Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bersenam dengan DJ WARNA 942 & saksikan persembahan peserta Juara Mic Junior di acara Mediacorp Untukmu@One Punggol

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pelbagai program dan persembahan menarik menanti anda dalam acara khas Mediacorp Untukmu@One Punggol yang akan berlangsung Sabtu (25 Feb) ini.

Ia termasuk segmen Gerak Warna serta persembahan-persembahan oleh 16 peserta cilik dalam pertandingan Juara Mic Junior musim kedua.


(Gambar: Mediacorp)

Bagi segmen Gerak Warna misalnya, para pengunjung diajak untuk bersenam bersama-sama, menampilkan gerak tari menarik diiringi para deejay Warna 942.

"Kita bersenam beramai-ramai, kita membakar lemak bersama-sama dengan jurulatih kami, Wan Shamsury lebih kurang 45 minit begitu. Jadi ini amat mudah untuk semua, (mereka) boleh ikuti pergerakan yang amat mudah sekali," kongsi Pengarah Program Warna 942, Morniyati Tukimin.

"Semua peringkat usia boleh ambil bahagian, dari yang kecil hingga warga emas dan kami juga ada sesi interaktif bersama para peserta dan mereka juga boleh memenangi cenderamata Warna seperti kad EZ-Link," tambahnya.


(Gambar: Mediacorp)

Segmen Gerak Warna akan berlangsung pada jam 4.00 petang.

Program Gerak Warna dimulakan pada tahun 2019 untuk menggalak para pendengar khususnya warga emas untuk bergerak aktif.

Namun, ia tergendala akibat COVID-19.

GERAK WARNA BERJAYA TARIK 2,000 PESERTA

Ia kembali diadakan tahun lalu dan sudah disertai sekitar 2,000 peserta setakat ini.

Sesi-sesinya juga sudah diadakan di beberapa kawasan termasuk di stadium dan Wisma Geylang Serai.

Bagi acara Mediacorp Untukmu@One Punggol pada Sabtu (25 Feb), Gerak Warna akan memeriahkan suasana dengan pelbagai gerak tari yang lincah bagi mengikuti rentak lagu-lagu seperti Mas Mona, Bailando dan Gurindam Jiwa.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Kami amat berbesar hati diberikan satu lagi peluang untuk bersama Gerak Warna, satu pendedahan sekali lagi untuk kami dan pastinya berbesar hati dan seronok dapat bekerjasama dengan rakan-rakan di bilik Berita dan kami juga mengharapkan acara ini mendapat perhatian dan sokongan daripada para pendengar kami dan juga penonton," ujar Cik Morniyati.

ORANG RAMAI BOLEH NIKMATI PERSEMBAHAN JUARA MIC JUNIOR


(Gambar: Mediacorp)

Selain itu, para penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan menarik oleh kesemua 16 peserta Juara Mic Junior 2.

Ini juga penampilan pertama para peserta cilik itu di luar studio.

"Apabila mereka mendengar yang mereka akan turut (serta) dalam acara ini, mereka tentunya semua ghairah sekali dan pada masa yang sama, mereka agak khuatir jika mereka dapat melakukannya dengan baik. Jadi di rumah itu, mereka gigih berlatih setiap hari, menyanyi dan menari untuk para hadirin yang akan datang untuk acara itu," kongsi Penerbit Eksekutif Kanan, Fadila Abdul Wahid.

"Ini juga merupakan kali pertama mereka melakukan persembahan di luar studio jadi perasaan gementar itu memang ada dan kami sentiasa memberikan semangat kepada mereka untuk mengatakan mereka boleh melakukannya," tambah beliau.

BINA KEYAKINAN SI CILIK DEPAN KHALAYAK RAMAI


(Gambar: Mediacorp)

Kini, pertandingan itu sudah sampai ke pusingan kedua peringkat separuh akhir, selepas pusingan pertamanya disiarkan pada Selasa (21 Feb) lalu.

Dengan pertandingan yang semakin hampir ke kemuncaknya, ini merupakan peluang yang baik bagi para peserta bertemu dengan peminat masing-masing.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Dengan adanya acara ini, mereka dapat membina keyakinan diri untuk berdepan dengan khalayak ramai dan itu sangat penting," ujar Cik Fadila.

"Mereka boleh rasa yang mereka boleh lakukan apa-apa sahaja dan di mana-mana dan tentunya mereka yang hadir itu akan menjadi pembakar semangat untuk mereka," tambahnya.

Orang ramai boleh saksikan persembahan para peserta Juara Mic Junior Sabtu (25 Feb) ini, pada jam 5.00 petang di One Punggol.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan