Bilangan keluarga penerima zakat tamat program pemerkasaan Leap naik lebih tiga kali ganda sejak diperkenalkan
Kohort 3 keluarga penerima zakat yang berjaya menamatkan program Leap, bergambar bersama Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim. (Gambar: MUIS)
Ini menjadikan jumlah keseluruhan keluarga yang telah menamatkan inisiatif Leap sejak ia diperkenalkan pada 2019 kepada 253 keluarga.
Kesemua 126 keluarga itu membentuk kohort ketiga yang menamatkan program itu, daripada 160 keluarga yang menyertainya kali ini sejak Mac 2024 — sekali gus mencatat kadar peserta yang tamat program hampir 79%
Inisiatif Leap merupakan program pemerkasaan yang bertujuan melengkapkan keluarga Melayu/Islam dengan sokongan dan sumber untuk memperbaiki kehidupan dalam enam bidang utama — pengukuhan keluarga, literasi kewangan, pendidikan Islam, aset masyarakat, kanak-kanak dan belia serta pekerjaan dan daya kerja.
Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, yang menghadiri majlis itu selaku tetamu kehormat, menyanjung usaha para keluarga untuk memperbaiki kehidupan masing-masing.
“Apa yang benar-benar membawa perbezaan ialah ketabahan, keazaman dan komitmen setiap keluarga untuk memperbaiki kehidupan mereka.
Inisiatif Leap bukan sekadar program geran — ia memperkasa keluarga, membina daya tahan, mengukuhkan hubungan, serta mewujudkan sebuah masyarakat di mana keluarga berkembang bersama,” jelas Dr Faishal.
Setiap keluarga perlu berkongsi kemajuan masing-masing seperti mengikuti kursus baharu serta merekodkan kemajuan melalui ‘jurnal’ dalam aplikasi Leap.
Program tersebut dibiayai sepenuhnya dengan dana zakat yang disumbangkan masyarakat menerusi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan masjid.
REBUT PELUANG INISIATIF LEAP PERKASA KEMAHIRAN SEDANG ANAK SIBUK DUDUKI PSLE
Antara peserta Leap yang diraikan dalam majlis itu ialah Cik Nuraini Ramli.
Ketika anaknya, Suhaira sibuk menduduki peperiksaan PSLE, beliau turut mengorak langkah mempertingkatkan diri, sekali gus menunjukkan teladan bahawa menuntut ilmu adalah usaha sepanjang hayat.
Beliau meningkatkan kemahiran dengan mengikuti Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture bagi Pegawai Khidmat Pesakit dengan memanfaatkan dana geran inisiatif Leap untuk menampung baki yuran kursus tersebut.
Kini, beliau bertugas sebagai penolong di klinik pergigian, manakala Suhaira pula sedang melanjutkan pelajaran di sekolah menengah pilihannya.
JUMLAH MENTOR BAGI KOHORT KETIGA INISIATIF LEAP NAIK 20% BERBANDING KOHORT SEBELUMNYA; KINI SEKITAR 60 MENTOR
Bagi peserta inisiatif Leap sebelumnya dan telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 60 jam menulis jurnal, mereka secara tidak langsung berperanan sebagai mentor bagi inisiatif itu.
Melangkaui program tersebut, keluarga Leap turut giat menyokong pelbagai inisiatif masyarakat.
Tahun ini, seramai 42 keluarga menyumbang baucar Sheng Siong bernilai S$60 kepada lebih 70 penerima zakat MUIS, di samping turun padang membungkus dan menghantar barangan keperluan kepada para penerima sendiri.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.