliharaan naik 2 kali ganda tatkala pandemik
SINGAPURA: Jumlah kes membuang kucing peliharaan meningkat dua kali ganda semasa pandemik ini.
Demikian dapatan kumpulan-kumpulan pencinta kucing yang bergerak di lapangan.
"Dua kali ganda yang kita sudah mendapat tahu kesnya meningkat. Satu kes mungkin ada lima kucing, 10 kucing. Jadi perangkaannya betul-betul menakutkan," kata Cik Safiah Mohd Basir, Pengurus Pelibatan Masyarakat, Persatuan Kebajikan Kucing (CWS).
COVID menjejas setiap aspek kehidupan dan periuk nasi. Kehilangan mata pencarian yang diburukkan dengan kos penjagaan kucing yang mahal di antara faktor mengapa ada peningkatan pada kes-kes pembuangan haiwan peliharaan itu.
Satu lagi faktor adalah keengganan segolongan pemilik untuk mengembirikan kucing peliharaan mereka.
"Ia akan menolong kurangkan kes orang mengabaikan atau buang kucing mereka," ujar Cik Safiah.
Selain isu pembuangan kebelakangan ini yang tular di media-media sosial, berlaku beberapa kes penganiayaan yang melibatkan kucing.
Di bawah undang-undang, pemilik yang didapati bersalah membuang atau mengabaikan kucing boleh didenda maksimum S$10,000 dan/atau penjara selama 12 bulan bagi kesalahan pertama. Hukumannya berganda bagi kesalahan berulang.
Dari 2017 hingga 2020, AVS menyiasat hampir 1,200 kes isu kebajikan dan kekejaman terhadap haiwan setiap tahun. Daripada jumlah itu, hampir 20 peratus merupakan kes pembuangan haiwan dan sekitar 5 peratus didapati sah kes pembuangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.