'Bila dengar takbir Raya, kita sangat sedih' - pegawai Muslim SCDF yang sambut Lebaran di Myanmar
Ini termasuk 48 pegawai Muslim yang menyambut Lebaran di perantauan, jauh daripada keluarga dan sanak saudara.
Antara mereka ialah Timbalan Ketua Pasukan Operasi Lionheart, Kolonel (NS) Raizan Abdul Razak, 48 tahun.
Meski berbangga untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat, namun perasaan sedih tetap terasa di hati kerana berjauhan dengan keluarga pada 1 Syawal.
Beliau berkongsi pengalamannya dengan para wartawan dalam satu wawancara online berkenaan misi itu.
"Ini bukannya senang tetapi bila pertama kali saya mendengar takbir Hari Raya dan bila kita bersolat Hari Raya dengan saudara-saudara SCDF, kita sangat sedihkan? (Kerana) berjauhan daripada keluarga, isteri dan anak-anak dan bukan untuk saya sahaja, bahkan untuk semua adik-beradik SCDF kita," kongsi Kolonel (NS) Raizan.
Malah, Kolonel (NS) Raizan yang juga merupakan seorang pegawai yang bertugas di Kementerian Pendidikan, turut melahirkan penghargaan atas sokongan kesemua ahli keluarga para pegawai SCDF yang terlibat.
"Sebagai Timbalan Ketua Pasukan, saya sangat menghargai ahli keluarga yang membolehkan kami ke sini untuk menyelamatkan nyawa warga Myanmar dan memberikan kami sokongan dari Singapura," ujar beliau.
"Setiap hari, kita membuat panggilan video di WhatsApp tetapi ia tidak sama. Jadi kita tidak sabar dan memang menunggu masa bila kita boleh pulang ke rumah, makan ketupat, rendang dan memeluk isteri dan anak dan meminta ampun kepada ayah dan bonda," tambahnya.
Pada pagi Raya, para pegawai Muslim sempat menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum meneruskan operasi dan menyelamat semalam (31 Mac).
Ketua Pasukan Operasi Lionheart, Kolonel Tay Zhi Wei berkongsi, "Kami akhiri dengan ucapan daripada Ibu Pejabat (HQ) kami di mana mereka rakamkan dan tunjukkan kami beberapa ucapan Hari Raya daripada pemegang jawatan politik (POH) kami dan ia memberi mereka suntikan semangat semasa 'debrief' atau perbincangan yang kami lakukan pada waktu malam"
Meskipun terasa sedih, para pegawai kekal komited dalam melaksanakan operasi itu.
"Satu insiden yang menyentuh hati (saya) adalah bila kita menyelamatkan nyawa di tapak insiden. Kita bekerjasama dengan Perkhidmatan Bomba Myanmar untuk mengeluarkannya dan ini memberi kita harapan yang masa kita di Myanmar itu membantu dan kita boleh menyelamatkan lebih banyak lagi nyawa," jelas Kolonel (NS) Raizan.
Sejak tiba di Myanmar pada Sabtu (30 Mac) lalu, SCDF sudah melakukan operasi mencari dan menyelamat di 13 tapak dan berjaya menyelamatkan seorang lelaki dari bangunan runtuh dalam Operasi Lionheart, serta menemui beberapa mayat.
"Kami pergi ke satu lagi tapak iaitu menara kawalan trafik udara Lapangan Terbang Naypidaw. Namun di sana, malangnya, kami mengesan dua mayat. Kami juga dapat memberikan pandangan mengikut kepakaran tentang bagaimana mereka boleh mengeluarkan mayat-mayat itu secara selamat tanpa menjejas keselamatan struktur bangunan lapangan terbang itu," kongsi Kolonel Tay.
"Kami sudah melepasi 72 jam hari ini sejak insiden itu berlaku. Namun selepas itu, masih ada peluang untuk selamat. Selagi ada peluang tipis untuk selamat, peluang untuk selamat bagi seminit pun, kami akan berada di sini untuk membantu jika mereka perlukan," tambahnya.
SCDF AKAN TERUSKAN USAHA
Selain jaringan telekomunikasi yang terjejas, mereka juga perlu menghadapi cabaran melakukan operasi itu dalam cuaca panas.
"Cuaca di sini amat panas iaitu 41 darjah selsius jadi kami perlu menerapkan rutin rehat-kerja untuk memastikan kita dapat meneruskan operasi dalam jangka panjang dan kita juga perlu menghidrasikan diri dengan kerap," jelas Kolonel Tay.
"Apa yang kita memahami daripada daripada jabatan perkhidmatan bomba tempatan ialah masih terdapat beberapa tapak yang perlu disahkan, dan mereka akan memberitahu kami tapak yang mana yang mereka memerlukan bantuan kami, dan kemudian, kami akan mengerahkan pasukan kami ke sana untuk memastikan tiada lagi mangsa yang terkorban di sana, sebelum mereka memulakan fasa operasi yang lain," tambah beliau.
Hampir 3,000 sudah terkorban menyusuli gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter, yang menggegarkan negara itu pada Jumaat (28 Mac).
BACA:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.