Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Biasiswa teknologi diberikan kepada lebih 100 penerima; program baru kepimpinan digital dilancarkan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 107 penerima dianugerahi pelbagai biasiswa berkaitan teknologi dan media pada Selasa (23 Ogos) selepas Pemerintah melancarkan satu program kepimpinan digital yang baru. 

Dikenali sebagai SG Digital Leadership Accelerator (Pemacu Kepimpinan Digital SG), yang akan diterajui oleh Penguasa Pembangunan Infokom dan Media (IMDA), program berkenaan "bertujuan untuk menghimpunkan para pemimpin digital Singapura di pelbagai peringkat kerjaya mereka," kata Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo. 

"Mereka berpeluang untuk menjalin hubungan dan menyokong satu sama lain dalam perjalanan kepimpinan mereka, sambil dibimbing oleh pemimpin-pemimpin yang sudah lama menapak dalam industri. Seramai 10 Pemimpin Digital Singapura sudahpun dipilih dalam kohort pertama ini, daripada lapan syarikat," tambah Cik Teo, yang juga adalah Menteri Bertanggungjawab bagi Agensi Keselamatan Siber (CSA) dan Inisiatif Negara Bijak. 

Sebanyak enam biasiswa diberikan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG). 

Sebelum ini, enam agensi - MCI, IMDA, CSA, SNDGG, Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH) dan Lembaga Perpusatakaan Negara (NLB) - mengadakan acara berasingan bagi setiap biasiswa. 

Biasiswa-biasiswa tersebut bermatlamat untuk membangunkan bakat teknologi, media, khidmat perpustakaan dan arkib, perhubungan serta penterjemahan. 

Cik Teo turut menarik perhatian bahawa pendigitalan "merubah kehidupan kita", dengan Pemerintah memainkan peranan penting untuk bekerjasama dengan industri-industri berkepentingan dan agensi-agensi lain untuk "membangunkan prasarana, dan memastikan ruang digital selamat untuk semua". 

"Tidak seperti ruang fizikal, tiada hala tujuan yang jelas bagi ruang digital. 

"Kami perlu bekerjasama atas beberapa sebab: untuk mencipta peluang baru bagi perniagaan dan penduduk kita maju dalam dunia digital ini; untuk bersama memberi perhatian dan menghuraikan isu-isu yang timbul, supaya kita semua dilindungi dengan lebih baik di ruang online; dan bagi memastikan ia kekal inklusif. Ia juga penting untuk kami mengemukakan cara-cara baru dan lebih baik untuk mendampingi orang ramai," kata Cik Teo. 

SG Digital Leadership Accelerator adalah sebahagian daripada usaha Pemerintah untuk menjana dan memupuk bakat bagi memacu masa depan digital Singapura. 

Kumpulan pertama seramai 10 pemimpin itu adalah daripada lapan syarikat. 

IMDA akan terus menyokong perkembangan profesional 10 pemimpin ini menerusi program pembangunan berstruktur, sekali gus membolehkan mereka untuk menjalin hubungan dengan para pemimpin dalam industri teknologi dan menimba kemahiran kepimpinan, menurut satu kenyataan media. 

IMDA juga akan memperluaskan salah satu biasiswanya, Biasiswa Digital SG, untuk menumpukan fokus kepada "perhubungan masa depan" yang akan menyokong bakat tempatan dengan ijazah sarjana mendalami projek penyelidikan dan penterjemahan menerusi teknologi-teknologi komunikasi hari muka seperti 5G dan seterusnya. Sebanyak 13 biasiswa dalam bidang tersebut diberikan pada tahun ini. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan