Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Biasiswa UPLIFT lebih tinggi bantu pelajar tampung perbelanjaan, menabung untuk masa depan

Anggaran Waktu Membaca:
Biasiswa UPLIFT lebih tinggi bantu pelajar tampung perbelanjaan, menabung untuk masa depan

(Gambar-gambar: Raffles Institution, Muhamad Irfan)

SINGAPURA: Lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di sekolah bebas dan sekolah bebas khusus menerima lebih banyak sokongan untuk membiayai perbelanjaan sekolah mereka.

Lagi 230 pelajar mendapat manfaat daripada skim Biasiswa UPLIFT Kementerian Pendidikan (MOE) setiap tahun berbanding 470 pelajar sekarang.

Para penerima skim Biasiswa UPLIFT Kementerian Pendidikan (MOE) menerima hadiah wang berjumlah S$1,000 setiap tahun mulai tahun ini, bertambah daripada S$800 sebelum ini.

Pada masa sama, siling kriteria pendapatan yang layak dinaikkan.

Para pelajar daripada keluarga yang mempunyai pendapatan kasar keluarga (GHI) S$4,400 atau kurang sebulan kini layak menerima biasiswa itu.

Ini berbanding S$2,750 sebelum ini, atau kurang atau pendapatan per kapita (PCI) bulanan di bawah S$1,100, berbanding S$690.

"Saya gembira kerana lebih ramai pelajar yang layak boleh mendapat manfaat di bawah peningkatan ini, yang mungkin digunakan untuk menampung perbelanjaan mereka, supaya mereka boleh menumpukan perhatian untuk mengasah bakat mereka yang pelbagai," kongsi Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman dalam satu catatan pos di Facebook pada 6 Feb.

BIASISWA UPLIFT BANTU PUTRI NUR DINI RINGANKAN BEBAN
Gambar: Raffles Institution
Antara yang meraih manfaat daripada biasiswa UPLIFT itu ialah Putri Nur Dini Abdil Rahim, 18 tahun.

Pelajar Raffles Institution itu menerima biasiswa UPLIFT tahun lalu dan berkongsi bahawa beliau sering bimbang tentang kos pendidikannya sebelum ini.

Menurut Putri, ibunya adalah seorang ibu tunggal dan perlu menanggung segala kos pelajarannya sekarang.

Beliau juga bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat pengajian di Raffles Institution.

"Ia meringankan sedikit beban itu kerana saya dan ibu mendapat tahu bahawa saya boleh menyimpan duit ini untuk menolong saya pada tahun akan datang.

"Jikalau saya rasa bahawa saya memerlukan sedikit buku-buku latihan untuk menolong saya dalam pelajaran, saya akan membeli menggunakan duit yang diberikan," kata Putri.

MINAT JADI GURU BAHASA

Bagi Putri, ibunya itu adalah sumber motivasinya untuk berjaya.

Beliau memendam cita-cita untuk menjadi seorang guru bahasa, sama seperti ibunya yang merupakan seorang penolong guru.

"Saya tidak akan pernah dapat membalas jasa ibu saya yang telah bertungkus lumus bekerja keras menanggung saya dan adik selama ini. Sekurang-kurangnya dengan melakukan yang terbaik dapat membuatnya bangga dan tidaklah pengorbanannya selama ini sia-sia sahaja," ujar Putri.
Gambar: Raffles Institution
Ditanya pula kenapa ingin menjadi seorang guru bahasa, beliau berkata minatnya itu sudah berputik sejak beliau kecil lagi.

"Sejak kecil lagi saya seorang yang gemar membaca. Dan lama-kelamaan, mula jatuh cinta dengan bahasa bukan Inggeris sahaja tetapi dengan bahasa ibunda juga," menurut Putri, yang tinggal bersama ibu, adik dan datuknya.

Putri masih belum membuat keputusan muktamad di mana ingin melanjutkan pelajarannya tetapi berminat untuk memasuki Institut Pendidikan Nasional (NIE).

BIASISWA UPLIFT BANTU IRFAN TERUSKAN MINAT DALAM MENGHASILKAN SENI

Seorang lagi pelajar yang meraih manfaat dari biasiswa ini ialah Muhamad Irfan Muhamad Rapid, 18 tahun.

Irfan adalah penuntut tahun enam Sekolah Seni Singapura (SOTA) dan menerima biasiswa itu sejak 2021.
Gambar: Muhamad Irfan
"Ayah saya seorang pencari nafkah tunggal untuk keluarga saya. Sebelum saya mendapat biasiswa ini, ibu saya seorang suri rumah, dan perlu memberi sokongan kewangan kepada saya melalui Perniagaan Dari Rumahnya (HBB)," kongsi Irfan kepada BERITAmediacorp,

Oleh kerana itu, keluarganya perlu berjimat-jimat semasa melakukan perbelanjaan keperluan seharian dan perkakas sekolah.

"Saya tidak dapat membeli alat-alat lukisan yang berkualiti dengan secukupnya untuk mencipta karya seni dan menjalankan projek-projek sekolah," menurut Irfan.

MENAMPUNG PERBELANJAAN HARIAN, SEKOLAH DAN DAPAT MENABUNG UNTUK MASA DEPAN

Mujur, anak bongsu tiga adik beradik itu lega dipilih menjadi antara penerima biasiswa UPLIFT.

"Ia membantu saya untuk menampung perbelanjaan harian, termasuk kos pengangkutan dan makanan, dan perbelanjaan alat-alat lukisan dan juga barang sekolah yang diperlukan untuk menghasilkan kerja sekolah yang berkualiti," ujar Irfan.

"Selain daripada itu, saya berminat untuk menyambung pelajaran saya di luar negara pada masa depan kelak dan dengan Biasiswa UPLIFT ini, saya dapat menabung untuk mencapai matlamat saya," tambah beliau.

INGIN MULAKAN KERJAYA DI MUZIUM

Irfan merancang untuk melanjutkan pelajarannya dalam jurusan sejarah seni di peringkat universiti selepas tamat pengajiannya di SOTA.

Beliau juga mempunyai hasrat untuk memulakan kerjaya di sebuah muzium.
Irfan bersama ibunya. (Gambar: Muhamad Irfan)
"Sebagai seorang anak bongsu, saya mahu membalas jasa adik-beradik dan juga ibu bapa saya," kata Irfan.

"Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik supaya sentiasa mampu membantu keluarga saya," tambahnya.

Beliau menyifatkan keluarga sebagai motivasinya, dan bertekad untuk membanggakan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan