Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Berucap di Parlimen hak istimewa yang 'perlu dilakukan dengan tanggungjawab', tegur Indranee Rajah

Berucap di Parlimen merupakan hak istimewa yang "mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab", kata Ketua Dewan Indranee Rajah hari ini (11 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Berucap di Parlimen hak istimewa yang 'perlu dilakukan dengan tanggungjawab', tegur Indranee Rajah
Diterbitkan : 11 Jan 2022 06:23PM Dikemas Kini : 11 Jan 2022 06:23PM

SINGAPURA: Berucap di Parlimen merupakan hak istimewa yang "mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab", kata Ketua Dewan Indranee Rajah hari ini (11 Jan).

Beliau berkata demikian menyusuli pendedahan bahawa soalan-soalan yang diutarakan semalam (10 Jan) oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) - berhubung dakwaan bahawa guru-guru melaksanakan langkah-langkah vaksinasi dibezakan - adalah berdasarkan petikan skrin perbualan dalam kumpulan sembang di Telegram yang dihantar oleh seorang teman di Facebook.

"Sebagai Ketua Dewan, saya ingin memberikan beberapa nasihat bermanfaat kepada anggota terhormat itu. Saya pernah katakan sebelum ini di Dewan tentang pentingnya untuk menyokong dakwaan-dakwaan yang dibuat di Dewan ini. Dan kita sudah lihat apa yang berlaku apabila para anggota membuat dakwaan yang tidak boleh disokong atau secara tidak bertanggungjawab," kata Cik Indranee.

"Saya ingin mengingatkan anggota itu tentang apa yang berlaku semalam. Beliau berdiri lalu membuat dakwaan bahawa guru-guru di Kementerian Pendidikan (MOE) sedang mengamalkan langkah-langkah vaksinasi dibezakan. Ia adalah satu dakwaan, yang disebarkan di luar sana dan mencalar reputasi guru-guru secara keseluruhan."

Pada Isnin, Encik Leong (NCMP-PSP) berkata dalam soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan Chan Chun Sing bahawa beliau menerima maklum balas daripada para penduduk bahawa "segelintir guru sudah pun melaksanakan" langkah pengurusan selamat vaksinasi dibezakan di sekolah-sekolah.

"Bolehkah Menteri itu mengesahkan jika guru-guru mengamalkan atau mana-mana pegawai di sekolah-sekolah mengamalkan langkah sedemikian, yang bertentangan dengan dasar pemerintah pada ketika ini?" soalnya.

Dalam jawapannya, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing bertanya kepada Encik Leong mengenai maklumat lanjut berhubung sekolah-sekolah, guru dan langkah-langkah yang beliau maksudnya itu.

Hari ini, Cik Indranee menekankan tentang perlunya untuk menyokong dakwaan yang dibuat.

"Dan sebab mengapa anda menyediakan butiran (isu) jika anda merupakan seorang Anggota Parlimen yang bertanggungjawab adalah kerana apabila anda masuk ke Dewan dan anda diberikan tempat duduk di dalam Dewan ini, anda perlu menjalankan tugas secara bertanggungjawab," tegas beliau.

"Apabila anda membuat dakwaan terhadap para guru dan hanya melontarkan kata-kata begitu sahaja, anda harus dapat mengesahkannya."

Encik Chan juga bertanya tentang butiran kejadian tersebut supaya MOE boleh mengambil tindakan lanjut sewajarnya, tegasnya.

Hari ini, apabila Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin memanggil Encik Leong untuk memberi "penjelasan peribadi", Encik Leong berkata: "Semalam saya cuba dapatkan jaminan daripada diri anda sendiri bahawa kanak-kanak di sekolah tidak akan tertakluk kepada langkah pengurusan vaksinasi dibezakan.

"Anda mungkin ingin tahu bahawa, berdasarkan maklum balas, ramai ibu bapa yang bimbang dan masih cuba mendapatkan jaminan daripada anda dan pihak kementerian anda serta ingin lebih jelas tentang pendirian anda.

"Saya melihat ini sebagai tanggungjawab sebagai seorang ahli parlimen untuk mengutarakan keprihatinan sah kepada Dewan ini."

Encik Tan mengingatkan Encik Leong bahawa beliau diberi masa di Parlimen untuk menjelaskan sumber dakwaan itu, daripada "membuat ucapan lain".

"Perkara yang saya utarakan tentang sesetengah sekolah yang mungkin mula melaksanakan langkah pengurusan selamat vaksinasi dibezakan (VDS) adalah berdasarkan petikan skrin dari kumpulan sembang di Telegram, "SG Concerned Parents" yang dihantar oleh seorang teman di Facebook," kata Encik Leong setelah diberi satu lagi peringatan oleh Encik Tan tentang tujuan ucapannya.

Apabila beliau mula membacakan "mesej-mesej relevan itu", Encik Tan sekali lagi meminta butiran nama sekolah, guru dan langkah-langkah yang terlibat.

"Anda sedang berkongsi perkara ini, soalan yang menurut anda akan dijelaskan dan soalan itu bertanyakan tentang sekolah yang mana satu supaya menteri berkenaan boleh menyiasat dakwaan yang dibuat. Atau adakah ia sekadar satu petikan skrin dari sebuah kumpulan sembang di Telegram?" kata Encik Tan.

Encik Leong tetap membaca daripada skrip manakala Encik Tan beberapa kali meminta butiran yang diminta oleh Encik Chan sebelum ini.

"Tiada penjelasan daripada anda, tentang sekolah yang mana dan apakah langkah-langkah khusus yang dilaksanakan?" soal Encik Tan.

"Saya sudah jelaskan dari mana asal maklumat itu," jawab Encik Leong.

"Iaitu daripada sebuah kumpulan di Telegram. Anda tidak tahu apakah nama sekolah itu, anda tidak mengesahkan sama ada ia benar atau tidak, dan lain-lain?" kata Encik Tan.

"Ya. Saya ingin menjelaskan bahawa dari situ saya dapatkan maklumat saya," kata Encik Leong. Beliau juga mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai butiran lain yang diminta oleh Encik Chan.

Bercakap selepas perkongsian itu, Encik Indranee berkata: "Apa yang kita lihat hari ini adalah Encik Leong Mun Wai datang ke sini, pertama sekali, untuk berdiri dan membuat dakwaan meluas atau ucapan meluas yang tidak mempunyai asas sama sekali tentang butiran yang diminta.

"Kami sudah melihat apabila anda, Encik Speaker, menyuruhnya untuk memberikan butiran sedemikian, beliau cuba mengelak," katanya.

"Dan akhirnya kini kami mendapat tahu bahawa butiran itu tidak dapat diperolehi kerana beliau merujuk kepada perbualan di sebuah kumpulan sembang di Telegram di mana tiada butiran sekalipun."

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa