Berus gigi tersendat dalam tekak budak 2 tahun gara-gara kecuaian amah
Semasa sedang memberus gigi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, seorang pembantu rumah meninggalkan berus gigi tersebut di dalam mulut budak itu sebelum mengalihkan perhatiannya.
(Gambar: Pixabay/Bruno)
SINGAPURA: Semasa sedang memberus gigi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, seorang pembantu rumah meninggalkan berus gigi tersebut di dalam mulut budak itu sebelum mengalihkan perhatiannya.
Apabila dia terdengar jeritan budak lelaki itu, berus gigi tersebut sudahpun tersendat dalam tekaknya dan budak berkenaan muntah darah ke lantai.
Warga Myanmar, Chi Nar Paw Tan, 24 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama lapan minggu pada Selasa (9 Mac) atas perbuatan cuai yang mengakibatkan berus gigi tersebut tersendat dalam mulut budak yang dijaganya. Ini menyebabkan budak itu mengalami kecederaan.
Mahkamah diberitahu bahawa Chi bekerja untuk keluarga kanak-kanak itu sebagai seorang pembantu rumah. Dia ditugaskan untuk membersihkan rumah dan menjaga anak-anak majikannya.
Pada 27 Dis tahun lalu, Chi diarahkan untuk memandikan kanak-kanak berusia dua tahun itu. Dia menanggalkan pakaiannya dan membasuh badannya sebelum memberus gigi budak tersebut.
Dia menggunakan berus gigi sepanjang 15 sentimeter dan membiarkannya di dalam mulut budak itu sebelum membelakangi budak lelaki itu dan meninggalkannya tanpa diawasi.
Dia terdengar jeritan budak lelaki itu dan menyedari berus gigi tersebut tersendat di dalam mulutnya. Kanak-kanak itu muntah darah di lantai dan mula menangis.
Ibu kanak-kanak itu terdengar tangisan anaknya, yang kemudian menelefon ambulans untuk memaklumkan bahawa berus gigi tersendat dalam mulut anak lelakinya.
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan akibat tindakan cuainya, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,500, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.