Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bertarung dengan ekzema dari usia tiga bulan lagi; 10% kes baru ekzema bawah usia 15 tahun

Bermula dengan hanya bintik-bintik merah, ruam pada pipi Syubli Andre Syafiq yang pada ketika itu, baru berusia tiga bulan, bertambah teruk sehingga merebak ke seluruh anggota badannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bermula dengan hanya bintik-bintik merah, ruam pada pipi Syubli Andre Syafiq yang pada ketika itu, baru berusia tiga bulan, bertambah teruk sehingga merebak ke seluruh anggota badannya.

Ibu bapanya kemudian mengambil keputusan untuk membawa berjumpa doktor setelah keadaan anak sulung mereka itu tidak reda.

Syubli kemudian disahkan doktor mengalami ekzema atopic.

(Gambar: Azmidah Mohd Shah)

"Kita ingatkan benda itu macam gatal-gatal biasa. Jadi kita tak pergi doktor. Kami hanya menyapu krim yang ada. Kemudian perlahan-perlahan benda yang merah-merah ini tak hilang masih ada. Ia bertambah teruk, benda merah pada mukanya makin banyak. Susah nak tidur malam. Asyik menangis. Ada benda yang tak kena sahaja. Tak boleh tidur dengan lena," kongsi Encik Syafiq.

ANTARA PUNCA EKZEMA

Menurut pakar kulit yang ditemui BERITAmediacorp, ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan ekzema.

"Satu adalah faktor genetik. Ekzema adalah masalah turun-temurun. Jika seseorang mempunyai gen atopi, perlindungan kulit sebenarnya lemah. Jadi apa yang berlaku bila anda mempunyai perlindungan kulit yang lemah, anda ada lubang-lubang pada kulit anda dan ini membolehkan alergen, hama debu untuk masuk ke dalam dan menyebabkan keradangan dan itulah sebabnya kulit anda gatal dan kemerah-merahan," jelas konsultan dari Pusat Kulit Nasional, Dr Lucinda Tan.

"Satu lagi sebab adalah sistem imun. Orang yang mempunyai ekzema mempunyai sistem imun yang tidak normal. Ini bermakna sistem imun bertindak dengan cara yang berlebihan," tambah beliau.

Setelah mendapatkan rawatan di Pusat Kulit Nasional (NSC), keadaan Syubli kini bertambah baik.

Kulitnya kini tidak lagi kemerah-merahan dan kering seperti dahulu.

Namun begitu, ibu bapanya masih mengambil langkah berjaga-jaga.

Malah disebabkan Syubli juga mengalami gangguan genetik dan glukosa-6-fosfat-dehidrogenase (G6PD), mereka perlu lebih peka dan berhati-hati.

Selain mengelak berada di tempat-tempat yang membuat anaknya berpeluh, Encik Syafiq berkongsi bahawa mereka memilih kasut yang terbuka untuk anaknya.

Ini bagi mencegah kulit di bahagian ibu jarinya merekah.

TEKANAN BOLEH TERUKKAN LAGI EKZEMA

Encik Syafiq dan isterinya turut perlu memastikan anak mereka itu tidak menangis terlalu lama kerana "tekanan" boleh menyebabkan ekzemanya bertambah buruk.

"Apabila badan dalam keadaan tertekan disebabkan perkara-perkara ini, bahagian kulit akan terjejas dan ekzema boleh bertambah teruk. Justeru kami akan mengingatkan para ibu bapa sekiranya anak mereka sakit untuk memantau keadaan kulit anak mereka dan menyapu lebih krim pelembap kulit, untuk mencegah atau mengurangkan ekzema," menurut Dr Tan.

KESEDARAN TENTANG EKZEMA MENINGKAT

Dengan kesedaran tentang ekzema bertambah baik, lebih ramai ibu bapa kini mendapatkan rawatan bagi anak mereka pada peringkat awal.

Sebelum pandemik, jumlah diagnosis bagi pesakit berusia bawah 15 tahun meningkat saban tahun.

Setelah melihat betapa rawatan awal dapat memperbaiki mutu hidup anaknya, Encik Syafiq lega mengambil langkah pertama itu.

Dengan rawatan doktor, anaknya kini boleh tidur dalam keadaan lebih selesa dan lena.

"Tiada apa yang perlu dimalukan akan apa sahaja keadaan anak anda. Tak semestinya ekzema atau penyakit yang lain. Cuba berjumpa doktor secepat mungkin. Kalau kita jumpa doktor dengan cepat, kita akan dapat hasil yang lebih baik pada masa depan," tambah Encik Syafiq.

Pesakit bawah 15 tahun seperti Syubli Andre membentuk 10 peratus daripada kes baru ekzema tahun lalu.

EKZEMA BUKAN BERPUNCA DARIPADA ALAHAN MAKANAN

Dalam pada itu, Dr Tan menasihatkan ibu bapa agar jangan percaya pada salah tanggapan yang boleh membawa kemudaratan pada anak-anak.

Antara salah tanggapan tersebut adalah alahan makanan boleh menyebabkan ekzema.

Malah menurut Dr Tan, ada segelintir ibu bapa yang akan melarang anak-anak mereka daripada makan sesetengah makanan.

Lantaran ini, ia adalah sesuatu yang membimbangkan kerana kanak-kanak itu kemungkinan tidak mendapat zat-zat yang diperlukan.

Dr Tan berkata: "Lazimnya, sekiranya ibu bapa risau mengenai alahan makanan, kami akan menggalak mereka untuk datang dan menghadiri sesi konsultasi. Kami akan meneliti sejarah makanan dengan mereka, termasuk di mana mereka makan makanan tersebut serta tindak balas yang berlaku. Jika perlun, kami akan menyarankan untuk menjalani ujian alahan."

FOTOTERAPI ANTARA CARA RAWAT EKZEMA

Antara jenis perubatan selain menggunakan sabun yang sesuai, krim pelembap, "wet wraps" bagi merawat dan mengawal ekzema adalah fototerapi.

Menurut Dr Tan, kanak-kanak berusia sekecil empat tahun sudah boleh menjalani fototerapi.

Anak-kanak itu akan dimasukkan ke dalam sebuah kotak dan sinaran cahaya akan dipancarkan.

Kadar sinar cahaya itu jauh lebih rendah berbanding cahaya matahari.

Oleh itu, ia tidak mendatangkan sebarang risiko besar.

Rawatan ini akan menenteramkan sistem imun badan dan akan menghentikannya daripada bertindak balas dengan hama debu dan alergen lainan, sekali gus mengawal masalah ekzema yang dialami mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan