Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Biennale Kanak-Kanak 2023 papar hasil kreatif penggiat seni Asia buat pertama kali

Anggaran Waktu Membaca:
Biennale Kanak-Kanak 2023 papar hasil kreatif penggiat seni Asia buat pertama kali

(Gambar: Galeri Nasional Singapura)

SINGAPURA: Buat pertama kalinya para penggiat seni dari Asia seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Jepun turut terlibat sama dalam acara Biennale Kanak-Kanak tahun ini.

Barisan artis yang menyumbangkan hasil seni kreatif mereka termasuk Izziyana Suhaimi dari Singapura serta Arahmaiani (Indonesia), International Museum of Children’s Art (Norway), Fadilah Karim (Malaysia), Tawatchai Puntusawasdi (Thailand) dan Kumi Yamashita (Jepun/Amerika Syarikat).

11 karya yang dipamerkan dalam Biennale Kanak-Kanak tahun ini berdasarkan empat nilai teras iaitu rasa hormat, kerjasama, kasih sayang dan imaginasi.

Edisi keempat acara seni itu berharap dapat mencetus perbincangan mengenai isu-isu sejagat dengan tema "Let’s Make A Better Place".

PUPUK CINTA BUMI DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Berdasarkan nilai teras "kasih sayang", sebuah pameran hasil kreatif seniman dari Singapura, Izziyana Suhaimi dipaparkan dengan tujuan untuk memupuk kasih sayang kepada bumi dari usia muda lagi.

Pameran "Can you see the forest for the trees" menggunakan pendekatan menarik untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak mengenai pembaziran tekstil yang semakin berleluasa di dalam dunia.

Menurut beliau, pembuangan tekstil berlebihan merupakan antara penyumbang utama dalam pencemaran alam.

"Industri tekstil ini adalah salah satu industri yang paling mencemarkan dunia kita dan persekitaran kita jadi saya ingin meningkatkan kesedaran di dalam masyarakat mengenai pencemaran yang disebabkan oleh material tekstil," kongsi Cik Izziyana Suhaimi kepada BERITAMediacorp.

Beliau berharap para pengunjung akan lebih peka dan mempertimbangkannya sewaktu membeli -belah.

"Saya harap dengan kehadiran pengunjung kepada pameran ini, mereka akan menjadi lebih sedar dan lebih peka mengenai tabiat pembelian mereka khususnya untuk kanak-kanak. Mereka juga akan berminat untuk mempelajari teknik untuk memperbaiki baju mereka sendiri dan tidak hanya membuang baju mereka apabila ia tidak boleh dipakai," tambah beliau.

Untuk tujuan itu, para pengunjung dipelawa untuk sama-sama "menyiapkan" pameran seninya itu dengan mengambil carikan kain yang disediakan untuk diikat atau disambungkan kepada struktur yang dibangunkan mengikut kreativiti mereka.

Para pengunjung juga boleh mendermakan perca atau lebihan kain yang tidak lagi dipakai ke dalam balang yang disediakan di pameran tersebut.

PUTIK KASIH SAYANG SESAMA INSAN

Selain itu, pameran yang dinamakan "I Love You" yang dihasilkan seniman Indonesia, Arahmaiani, menarik perhatian tentang kasih sayang sesama insan di dunia.

Menariknya, pameran seni ini menggunakan huruf-huruf Jawi.

"'I Love You' itu sebenarnya jujur dari karya saya yang ditulis dalam Arab Melayu atau Jawi. Ini memang judul yang sangat penting sebagai aspek kehidupan untuk manusia iaitu cinta kasih supaya kita boleh hidup bersama dengan damai dan harmoni," kata beliau.

"Saya ingin mengingatkan tentang tradisi budaya, akar budaya leluhur dari nusantara atau Asia tenggara ini, dasarnya sangat beradab dan sangat manusiawi. Yang saya ingin tekankan di sini adalah bagaimana kita boleh hidup secara harmoni bersama-sama juga dengan alam, dengan makhluk lain," tambah beliau.

Selain boleh menikmati warna-warni tekstil yang digunakan untuk membuat bantal-bantal dalam pameran ini, para pengunjung juga boleh mengeluarkannya dan bermain dengan bantal-bantal itu.

Kanak-kanak juga diberikan ruang untuk menulis "surat cinta" kepada sesiapa sahaja mereka inginkan di pameran tersebut.

HASIL KARYA DENGAN ANAK

Bagi seorang lagi artis yang terlibat dalam Biennale Kanak-kanak tahun ini, beliau mengambil inspirasi daripada masa yang diluangkan bersama anak perempuannya untuk menghasilkan karya seninya itu.

Artis dari Malaysia, Fadilah Karim mengongsikan bahawa pameran beliau adalah hasil kolaborasi beliau dan anaknya, Aira yang berumur 5 tahun.

"Karya ini membina kegembiraan kanak-kanak melalui perspektif saya sebagai seorang ibu dan sebagai ibu bapa. Seperti anak saya, dia selalu mengajak saya untuk bersama-sama untuk kebanyakan perkara kerana dia lebih gembira bila saya ada bersamanya. "Sama-sama" adalah satu perkataan yang sering diungkap oleh anak saya juga dari situ saya namakan pameran ini sama-sama," kata Cik Fadilah Karim.

Ruang ini disediakan buat ibu bapa atau penjaga melakarkan memori baru bersama anak-anak mereka di samping menyerlahkan kreativiti mereka melalui lukisan.

"Saya harap pengunjung dapat bergembira di "sama-sama" selain menghasilkan karya dan melukis memori kegemaran mereka. Di "sama-sama" mereka boleh membina rumah atau 'fort' bersama ibu-bapa dan melukis potret mereka dan bersantai di dalam 'fort' itu. Setiap aktiviti di sini menjemput ibu bapa atau penjaga dan anak anak itu sendiri untuk mencipta memori bersama-sama," tambah beliau.
Orang ramai boleh mengunjungi Galeri Nasional Singapura untuk menikmati pameran-pameran khas dalam Biennale Kanak-Kanak ini secara percuma dari 27 Mei 2023 hingga 31 Mac 2024.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan