Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Berusia 50 tahun ke atas? Dapatkan dos penggalak ke-2 di pusat vaksinasi yang tawar vaksin mRNA

Golongan berusia 50 hingga 59 tahun yang mahu mendapatkan suntikan kedua dos penggalak COVID-19 boleh berbuat demikian mulai hari ini (10 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Jun 2022 08:16PM Dikemas Kini : 10 Jun 2022 09:09PM
SINGAPURA: Golongan berusia 50 hingga 59 tahun yang mahu mendapatkan suntikan kedua dos penggalak COVID-19 boleh berbuat demikian mulai hari ini (10 Jun), di mana-mana pusat vaksinasi yang menawarkan vaksin mRNA, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Kementerian tersebut sebelum ini mengumumkan pada 22 April bahawa mereka yang berusia 60 hingga 79 tahun dibenarkan mengambil dos penggalak kedua COVID-19 sekitar lima bulan selepas suntikan dos penggalak pertama, jika mereka mahu berbuat demikian.

Sejak itu, jawatankuasa pakar berhubung vaksinasi COVID-19 menilai bahawa mereka yang berusia 50 hingga 59 tahun, yang mahu mendapatkan suntikan kedua dos penggalak, boleh berbuat demikian sekitar lima bulan selepas suntikan pertama dos penggalak.

"Ini memandangkan data yang menunjukkan risiko lebih tinggi COVID-19 meningkat dalam kalangan individu berusia 50 hingga 59 tahun juga," dedah MOH. "Ini juga sekitar usia di mana penyakit kronik mula menyerang."

Kementerian itu juga mengumumkan bermula 1 Julai, mereka yang mudah terjejas dari segi perubatan, dengan keadaan tertentu seperti penyakit kronik jantung dan paru-paru, boleh mengisytihar sendiri keadaan mereka untuk menerima suntikan kedua dos penggalak tanpa sebarang temu janji di mana-mana pusat vaksinasi, Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) dan poliklinik yang menawarkan vaksinasi.

"Bagi memudahkan vaksinasi mereka, mereka tidak lagi memerlukan rujukan doktor untuk menerima suntikan kedua dos penggalak," jelas MOH.

Individu lain yang mudah terjejas dari segi perubatan masih boleh terus menerima suntikan kedua dos penggalak dengan menyediakan memo rujukan daripada doktor yang merawat mereka.

Lebih banyak perincian mengenai borang pengisytiharan sendiri akan diumumkan dalam minggu-minggu mendatang melalui laman MOH, menurutnya.

Bagi mereka yang mengambil dua dos pertama vaksin COVID-19, MOH menggalak mereka supaya membuat temu janji dengan jarak lapan minggu antara kedua-dua dos itu.

Jarak minimum sedia ada antara kedua-dua dos itu masih 21 hari bagi vaksin Pfizer-BioNTech Comirnaty dan Novavax/Nuvaxovid, serta 28 hari bagi vaksin Moderna/Spikevax dan Sinovac-CoronaVac.

"Ini bagi mempercepatkan perlindungan awal terhadap COVID-19 semasa fasa akut pandemik itu," menurut MOH.

Bagaimanapun, mereka yang perlu menyelesaikan dua dos pertama itu dengan lebih awal, terutama sekali mereka yang mempunyai risiko terdedah kepada virus atau lebih mudah terjejas oleh penyakit serius, boleh memilih jarak lebih singkat antara kedua-dua dos itu, asalkan tempoh itu tidak lebih pendek daripada jarak minimum, jelas MOH.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan