Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bermain layang-layang, terbangkan dron dilarang sekitar The Star Vista dek latihan tentera pada 7 Feb

Aktiviti-aktiviti udara seperti bermain layang-layang dan menerbangkan dron tidak dibenarkan di sekitar pusat beli-belah The Star Vista di Buona Vista waktu sebelah malam pada Isnin depan (7 Feb) sehingga waktu pagi keesokan hari disebabkan oleh latihan tentera yang melibatkan pesawat terbang rendah dan unsur-unsur latihan tentera yang lain.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Aktiviti-aktiviti udara seperti bermain layang-layang dan menerbangkan dron tidak dibenarkan di sekitar pusat beli-belah The Star Vista di Buona Vista waktu sebelah malam pada Isnin depan (7 Feb) sehingga waktu pagi keesokan hari disebabkan oleh latihan tentera yang melibatkan pesawat terbang rendah dan unsur-unsur latihan tentera yang lain.

Dalam kenyataan medianya pada Khamis (3 Feb), Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan bahawa Kawasan Larangan Sementara bagi aktiviti-aktiviti udara akan dibangunkan dekat pusat beli-belah tersebut bersebelahan dengan Stesen MRT Buona Vista dari permulaan latihan itu pada pukul 9.00 malam pada Isnin sehingga pukul 1.00 pagi pada keesokan hari.

"Penubuhan Kawasan Larangan Sementara adalah bagi menjaga keselamatan orang awam dan pesawat terbang rendah di kawasan itu," menurut MINDEF.

"Aktiviti-aktiviti udara seperti bermain layang-layang, mengapungkan belon dan menerbangkan dron tidak dibenarkan dalam Kawasan Larangan Sementara itu."

Latihan tentera oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) melibatkan "unsur-unsur udara yang termasuk pesawat terbang rendah" akan berakhir pada pukul 5.00 pagi pada Selasa depan (8 Feb).

Kawasan Larangan Sementara itu akan merangkumi kawasan jalan raya dari Dover Avenue hingga ke Ghim Moh Link dan juga North Buona Vista Road.

Selain The Star Vista, kawasan-kawasan lain di mana aktiviti udara akan dihadkan termasuk di Rochester Park, Ghim Moh Valley, Ghim Moh Edge, Dover Ville, beberapa bahagian Dover Heights dan Stesen MRT Buona Vista.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, MINDEF menyatakan lebih banyak butiran tentang latihan itu akan diumumkan pada satu tarikh kelak.

Satu latihan melibatkan elemen-elemen udara di kawasan bandar seperti helikopter Super Puma diadakan di Bangunan Pit F1 di Marina Bay pada Ogos tahun lalu.

Latihan antipengganasan yang diterajui oleh Pasukan Petugas Operasi Khas SAF memerlukan pasukan-pasukan yang dikerahkan untuk memberikan respons kepada satu simulasi tebusan di Bangunan Pit F1.

Di bawah Perintah Pengemudian Udara, sesiapa yang didapati bersalah kerana melakukan aktiviti udara tanpa kebenaran dalam Kawasan Larangan Sementara boleh didenda sehingga S$20,000.

Pesalah berulang boleh didenda sehingga S$40,000 atau dihukum penjara sehingga 15 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan