Skip to main content

Singapura

Biasiswa kejuruteraan dan teknologi MOE pelaburan penting negara bangunkan bakat dalam bidang itu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Jul 2026 05:09PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 03:17AM

SINGAPURA: Seramai 200 pelajar prauniversiti menerima Biasiswa Program Kejuruteraan dan Teknologi (ETPS) tahun ini. 

Mereka merupakan kohort keempat untuk menerima biasiswa tersebut sejak ia diperkenalkan Kementerian Pendidikan (MOE) pada 2023.

Biasiswa itu merupakan sebahagian daripada usaha MOE mengenal pasti dan membimbing pelajar prauniversiti yang berminat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain membangunkan bakat pelapis dalam bidang kejuruteraan di Singapura.

Selain menerima elaun tahunan sebanyak S$1,000 dan pembiayaan yuran sekolah sehingga S$2,400 setahun, para penerima turut berpeluang menyertai bengkel STEM yang dikendalikan institusi pengajian tinggi serta menjalani penempatan kerja bersama rakan industri.

Biasiswa tersebut disampaikan Menteri Negara Kanan Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Dr Janil Puthucheary, dalam sebuah majlis di Institut Teknologi Singapura (SIT) pada Jumaat (17 Jul).

Related article image
Antara penerima biasiswa ETPS mendapatkan maklumat di gerai-gerai pameran yang disediakan oleh rakan kerjasama ETPS.

ETPS PELABURAN BAGI BAKAT KEJURUTERAAN MASA DEPAN

Dalam ucapannya, Dr Janil berkata Singapura perlu terus melabur dalam membangunkan bakat kejuruteraan bagi menghadapi peralihan ekonomi serta cabaran masa depan.

"Sedang kita mengubah ekonomi dan memperkukuh daya tahan negara, para jurutera juga akan membentuk penyelesaian dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pembuatan termaju dan teknologi baharu yang muncul. Inilah sebabnya ETPS kekal sebagai satu pelaburan penting dalam membangunkan bakat kejuruteraan masa depan kita," kata Dr Janil.

Beliau menambah, biasiswa tersebut memberi peluang kepada para pelajar menimba ilmu langsung daripada industri, menangani cabaran dunia sebenar dan melihat bagaimana idea kejuruteraan dapat diterjemahkan kepada huraian praktikal.

Related article image
Muhammad Hilmi, pelajar Tahun Satu di Maktab Rendah Victoria, mula memupuk minat dalam bidang kejuruteraan melalui penerokaan pelbagai kandungan dan sumber dalam talian. (Gambar: Muhammad Hilmi)

BIASISWA BUKA LEBIH BANYAK PELUANG

Antara penerima biasiswa tahun ini ialah pelajar Maktab Rendah Victoria, Muhammad Hilmi Al Farabi.

Minat Hilmi terhadap bidang kejuruteraan bermula selepas menonton sebuah kandungan online yang memaparkan bagaimana kejuruteraan dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah harian.

Minat itu kemudian bertambah lagi apabila beliau menyertai sebuah program yang mencabar pelajar mengkaji penyelesaian bagi masalah dunia sebenar termasuk penggunaan kenderaan elektrik sebagai bentuk utama pengangkutan privet di Singapura.

Bagi Hilmi, mendapat biasiswa ETPS bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap usaha gigihnya, malah membuka lebih banyak peluang untuk mendalami bidang kejuruteraan.

"Saya berasa bangga dapat menerima biasiswa ini. Ia akan meningkatkan pengalaman dan kefahaman saya dan ia juga akan memberi saya lebih banyak peluang untuk mengembangkan dalam bidang ini," jelasnya kepada wartawan Fatyn Abdul Samad. 

Hilmi berharap peluang itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk meningkatkan pengetahuan serta membantunya membuat keputusan dalam memilih bidang pengajian di universiti dan kerjaya pada masa depan.

Beliau juga berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus mendalami bidang yang diminati.

"Saya berharap bahawa murid-murid lain lebih terinspirasi untuk mencapai apa yang mereka mahu lakukan. Saya mahu menunjukkan bahawa jika kita mempunyai sesuatu yang mahu dicapai, kalau bekerja keras pasti dapat melakukannya," kata Hilmi. 

Related article image
Pelbagai gerai pameran yang dikendalikan oleh rakan-rakan kerjasama ETPS. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

LEBIH 40 RAKAN KERJA SOKONG ETPS

Sejak kohort pertama ETPS diperkenalkan pada 2023, program tersebut berkembang dengan sokongan lebih 40 rakan kerja daripada sektor awam, universiti dan industri.

Sehingga kini, mereka telah menyediakan lebih 700 peluang penempatan kerja, latihan amali, bengkel, bimbingan dan lawatan pembelajaran kepada para penerima biasiswa.

Sumber : BERITA Mediacorp/FT/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita