Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bertindak ikut undang-undang & jangan bahayakan orang lain, nasihat polis selepas suspek mati semasa ditahan orang awam

Orang awam yang terlibat sama dalam usaha membanteras jenayah harus bertindak mengikut undang-undang dan tidak mencederakan orang lain atau diri mereka sendiri, menurut pihak polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Bertindak ikut undang-undang & jangan bahayakan orang lain, nasihat polis selepas suspek mati semasa ditahan orang awam

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 12 Oct 2020 09:30PM Dikemas Kini : 12 Oct 2020 09:31PM

SINGAPURA: Orang awam yang terlibat sama dalam usaha membanteras jenayah harus bertindak mengikut undang-undang dan tidak mencederakan orang lain atau diri mereka sendiri, menurut pihak polis.

"Pelibatan masyarakat tetap menjadi tunggak yang penting dalam usaha kami membanteras jenayah," menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (9 Okt) dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.

"Setakat mana mungkin, orang awam dinasihatkan supaya melaporkan sebarang kegiatan yang disyaki jenayah kepada pihak polis terlebih dahulu."

Ini selepas seorang lelaki berusia 46 tahun yang mengambil gambar bawah skirt wanita meninggal dunia setelah dia ditahan oleh para saksi di Niven Road pada November tahun lalu.

Koroner mendapati kelima-lima saksi itu tidak menggunakan kekuatan yang berlebihan ke atas suspek dan dia meninggal dunia disebabkan oleh "proses penyakit semula jadi".

Meskipun pelibatan orang awam dalam usaha membanteras jenayah patut digalak dan dialu-alukan, melaporkannya kepada pihak polis seharusnya menjadi "pilihan yang lebih wajar dan selamat".

"Bagi sesetengah situasi, orang awam mungkin boleh campur tangan bagi mencegah atau mengelakkan berlaku korban jiwa dan kerosakan harta benda, atau bahaya yang disebabkan oleh tindakan jenayah itu, sebelum para pegawai polis tiba di tempat kejadian," menurut polis pada Jumaat.

"Dalam situasi sedemikian, orang awam dinasihatkan supaya bertindak mengikut undang-undang dan tidak membahayakan diri sendiri atau nyawa orang lain, dan memaklumkan kepada polis tentang kejadian itu secepat mungkin."

Pada 2019, sekitar satu daripada empat penangkapan melibatkan kesalahan-kesalahan seperti mencabul kehormatan, merompak dan pecah masuk yang berhasil dipatahkan melalui pertolongan orang awam, demikian didedahkan oleh pihak polis.

"Pemberkasan sedemikian yang dilakukan melalui bantuan orang awam boleh merangkumi memberikan maklumat kepada polis, membuat penangkapan atau memaklumkan kepada pihak polis tentang perbuatan jenayah yang sedang dilakukan," tambah kenyataan tersebut.

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan