Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Berkomunikasi dengan anak-anak untuk pantau kesejahteraan mental, kata pakar

Hampir 150 keluarga mengikuti sesi pertama seminar online 'e-Brunch with MENDAKI' pada Sabtu (10 Apr) yang mengupas tentang peri penting kesedaran kesihatan mental dalam kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 150 keluarga mengikuti sesi pertama seminar online 'e-Brunch with MENDAKI' pada Sabtu (10 Apr) yang mengupas tentang peri penting kesedaran kesihatan mental dalam kanak-kanak.

Bertemakan 'Nourish to Flourish: Cultivating Academic Success through Mental Wellness' atau 'Semai demi Perkembangan: Memupuk Kejayaan Akademik menerusi Kesejahteraan Mental', seminar itu turut menampilkan perbincangan panel bersama beberapa karyawan dalam bidang pendidikan dan kesihatan mental.

Para anggota panel terdiri daripada Pengasas Club HEAL Dr Bibi Jan, Kaunselor Kanan Pelajar di Sekolah Rendah Bukit Timah Mariam Isnin dan Penolong Pengarah Pendidikan Yayasan MENDAKI Sabrena Abdullah.

Moderator perbincangan ialah penyokong kesihatan mental Atikah Amalina yang juga pernah dikenali sebagai personaliti media sosial 'The Tudung Traveller',

Semasa sesi itu, topik-topik yang dikupas termasuk cara-cara ibu bapa menangani simptom-simptom tekanan dalam kanak-kanak dan bagaimana mereka dapat menyediakan sokongan emosi dan sosial kepada anak-anak.

IBU BAPA DIGALAK SERING BERKOMUNIKASI DENGAN ANAK-ANAK

Dalam ucapannya, Dr Bibi menekankan tentang bagaimana kesihatan mental yang baik dalam kanak-kanak dapat membina daya ketahanan mereka apabila berdepan kesulitan selain membina keupayaan sosioemosi dalam kanak-kanak.

(Gambar-gambar; MENDAKI)

Beliau juga menggalakkan ibu bapa supaya memainkan peranan lebih aktif dengan mendampingi dan berkomunikasi dengan anak-anak mereka di rumah.

"Pada asasnya, kita harus pastikan hubungan erat terjalin di rumah bagi memupuk jalinan emosi dan menghasilkan rasa kepercayaan. Untuk berbuat demikian, kita mesti berkomunikasi dengan berbual dengan anak-anak kita, memproses pemikiran dan perasaan mereka, mengesahkan keprihatinan mereka dan mendengar dengan rasa empati.

"Ini akan membantu mereka untuk mempunyai corak pemikiran positif yang akan membantu mereka mengharungi masa-masa sukar dan cabaran hidup," kongsi Dr Bibi.

Menyentuh tentang aspek mengekalkan kesihatan mental yang baik, Cik Mariam Isnin pula menggesa ibu bapa supaya memantau bagi sebarang simptom-simptom tekanan biasa yang mungkin menjejas anak-anak mereka.

Selaku seorang Kaunselor Kanan Sekolah, Cik Mariam menggalakkan para ibu bapa supaya memantau bukan sahaja prestasi anak-anak di sekolah tetapi juga bagaimana mereka berkelakuan di rumah dan dalam masyarakat.

Sehubungan itu, beliau juga menggalakkan para ibu bapa supaya mendapatkan bantuan dari para guru dan kaunselor sekolah jika mempunyai sebarang kesangsian dan memanfaatkan sumber-sumber yang tersedia melalui talian bantuan dan portal online Kementerian Pendidikan (MOE).

Pandangan tersebut disokong oleh Cik Sabrena Abdullah yang juga berkongsi bahawa MENDAKI turut komited dalam menyokong kedua-dua ibu bapa dan kanak-kanak dalam perjalanan pendidikan mereka melalui pendidikan holistik.

"Di MENDAKI, kami benar-benar mempercayai penjagaan sebagai asas dalam semua program kami yang kita terapkan ke dalam falsafah Etika Penjagaan.

"Kami menggalakkan ibu bapa supaya mendengar secara aktif ketika berbual dengan anak-anak mereka, akur dengan keprihatinan dan cabaran yang mereka hadapi dan meluangkan masa untuk memahami keperluan mereka.

"Sebagai rakan kongsi terbaik anak-anak, para ibu bapa boleh membantu ibu anak-anak mereka untuk berkembang dan menjadi yang terbaik dalam apa-apa yang dilakukan," kata Cik Sabrena. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan