Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bersatu sebagai satu masyarakat banteras keganasan keluarga - Dr Faishal, Mufti

Sekitar 50 lelaki Melayu/Islam menyertai satu perbincangan kumpulan fokus online yang mengupas tentang masalah keganasan rumah tangga, anjuran bersama Casa Raudha Ltd dan Masjid Assyakirin pada Sabtu (12 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 50 lelaki Melayu/Islam menyertai satu perbincangan kumpulan fokus online yang mengupas tentang masalah keganasan rumah tangga, anjuran bersama Casa Raudha Ltd dan Masjid Assyakirin pada Sabtu (12 Sep).

Sesi perbincangan bertajuk "Banteras Keganasan Rumah Tangga; Bekerjasama Dengan Saya - Perspektif Lelaki Muslim" disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk peguam, pemimpin masyarakat dan agama.

Dalam ucapan pembukaannya, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Dr Muhammad Faishal menggariskan pentingnya Pemerintah dan rakan-rakan kongsi masyarakat bekerjasama rapat untuk mengenal pasti isu-isu dalam landskap keganasan keluarga dan mewujudkan bersama huraian berkesan bagi mengatasi isu itu. Ini katanya bagi memberi sokongan lebih baik kepada mangsa keganasan keluarga.

Perbincangan kumpulan fokus itu susulan kepada perbincangan serupa melibatkan peserta wanita yang diadakan pada November 2019.

Sesi kali ini yang melibatkan peserta lelaki Melayu/Islam, maju setapak lagi dengan mengajak mereka untuk melakarkan rangka kerja melalui saranan yang dikongsi bagi mengatasi isu keganasan keluarga yang mencengkam masyarakat.

Semasa sesi perbincangan itu, para peserta turut membincangkan landskap sedia ada mengenai keganasan keluarga serta dasar-dasar dan langkah yang dilaksanakan bagi menangani isu tersebut.

Para peserta juga diajak untuk mengenal pasti dan membincangkan pelbagai bentuk keganasan keluarga serta mengenal pasti kesan jangka panjang terhadap mangsa. Sehubungan itu, sesi perkongsian itu juga menyentuh tentang cara-cara mengenal pasti ciri-ciri dan simptom berlaku keganasan rumah tangga.

Pada akhir sesi perbincangan berkumpulan itu, Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir mengalu-alukan usaha bersama bagi menangani isu itu.

Dalam ucapannya, Dr Nazirudin berkongsi tentang usaha kumpulan asatizah dalam mengikuti program-program latihan untuk mengenal pasti tanda-tanda penderaan, bagaimana untuk masuk campur dan menghulurkan bantuan serta usaha-usaha yang dijalankan oleh Pejabat Mufti bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya keganasan keluarga dan sumber-sumber masyarakat yang disediakan kepada mangsa.

Dr Nazirudin menekankan peranan yang harus dimainkan setiap orang untuk membasmi masalah keganasan rumah tangga.

"Setiap orang mempunyai peranan dalam usaha ini. Penting bagi rakan-rakan masyarakat kami untuk tampil ke depan dan saya gembira melihat banyak idea baik yang dicerna melalui perbincangan hari ini.

"Saya teruja melihat huraian-huraian yang timbul daripada sesi hari ini dan mengalu-alukan kerjasama lanjut dengan semua orang," kata Mufti Dr Nazirudin.

Salah seorang peserta yang menyokong kerjasama sedemikian adalah Timbalan Pendaftar Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) Syakir Pasuni, Beliau berkata: "Saya mengalu-alukan program ini dan berharap dengan penyertaan pemimpin dan persatuan Melayu/Islam, kita dapat meningkatkan lagi kesedaran dan menghapuskan salah tanggapan bahawa keganasan berakar dalam bimbingan Islam mengenai perkahwinan.

"Selain itu, saya sedar terdapat pasangan di luar sana yang merupakan mangsa keganasan namun berdiam diri, dan kekal seperti itu atas sebab-sebab tertentu, hal ini harus dibincangkan dengan lebih lanjut juga."

“Kami sasarkan sifar keganasan. Namun, kami tahu ini tidak dapat berlaku dalam sekelip mata. Kaita harus meneruskan usaha mendampingi masyarakat. Acara hari ini bukan yang terakhir. Malah, ia adalah satu permulaan dan kami berharap
untuk bekerjasama dengan Masjid Assyakirin dan masjid-masjid lain supaya dapat menyebarkan lagi kesedaran," ujar Pengerusi Casa Raudha Ltd, Encik Hamzah Abdul Mutalib. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan