Skip to main content

Singapura

Biasiswa baharu MUIS bernilai S$120,000 setiap satu dilancarkan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melancarkan satu biasiswa baharu bagi menjana pemimpin masa hadapan bagi sektor keagamaan tempatan.

Bernilai $120,000 setiap satu, biasiswa itu menyediakan laluan khas buat para lulusan madrasah menyandang jawatan kepimpinan di institusi-institusi seperti madrasah dan masjid-masjid pada masa depan.

Biasiswa ini juga meluaskan lagi peluang pengajian untuk para pelajar madrasah tempatan sepenuh masa.

Pemangku Menteri Bentanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata:

"Biasiswa baharu ini memberi ruang bagi kita untuk membangunkan bukan sahaja institusi tetapi para asatizah dapat lebih banyak peluang untuk berkhidmat dalam arena keagamaan di Singapura dan memainkan peranan untuk membangunkan masyarakat dan mendidik masyarakat Islam."

"Ini satu gambaran yang positif dan saya gembira kerana dengan adanya kecekapan dan daya intelek yang tinggi, mereka boleh memikirkan isu-isu yang mungkin kompleks pada masa hadapan," kata Dr Faishal.

4 PENERIMA PERTAMA BIASISWA MUIS

Kumpulan penerima pertama Biasiswa MUIS itu termasuklah lulusan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah Saqina Qamilia Suwandi dan Solihin Zainal.

Lagi dua penerima ialah lulusan Madrasah Aljunied, Muhammad Ammar Zaid dan Nur Asyifa Muhamed Amin.

Mereka dipilih kerana rekod pencapaian akademik yang cemerlang, potensi kepimpinan dan komitmen untuk berbakti kepada masyarakat.

Lulusan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah Saqina Qamilia Suwandi yang merupakan antara kumpulan penerima pertama Biasiswa MUIS. (Gambar: Facebook/MUIS)
Saqina, 20 tahun, melahirkan kesyukuran menjadi penerima biasiswa ini.

"Ia satu wadah untuk terus memperjuangkan bidang-bidang masing-masing dan mendapat kemahiran dan terus memperbaiki kemahiran itu. Ini menerusi peluang yang ada dalam biasiswa tersebut.

"Kami dapat berjumpa dengan individu-individu yang dapat berikan kita nasihat, hadiri bengkel-bengkel dan juga pergi ke kampus universiti lain juga. Ia satu wadah yang sangat baik bukan sahaja dari segi kewangan tetapi dari segi peluang-peluang," kata Saqina kepada BERITA Mediacorp.

Saqina menyifatkan biasiswa terbaharu itu sebagai pemangkin untuk dirinya mencapai azam menceburi bidang undang-undang kelak.

Keinginannya untuk kemudian berkhidmat demi masyarakat juga jelas terserlah.

"Saya berazam untuk membantu sektor undang-undang dari segi kekeluargaan untuk memastikan keluarga adalah institusi pertama untuk seorang anak, anak seperti saya juga.

"Amat penting kami untuk kami sebagai penerima biasiswa, pada masa hadapan untuk memimpin ummah untuk memastikan bahawa keluarga-keluarga dan anak-anak adalah mereka yang antara yang perlu lindungi dan lihat Kebajikan mereka," katanya.

8 PENERIMA BIASISWA SYED ISA SEMAIT SEJAK 2022

Sementara itu, di majlis penganugerahan biasiswa ini juga, lagi tiga pelajar menjadi penerima Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) yang berprestij.

Ia membawa nilai kewangan S$240,000 setiap satu bagi pengajian universiti.

Diperkenalkan sejak 2022, ia kini mempunyai lapan penerima kesemuanya.

Biasiswa ini juga bertujuan memupuk para pelajar madrasah yang berpotensi untuk peranan kepimpinan keagamaan bagi negara ini.
Ahmad Musaddiq Samadi antara penerima Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) yang berprestij. (Gambar: Facebook/MUIS)

AHMAD MUSADDIQ ANTARA PENERIMA SISS 2025

Salah seorang daripadanya ialah Ahmad Musaddiq Samadi, 19 tahun, yang merupakan lulusan terbaik Madrasah Aljunied aliran International Baccalaureate (IB).

