Biasiswa pertama PPIS-LBKM antara 39 biasiswa LBKM berjumlah S$270,000 diagihkan tahun ini
SINGAPURA: Seramai 39 penuntut universiti menjadi penerima biasiswa berprestij Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) berjumlah $270,000 tahun ini.
Jumlah tersebut merupakan pertambahan hampir 10 peratus, berbanding jumlah yang diagihkan pada tahun lalu.
Biasiswa itu disampaikan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-Undang, Cik Rahayu Mahzam di majlis penyampaian Anugerah Biasiswa LBKM yang ke-14, pada Jumaat (22 Sep).
Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi berkata: "Kami cuba menyumbang kepada pelajaran mereka supaya mereka rasa masyarakat tumpang rasa bangga atas kejayaan mereka. Kami berharap selepas mereka tamat pengajian, mereka dapat pulang kembali ke tanah air dan menyumbang kembali kepada masyarakat."
"Apabila kita lihat prestasi para pelajar yang sudah mendapat biasiswa, mereka membawa kejayaan yang membanggakan kepada masyarakat dan ia membawa kepada pencapaian lebih mapan buat masyarakat kita pada masa hadapan," tambah beliau.
PENERIMA SULUNG BIASISWA PPIS-LBKM
Wan NurSabrina Wan Nasarudin, 27 tahun, menjadi penerima sulung biasiswa Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan LBKM.
Jurutera Sofwe Robotik itu sedang melanjutkan pengajian di peringkat pos siswazah dalam bidang Robotik dan Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Glasgow.
"Saya rasa teruja dan gembira, menjadi penerima pertama biasiswa ini," ujar NurSabrina
Biasiswa PPIS-LBKM bernilai $15,000 itu bertujuan membangunkan kumpulan pemimpin wanita dalam pelbagai bidang kurang diwakili kaum hawa.
Ini termasuk dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
NurSabrina yakin dengan potensi luas Kecerdasan Buatan (AI) dalam meningkatkan daya penghasilan dan menghuraikan cabaran dunia.
Akur akan kekurangan karyawan dan mentor wanita dalam bidang itu, NurSabrina berharap akan dapat mengorak langkah bagi generasi jurutera wanita akan datang.
"Biasiswa ini, adalah satu lonjatan besar untuk golongan wanita. Ia juga menggalak wanita untuk melanjutkan pendidikan ke pos-siswazah dan meningkatkan kemahiran diri. Dalam masyarakat Melayu, ini satu langkah baik kerana tidak ada banyak peluang menerima biasiswa dalam bidang STEM bagi peringkat pos siswazah," kata NurSabrina yang akan tamat pengajian pada September 2024.
LAPAN PENERIMA BIASISWA EKONOMI MASA DEPAN LBKM, YANG TERTINGGI SEJAK 2017
Penuntut bidang Sain Komputer di Universiti Nasional Singapura (NUS) Abdul Hakam Nor Razak pula dalam kalangan lapan penerima Biasiswa Ekonomi Masa Depan pada tahun ini.
Jumlah penerima biasiswa itu naik sebanyak 30 peratus sejak ia dilancarkan pada 2017.
Biasiswa bernilai S$5,000 itu dikhususkan untuk para pelajar universiti yang menceburi bidang STEM di universiti-universiti tempatan dan luar negara.
"Saya amat bersyukur atas penerimaan ini dan saya amat menghargai sumbangan yang diberikan," kata Abdul Hakam.
Menurutnya, beliau berasa lebih bertanggungjawab atas pendidikannya selepas menerima biasiswa tersebut.
"Saya sudah menerima sumbangan masyarakat. Pendidikan saya ini bukan untuk saya sahaja, tetapi untuk kebaikan masyarakat juga," ujar beliau.
Malah, beliau berharap untuk menyumbang kembali kepada masyarakat pada masa hadapan.
"Bidang ini mempunyai peluang tinggi untuk meninggalkan kesan baik kepada masyarakat termasuk membuat teknologi dan sofwe baru yang dapat memudahkan lagi kehidupan orang ramai. Dengan penggunaan teknologi dan pengetahuan, kita dapat menyelesaikan isu masyarakat dengan lebih tertumpu," kata beliau.
Biasiswa lain yang turut disampaikan termasuk Biasiswa Alami-Rukaiyah, Biasiswa Ikonik dan Biasiswa PERGERAQ Al-Quran dan Qira'at.
Sejak penubuhannya pada 1965, LBKM sudah mengagihkan lebih 37,000 biasiswa bernilai lebih S$32 juta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.