Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Berusaha sedaya upaya & rebut peluang, seru pemimpin SG pada hari pertama persekolahan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sempena hari pertama tahun persekolahan baru 2023, para pemimpin Singapura memberikan kata-kata perangsang kepada para pelajar supaya dapat terus berkembang maju sambil menjalin dan mengeratkan hubungan persahabatan di sekolah.

Dalam catatan Facebooknya pada Selasa (3 Jan), Presiden Halimah Yacob menyeru kepada rakyat Singapura supaya menyokong para pelajar agar mereka dapat melakukan terbaik dan menikmati alam persekolahan.

"Hari pertama sekolah sentiasa akan menjadi sesuatu yang istimewa, lebih-lebih lagi bagi murid-murid yang pergi ke sekolah buat julung-julung kalinya.

"Ia menandakan permulaan perjalanan berkisar dengan pelajaran, menjadi berdikari dan mengenali rakan-rakan baru dari pelbagai latar belakang," ujar Puan Halimah.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pula menasihatkan para pelajar supaya merebut setiap peluang untuk belajar dan berkembang maju serta mengalami dan meneroka perkara-perkara baru.

"Saya pasti anda juga teruja untuk bertemu dengan rakan-rakan lama dan berkenalan dengan rakan-rakan baru.

"Mengharapkan hari pertama sekolah yang baik bagi pelajar-pelajar, guru-guru dan ibu bapa," menurut PM Lee dalam catatan di Facebook pada Selasa.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong menzahirkan harapannya bagi para pelajar menerusi Facebook dan TikTok.

"Kami melakarkan sistem pendidikan yang membantu anda untuk berkembang maju dan meneroka bidang-bidang baru, dan kami membuat pelaburan besar untuk membina masa depan lebih cerah bagi anda semua," kata Encik Wong dalam catatan Facebooknya.

Dalam pesanan video di laman TikTok, Encik Wong mengajak para pelajar supaya meneroka minat masing-masing serta menimba ilmu dan menajamkan kemahiran dalam bidang yang diceburi. Encik Wong berkata demikian sambil berkongsi bahawa beliau sendiri "tidak begitu memikirkan" tentang kerjayanya pada masa depan ketika dalam usia muda.

"Namun saya dididik sejak dari kecil lagi untuk berusaha gigih dan bersikap bertanggungjawab, dan melakukan sedaya upaya dalam apa-apa saja yang saya lakukan.

"Dan pemikiran itu membuka haluan bagi kerjaya sepanjang hayat dalam perkhidmatan awam," kata Encik Wong dalam pesanannya di TikTok.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pula mengumumkan di laman Facebooknya bahawa beliau kini membuat penampilan di TikTok.

Dalam video yang dimuat naik ke Facebook dan TikTok, Encik Chan mengimbas kembali pelbagai kegiatan yang disertainya dalam lawatannya ke 55 buah sekolah sepanjang 2022.

"Bagi masa akan datang, saya kini berada di TikTok. Mari kita lihat hala tuju 2023 bagi saya!" kata Encik Chan dalam pesanan ringkas di TikTok.

Sumber : BERITA Mediacorp/zm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan