Best Electricity umum undurkan diri dari pasaran tenaga S'pura
Best Electricity mengumumkan pada Selasa (19 Okt) bahawa ia akan mengundurkan diri dari pasaran Singapura, menjadikannya syarikat ketiga yang berbuat demikian dalam tempoh seminggu.
(Gambar: Unsplash/Thomas Vimare)
SINGAPURA: Best Electricity mengumumkan pada Selasa (19 Okt) bahawa ia akan mengundurkan diri dari pasaran Singapura, menjadikannya syarikat ketiga yang berbuat demikian dalam tempoh seminggu.
"Keadaan tidak menentu di luar jangkaan" dalam pasaran tenaga menjadikannya "amat sukar" untuk terus beroperasi, menurut Best Electricity di lamannya.
Ia merancang untuk keluar dari pasaran berkuat kuasa pada Khamis (21 Okt). Akaun pelanggan akan dipindahkan ke SP Group.
"Pelanggan akan menerima pemberitahuan rasmi daripada kami dalam masa beberapa hari akan datang," menurut Best Electricity. "Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa tidak akan berlaku gangguan pada bekalan elektrik mereka."
Pada minggu lalu, iSwitch dan Ohm Energy mengumumkan bahawa mereka akan berhenti beroperasi menyusuli lonjakan dalam harga gas global.
Kedua-dua syarikat itu afalah antara 12 peruncit Singapura di bawah Pasaran Tenaga Terbuka, yang mana pengguna mempunyai pilihan untuk membeli bekalan elektrik dari SP Group pada harga tarif terkawal atau dari syarikat-syarikat runcit elektrik mengikut pelan harga yang sesuai dengan keperluan mereka.
Sebuah lagi syarikat, Union Power menyatakan pada Isnin (18 Okt) bahawa ia akan melepaskan 850 akaun komersil di tengah-tengah harga tenaga yang tinggi.
Di tengah-tengah kekangan tenaga global, Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) mengumumkan pada Selasa bahawa ia mengambil langkah-langkah awal untuk melindungi bekalan tenaga di negara ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.