Bilangan BTO yang dijual hanya setahun selepas habis MOP naik seganda
Bilangan flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) yang dijual dalam tempoh setahun selepas tamat Tempoh Penginapan Minimum (MOP) naik seganda antara 2016 dengan tahun lalu, menurut perangkaan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Gambar fail: TODAY
SINGAPURA: Bilangan flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) yang dijual dalam tempoh setahun selepas tamat Tempoh Penginapan Minimum (MOP) naik seganda antara 2016 dengan tahun lalu, menurut perangkaan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Agensi perumahan itu menyatakan bahawa bilangan flat sedemikian yang dijual semakin meningkat sepanjang beberapa tahun lalu dari 6.5 peratus pada 2016 kepada 9.5 peratus pada 2017.
Pada 2018, ia sebanyak 11.8 peratus dan pada 2019 pula 12.2 peratus sebelum meningkat kepada 13.4 peratus tahun lalu.
Para penganalisis hartanah yang ditemui Mediacorp berkata bahawa trend menjual BTO selepas habis MOP "mengesahkan lagi" tanggapan bahawa rakyat Singapura masih mahu tinggal di hartanah privet.
Ia juga mungkin disebabkan permintaan bagi flat-flat baru dengan tempoh pajakan lebih panjang di tengah-tengah harga flat jualan semula HDB yang semakin meningkat, tambah mereka.
Namun, sebilangan mereka memberi amaran terhadap membuat spekulasi kerana ia boleh menyebabkan harga rumah naik lagi.
MENGAPA PARA PEMILIK RUMAH MAHU JUAL FLAT MEREKA SECEPAT MUNGKIN?
Para penganalisis hartanah memberi beberapa sebab mengapa para pemilik rumah menjual BTO mereka dalam setahun sebaik mencapai MOP.
Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Realty Ismail Gafoor berkata bahawa ia menunjukkan kemahuan dalam kalangan generasi baru pemilik rumah untuk menaik taraf ke hartanah privet.
Naib Kanan Presiden Kajian dan Analisis OrangeTee Christine Sun pula berkata bahawa pasangan-pasangan yang mahu menaik taraf ke rumah privet akan menjual BTO mereka lebih awal kerana mempercayai bahawa ia boleh dijual dengan harga lebih tinggi dengan tempoh pajakan lebih panjang.
Para penganalisis juga berkata bahawa di tengah-tengah harga jualan semula HDB yang semakin meningkat, trend itu mungkin turut dirangsang oleh permintaan bagi flat-flat baru dengan tempoh pajakan lebih panjang.
JUAL UNTUK KEUNTUNGAN BOLEH NAIKKAN HARGA SECARA MENDADAK
Namun, para penganalisis menarik perhatian meskipun menjual BTO boleh membawa keuntungan disebabkan subsidi yang amat tinggi, ia tidak bermakna bahawa para pemilik rumah akan sentiasa meraih keuntungan.
Ini kerana keuntungan daripada penjualan flat biasanya disalurkan kepada kos menaik taraf hartanah dan juga kos pengubahsuaian rumah baru mereka.
Beberapa penganalisis seperti Pengarah Kanan Huttons Asia Lee Sze Teck juga memberi amaran terhadap langkah membeli BTO dengan niat untuk menjualnya bagi meraih keuntungan kerana ini mungkin menaikkan harga jualan semula dan menyebabkan ia meningkat secara mendadak.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, HDB menyatakan bahawa MOP memastikan bahawa para pemilik flat BTO membelinya dengan niat untuk tinggal berbanding menjualnya secepat mungkin bagi meraih keuntungan.
"Ia mengelak daripada pembelian flat HDB secara spekulasi dan membantu memastikan flat-flat boleh dimampui bagi mereka yang betul-betul mahu memenuhi keperluan perumahan," menurut agensi itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.