Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Biasiswa MUIS Sheikh Isa Semait diperluaskan, S$1 juta diperuntukkan setiap tahun bagi perkasa golongan asatizah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bermula tahun ini, lebih banyak peluang akan tersedia bagi para penuntut madrasah dan mahasiswa dalam jurusan keagamaan, meraih biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke universiti-universiti Islam berprestij di dunia.

Ini dengan perluasan biasiswa Sheikh Isa Semait dengan S$1 juta diperuntukkan setiap tahun bagi menaja para penuntut untuk menimba ilmu sehingga ke peringkat pos-siswazah.

Hal demikian diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli di Majlis Perjumpaan Hari Raya Bersama Menteri pada Jumaat (13 Mei).

Menurut Encik Masagos, semasa pandemik ini para asatizah bersedia menghadapi isu-isu keagamaan yang rumit yang tercetus di tengah-tengah krisis.

"Untuk mengorak langkah ke hadapan, mereka mesti cekap dan yakin dalam menyampaikan ajaran agama mengikut konteks Singapura yang moden dan terbuka, serta berbilang budaya. Ini memerlukan kita membangunkan gedung-gedung ilmu yang kritikal khusus untuk masyarakat Islam tempatan," kata Encik Masagos.

Beliau menambah, "Kita perlu menyokong pelajar madrasah dan golongan agamawan kita, apakah dari segi penggajian, peningkatan pendidikan mahupun peluang kerjaya mereka."

Ini kata beliau bagi memastikan sektor keagamaan di sini sama berkemahiran dengan sektor-sektor lain bagi membangunkan sebuah Masyarakat Gemilang.

Lebih banyak butiran mengenai perluasan biasiswa itu akan diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Encik Masagos juga menekankan bahawa usaha tersebut juga memerlukan sokongan masyarakat.

"Harus ditekankan bahawa semua ini memerlukan sumber masyarakat bagi mendanai sektor keagamaan kita secara mampan seperti melalui penubuhan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) kelak," jelas Encik Masagos.

GALAK LEBIH RAMAI CEBURI BIDANG STEM

Dalam mempamerkan sikap bergotong-royong pada bulan Ramadan dan sepanjang krisis bagi menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, Encik Masagos juga gembira melihat terdapat usaha bagi mendorong satu sama lain ke arah kejayaan.

Usaha tersebut merujuk kepada inisiatif oleh dua orang pemegang biasiswa A*STAR Dr Muhammad Nadjad Abdul Rahim dan Profesor Madya Yusuf Ali.

"Dr Muhammad Nadjad Abdul Rahim dan Profesor Madya Yusuf Ali serta teman-teman mereka turun padang untuk mengasah bakat belia kita dalam bidang sains data kesihatan. Inisiatif dalam sektor yang sedang membangun ini dilakukan melalui program kesihatan di Tampines dan Choa Chu Kang, di mana para pengkaji muda bakal menerbitkan dapatan kajian mereka dalam jurnal-jurnal sains antarabangsa," kongsi Encik Masagos.

Kata beliau, usaha tersebut akan menyuntik minat terhadap subjek-subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam diri lebih ramai penuntut.

PENTING UNTUK TINGKATKAN ILMU BAGI MASA DEPAN TIDAK MENENTU

Di tengah-tengah ketidaktentuan akibat COVID-19 dan gejolak ekonomi ekoran konflik Rusia-Ukraine, Encik Masagos menekankan tentang peri pentingnya usaha untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu.

Kata beliau, pesanan orang tua "Ilmu pelita hidup" masih harus tetap dipegang dalam membina Masyarakat Gemilang.

Ini termasuk pendidikan dari peringkat awal.

"Kerana ilmu adalah pemangkin kejayaan, kita harus prihatin akan pendidikan anak-anak kita seawal-awalnya. Kalau tidak, boleh jadi anak-anak kita langsung tidak kenal huruf ketika masuk sekolah rendah," kata Encik Masagos.

Beliau juga berbesar hati melihat lebih ramai ibu bapa yang berusaha untuk melengkapi keperluan pembelajaran anak-anak mereka menerusi program-program M³ seperti KelasMateMatika (KMM@CC) dan KelasSiapSekolah (KSS) anjuran MENDAKI.

Program-program itu diterajui oleh Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad.

Di samping itu, Encik Masagos juga mengingatkan masyarakat supaya terus berdaya bingkas dengan mendakap budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Ini kata beliau diperlukan kerana masyarakat perlu berpindah dari sektor yang semakin pupus kepada sektor yang membangun.

"Datuk Bandar Fahmi Aliman bersama para pemimpin NTUC sudah pun mengenal pasti 15 syarikat yang bakal menawarkan pelbagai pekerjaan dalam sektor membangun di sebuah pameran kerjaya minggu depan," jelas Encik Masagos.

Bagi para suri rumah pula, beliau berharap mereka yang mahu kembali berkerja dapat memanfaatkan program Women@Work yang dikelolakan oleh MENDAKI.
 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan