Bila peruncit seperti Naiise gulung tikar, usahawan jenama kecil turut jadi mangsa
Apabila Suzianna Mohd Sofiee menjalin kerjasama dengan peruncit pelbagai label tempatan Naiise pada awal tahun lalu, penjualannya meningkat lebih banyak berbanding ketika beliau bekerjasama dengan peruncit kecil lain.

(Gambar: Pew Pew Patches/Dawn Bey)
SINGAPURA: Apabila Suzianna Mohd Sofiee menjalin kerjasama dengan peruncit pelbagai label tempatan Naiise pada awal tahun lalu, penjualannya meningkat lebih banyak berbanding ketika beliau bekerjasama dengan peruncit kecil lain.
Kehadiran kukuh platform itu menawarkan jenama beliau, Fen Perfumes, pendedahan yang baik. Ia juga memberi ruang fizikal kepada pelanggan untuk membuat pemilihan haruman minyak wangi - sesuatu yang tidak dapat dilakukan menerusi kedai online.
Melihat betapa larisnya penjualan di platform tersebut, beliau membuat pesanan stok baru bernilai ribuan dolar.
Malangnya masalah timbul apabila Naiise mula terlepas membuat pembayaran kepada beliau, yang akhirnya menimbun hingga sekitar S$2,000, kata Cik Suzianna.

Walaupun ada yang menganggapnya sebagai "jumlah kecil", wanita berusia 36 tahun itu berkata apa pun jumlahnya adalah satu tamparan kepada pemilik jenama bebas kerana "semuanya keluar dari poket kami sendiri".
"(Apa-apa rancangan untuk) mengeluarkan produk baru atau tambah stok - semuanya ditangguhkan kerana jumlahnya terganggu," tambah beliau.
Pengalaman yang dilaluinya serupa aduan lain terhadap Naiise berhubung pembayaran lewat, yang mula timbul sejak 2016.
Khamis lalu (15 Apr), pengasas Naiise Dennis Tay mengumumkan bahawa wadah runcit itu telah gulung tikar kerana masalah kewangan, sambil mengakui bahawa rakan jenama dan pemiutang perdagangan masih belum dibayar.
Produk dijual secara konsainmen di Naiise. Penjual seperti Cik Suzianna hanya dibayar bagi produk yang dijual, tolak kos komisen, sama seperti cara operasi di gedung serbaneka.
Apabila Robinsons mengumumkan tahun lalu penutupan dua gedung beli-belah terakhirnya, beberapa pembekal tampil menyatakan peruncit berusia 162 tahun itu masih berhutang ribuan dolar kepada mereka.
AKIBAT DIBAYAR LEWAT, PENIAGA KECIL PERLU BERHUTANG
Pembayaran yang lambat atau lewat bererti lebih banyak jenama kecil yang wujud ibarat kais pagi, makan pagi, menurut para usahawan.
Masalah pembayaran bagi syarikat tempatan mencapai tahap terendah pada 2020, menurut Biro Kredit Komersil Singapura (SCCB). Ia hanya pulih sedikit pada suku pertama tahun ini, dengan sektor runcit paling mencatat prestasi paling teruk.
"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh bertambahnya masalah pembayaran lambat oleh peruncit barangan, pakaian dan aksesori," kata SCCB.
Encik Kurt Wee, presiden Persatuan Perusahaan Kecil & Sederhana (ASME), akur bahawa walaupun situasi pembayaran lewat pada umumnya telah bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia "masih satu masalah yang wujud".
Cik Gin Oh, pengasas perniagaan gaya hidup MissHosay dan ShinnPark, berkata pembayaran lewat atau lambat berlaku "agak kerap" dalam industri tersebut.
Beliau menganggarkan pada satu ketika, pernah menunggu bayaran lebih S$10,000 kesemuanya oleh syarikat-syarikat yang berbeza.
"Wang itu seharusnya digunakan untuk aliran tunai, jadi kami terpaksa meminjam wang dari anggota keluarga dan rakan hanya untuk membiayai kakitangan dan operasi kami pada waktu itu," kata wanita berusia 39 tahun itu.
JALAN KELUAR UNTUK PENIAGA?
Apabila pembayaran ditangguh atau tiada langsung, perniagaan mengeluh bahawa tidak ada banyak jalan keluar yang tersedia untuk mereka.
Tribunal Tuntutan Kecil menurut mereka tidak selalu dapat menjamin bayaran diterima.
Sebarang tindakan undang-undang selanjutnya akan menelan belanja, yang tidak berbaloi jika jumlah yang mereka tuntut agak kecil.
Membawa perkara ke mahkamah juga akan menjejas hubungan, kata Encik Wee.
Cik Dawn Bey, pengasas Pew Pew Patches dan Minor Miracles, berkata: "Malangnya, tidak ada jalan keluar. Satu-satunya cara adalah dengan (mengejar) pembayaran dengan kerap."
Naiise berhutang kepada Cik Bey sekitar S$5,000 dari 2019, tetapi sebelum syarikat itu gulung tikar, beliau berjaya mendapatkan kembali separuh jumlah itu dengan "memburu" mereka.
Pasukannya menghantar emel kepada syarikat itu setiap bulan dan menelefon mereka setiap hari sehingga mereka dapat memberikan pelan pembayaran yang konkrit, kongsi beliau.
Cik Oh berkata satu cara lain untuk mengelakkan pembayaran lewat adalah dengan berhenti membekalkan barangan apabila mereka berhenti membayar.
"Kami lakukan itu dan kami tidak dapat buat penjualan, namun kami perlu nekad dan lakukannya," kata beliau, sambil menambah bahawa langkah itu akhirnya membuahkan hasil dan mereka menerima bayaran lagi.
JIKA SYARIKAT BERHUTANG GULUNG TIKAR, BAGAIMANA?
Keadaan menjadi lebih rumit sekiranya syarikat itu berhenti operasi. Selain Naiise, Cik Oh berkata beberapa platform pelbagai label yang telah lingkup sepanjang beberapa tahun lalu pernah berhutang dengannya, seperti Mad Museum dan We The People.
Selain Robinsons, Cik Bey berkata Gallery & Co pernah berhutang dengannya.
Semua ini membuat pemilik perniagaan lebih berhati-hati dalam memilih rakan kerjasama.
"Saya merasa lebih selamat dengan peruncit yang lebih kecil. Mereka faham keadaan kami dan lebih menyokong kami," kata Cik Suzianna, sambil menambah bahawa beliau juga meletakkan syarat konsainmen yang jelas dengan mereka.
Namun Cik Bey pula berkata bahawa dari segi platform yang lebih besar, tidak ada banyak pilihan alternatif.
"Malangnya di Singapura, tidak ada banyak saluran penjualan atau tempat fizikal pelbagai label ... Dan untuk perniagaan apa pun, saluran penjualan itu penting," katanya.
"Seberapa teruk pun perniagaan kecil mungkin berasa trauma (akibat lewat pembayaran), kami tidak punya pilihan selain pasrah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.