Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Bicentennial Kita' buka tirai segmen persembahan NDP 2019

Pengiktirafan kepada sumbangan generasi awal negara menjadi pembuka tirai segmen persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) hari ini (9 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Aug 2019 09:44PM Dikemas Kini : 09 Aug 2019 09:51PM

SINGAPURA: Pengiktirafan kepada sumbangan generasi awal negara menjadi pembuka tirai segmen persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) hari ini (9 Ogos).

Berjudul 'Bicentennial Kita' ia memberi penghargaan kepada generasi yang percaya terhadap negara dan bertungkus-lumus membina Singapura menjadi apa yang kita kecapi sekarang.

Para penonton diajak menyusur babak-babak sejarah Singapura yang menjangkaui 200 tahun sebelum ketibaan Stamford Raffles, mengimbas kembali babak-babak penting sejarah Singapura, sumbangan generasi awal Singapura dan usaha terus membina Singapura untuk generasi akan datang.

Badan-badan daripada tahun 1800-an yang telah menyumbang kepada pelbagai aspek pembangunan Singapura turut diketengahkan.

Misalnya, lapan kenderaan berhias mewakili badan-badan seperti Angkatan Tentera, polis, Pelabuhan Singapura (PSA), POSB dan SGH ditampilkan.

Semua institusi tersebut memainkan peranan penting dalam tahun-tahun awal Singapura dan kekal relevan sehingga ke hari ini.

Bagi para penonton yang melalui detik-detik tersebut, mereka melahirkan rasa bangga dengan apa yang dicapai negara sejauh ini.

"Oh bangga sebab apa dulu kecil-kecil kampung kan, susah, air paip itu susah, tapi sekarang semua senang, termasuk cucu-cucu, anak-anak semua hidup senang," kongsi Cik Halimah Abu Hussein semasa ditemui BERITAmediacorp di Padang.

Encik Jamaludin Saad turut mengimbau kenangan semasa tinggal di kawasan kampung: "Saya rasa terharu, dari budak-budak kampung yang membesar hingga ke bandar dan merasa gembira mendapati yang kita dari era-era kampung sampai mendakap teknologi pada era ini."

Seorang lagi penonton, Cik Zaliza Osman, berkongsi rasa bangga beliau terhadap negara.

"Pada pendapat saya Singapura telah berkembang dengan sangat pesat dan saya berasa bangga dengan apa yang telah Singapura berada sekarang ini," kata beliau.

Encik Haron Md Suleiman pula secara ringkas merumuskan perasaannya menonton penghormatan kepada generasi awal:

"Saya pun nak menitis air mata ini, macam kita kembali pada masa dahulu." 

Sumber : CNA/RR/UR/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan