Biasiswa GIC-MENDAKI 'setaraf' biasiswa PSC: Masagos
BERITAmediacorp: Prestij biasiswa GIC yang ditujukan khas kepada pelajar Melayu/Islam sahaja, menurut Menteri Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli, "setaraf" dengan biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC).
Ini sekali gus memberi gambaran bahawa Biasiswa GIC-MENDAKI yang baru diumumkan itu, begitu menjanjikan sehingga ia tidak harus dilepaskan mereka yang berminat untuk menceburi industri kewangan.
"Saya gembira kerana GIC melihat perlunya untuk meramaikan lagi pegawai-pegawai yang mahir dalam bidang kewangan dan mereka mahu (menjadi) lebih inklusif," kata Encik Masagos.
“Kali ini mereka memberikan fokus kepada masyarakat kita, memberikan biasiswa yang prestijnya itu bagi saya sama seperti PSC kerana elaun dan juga daripada penggajian yang bakal mereka dapat itu adalah setaraf dengan apa yang diberikan PSC.”

Biasiswa GIC-MENDAKI merupakan antara pengumuman utama yang disampaikan dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi masyarakat Melayu/Islam kali ini.
Selain menampung segala kos pengajian sarjana muda, biasiswa oleh perbadanan pelaburan Singapura itu akan menyediakan latihan amali yang berstruktur dan memadankan mentor dengan para penerima biasiswa.
Apabila penerima tamat pengajian pula, mereka boleh menantikan laluan kerjaya yang menarik, termasuk peluang bekerja di luar negara.
Butiran lanjut seperti tempoh bon dan nilai biasiswa berkenaan, bagaimanapun belum didedahkan.
Apa pun, kata Encik Masagos, biasiswa GIC-MENDAKI itu membuka peluang kepada masyarakat Melayu/Islam menceburkan diri dalam bidang kewangan yang sedang pesat berkembang.

"(Ini) sekali gus akan meningkatkan lagi pengetahuan tentang bidang ini dalam masyarakat kita," tambah Encik Masagos.
Bertitik tolak daripada ini, beliau memberi jaminan bahawa Yayasan MENDAKI akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan industri bagi mewujudkan lebih banyak peluang untuk anak-anak Melayu menceburi sektor-sektor berkembang yang lain.
Ini menurutnya selaras dengan usaha Pemerintah yang ingin memastikan Singapura kekal berdaya saing dalam ekonomi global.
"Di Singapura ini, kita selalu memandang ke hadapan. Apakah bidang-bidang yang bakal menjadi kekuatan kita, untuk kita boleh bersaing dalam ekonomi global. Antara lain, menerusi penyelidikan A*STAR (untuk) mewujudkan penemuan-penemuan baru," kata Encik Masagos lagi.
Sektor-sektor yang turut beliau sebutkan sebagai berkembang sehingga perlu menarik lebih ramai bakat-bakat muda termasuk ekonomi hijau dan kemampanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.