Pelajar cemerlang itu juga menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Majlis Pelajar dan ketua pengawas Madrasah Aljunied.

Sebagai seorang pelajar yang mementingkan pembangunan masyarakat, Musaddiq juga sering menjadi sukarelawan untuk Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), serta menyumbang tenaga untuk acara-acara di Istana pada 2023.

“Saya amat bersyukur kerana dianugerahkan biasiswa ini kerana ia memberi saya peluang untuk menyumbang kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura secara positif dan juga beri saya peluang untuk pembangunan diri saya sebagai insan menerus program yang dirancangkan oleh MUIS untuk saya,” kongsinya kepada BERITA Mediacorp.

Musaddiq sedang menanti keputusan kemasukan ke Universiti Al-Azhar di Mesir. Beliau memohon untuk mengikuti jurusan Syariah.

Beliau berharap agar pengajiannya dalam jurusan itu akan dapat membantu dirinya mencapai azam menjadi pendidik pada masa depan.

Musaddiq berkata: "Saya ingin menceburi dalam bidang pendidikan. Ini satu bidang yang saya sangat minati. Secara khususnya saya ingin mengambil bahagian dalam Pembangunan kurikulum dalam madrasah-madrasah Singapura dan saya ingin menambah baik di bidang yang perlu penambahbaikan di madrasah kita."

BIASISWA SYED ISA SEMAIT KINI LEBIH BERERTI

Dalam ucapannya, Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir menarik perhatian betapa erti Biasiswa Syed Isa Semait itu kini lebih mendalam lagi.

Lebih-lebih lagi dengan pemergian ulama kanan dan mantan mufti itu dua hari lalu.

Almarhum merupakan mufti paling lama berkhidmat di Singapura, iaitu hampir 40 tahun dan memimpin masyarakat Muslim Singapura mengharungi pelbagai perubahan dan cabaran dalam kehidupan masyarakat majmuk.

"Anda mungkin merasakan biasiswa ini adalah untuk memberi penghormatan kepada peranannya (Shaikh Syed Isa) sebagai pemimpin keagamaan yang tersohor, sebagai mantan mufti.

"Tetapi jenama Syed Isa Semait itu lebih daripada itu. Ia adalah tentangkerohaniannya dan perwatakannya, kerendahan hati dan kebaikannya. Juga mengenai peranan dan pekerjaan sehariannya," ujar Dr Nazirudin.

Lantaran itu Dr Nazirudin berharap penerima biasiswa itu akan turut menjadi peran contoh yang seimbang bagi masyarakat masa depan.

Kedua-dua penerima SISS tahun ini datang dari Madrasah Aljunied, termasuk Nusaybah Muhammad Iqbaal.

Penerima SISS bagi tahun 2024 juga datang dari Madrasah Aljunied, iaitu Sharifah Basri, yang kini dalam tahun pertama pengajian jurusan Usuluddin di Universiti Al Azhar. Sharifah adalah pelajar aliran International Baccalaureate.

NUSAYBAH IQBAAL PUNYA POTENSI TINGGI KEPIMPINAN

Bagi Nusaybah, pelajar bijak ini menamatkan pengajiannya di Madrasah Aljunied sebagai pelajar paling cemerlang bagi peperiksaan Pra-Universiti tahun lepas.

Guru-gurunya menyifatkan Nusaybah sebagai pelajar yang mempunyai potensi kepimpinan yang tinggi.

Antara lain, Nusaybah sebelum ini juga pernah menjadi Ketua Majlis Pelajar madrasah itu di mana dia menganjurkan pelbagai acara dan kegiatan untuk para pelajar Madrasah Aljunied.

Bakatnya dalam bidang Al Quran juga cukup menyerlah. Dia pernah menjuarai Pertandingan Membaca Al-Quran di peringkat nasional dua tahun lalu.

Nusaybah turut mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Belia Masa Depan Singapura di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, selain dijulang dengan gelaran Pembahas Terbaik dalam Pertandingan Akhir Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied 2024.

Pendeknya, bakat-bakat yang dipupuk sebagai bakal pemimpin masyarakat Melayu/Islam Singapura ini sememangnya cukup berpotensi.

MUIS berharap, bakat-bakat inilah yang akan menjadi antara mereka yang "akan membimbing masyarakat kita dalam Singapura yang kontemporari".
 

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita